Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Unit Amanah dan Pasaran Saham. Apa kaitannya?

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff
Prof-Madya-Ahmed-Razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff

6 minit masa membaca

Pada masa kini, amat mudah untuk mana-mana individu di Malaysia menggunakan lebihan pendapatan mereka untuk maksud simpanan dan pelaburan.

Maklumat yang diperolehi melalui media massa dan sosial serta kemudahan perkhidmatan termasuklah capaian internet yang menyeluruh membolehkan seseorang itu mempunyai pelbagai alternatif dan platform untuk menyimpan dan melabur di dalam simpanan tetap, saham, amanah saham, hartanah, emas dan sebagainya.

Namun, masih ramai yang tidak tahu mengapa setiap jenis simpanan dan pelaburan tersebut mempunyai risiko dan pulangan atas pelaburan yang berbeza.

Ada yang menyangka bahawa jika pasaran saham menunjukkan peningkatan mata, maka seharusnya kesemua jenis simpanan dan pelaburan mereka harus juga menunjukkan peningkatan pulangan atas pelaburan.

Realitinya tidak semudah itu kerana setiap simpanan dan pelaburan mempunyai strategi pemilikan setiap jenis aset yang berbeza.

Oleh itu, amat penting bagi kita sebagai individu untuk memahami bahawa prestasi setiap akaun simpanan dan pelaburan akan sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai faktor di peringkat global dan domestik.

Di peringkat domestik, faktor yang memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya adalah seperti sentimen pelabur yang mempengaruhi prestasi pasaran saham dan aktiviti perdagangan, perniagaan serta perbelanjaan isi rumah yang akan mempengaruhi prestasi ekonomi secara keseluruhan.

Tidak lupa juga pengaruh daripada setiap polisi, dasar dan inisiatif monetari dan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan, negeri dan juga oleh Bank Negara Malaysia. Hubungan antara setiap faktor ini adalah kompleks dan simbiotik kerana setiap elemen mempengaruhi dan dipengaruhi oleh yang lain.

Sebagai contoh, dana amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan sejenis strategi pelaburan yang boleh dilakukan oleh mana-mana individu untuk mendapatkan pulangan atas pelaburan yang kompetitif dan konsisten serta mendapatkan kestabilan kewangan jangka panjang.

Dana amanah memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan tempatan dan global dan dana ini biasanya terdiri daripada portfolio aset yang pelbagai, daripada saham dan bon kepada hartanah dan komoditi.

Portfolio aset ini kebiasaannya dimiliki di peringkat tempatan dan juga global, mengikut pemberat yang tertentu.

Pasaran bursa saham seperti Bursa Malaysia bertindak sebagai pasaran yang membolehkan sekuriti, termasuk saham dan bon, dibeli dan dijual. Prestasi bursa saham adalah penunjuk utama sentimen pelabur dan prestasi ekonomi.

Pelbagai faktor, seperti pendapatan korporat, petunjuk ekonomi dan peristiwa geopolitik, mempengaruhi harga saham.

Memandangkan dana amanah sering memasukkan saham sebagai salah satu aset dalam portfolionya, prestasi dana amanah sering dikaitkan dengan prestasi bursa saham.

Pasaran saham yang teguh boleh meningkatkan pulangan dana amanah, menyumbang kepada pertumbuhan mampannya.

Prestasi pasaran saham yang berterusan positif akan menambah keyakinan pelabur tentang prospek ekonomi masa depan, yang seterusnya akan menggalakkan dana amanah untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada ekuiti.

Sebaliknya, kemerosotan dalam pasaran saham boleh menghakis nilai aset dana amanah, menjejaskan keupayaannya untuk memenuhi matlamat pulangan pelaburan yang diharapkan.

Ini kerana pasaran menurun memberi isyarat berhati-hati dan mungkin menyebabkan dana amanah mengambil keputusan untuk mengagihkan semula aset kepada pelaburan yang lebih konservatif, seperti bon atau simpanan tetap.

Oleh itu, bursa saham bukan sahaja mempengaruhi prestasi dana amanah tetapi juga berfungsi sebagai barometer landskap ekonomi yang lebih luas.

Prestasi ekonomi sesebuah negara diukur melalui pelbagai indikator makro seperti pertumbuhan KDNK, kadar inflasi, angka pekerjaan dan sentimen pasaran keseluruhan. Dana amanah tidak terlepas daripada pengaruh makroekonomi ini.

inflation and unit trust

Semasa ekonomi mengembang, dana amanah akan mengalami peningkatan pulangan kerana perniagaan turut meningkat maju, membawa kepada harga saham dan dividen yang lebih tinggi.

Sebaliknya, semasa kemelesetan ekonomi, dana amanah mungkin menghadapi cabaran apabila pulangan pelaburan merosot, menjejaskan keupayaannya untuk memenuhi sasaran pelaburan.

Dalam era globalisasi, kesalinghubungan pasaran kewangan menyebabkan apa sahaja isu atau konflik di peringkat antarabangsa turut memberi kesan ke atas dana amanah, bursa saham dan prestasi ekonomi tempatan.

Krisis geopolitik, perang tarif, pemanasan global atau kelembapan ekonomi global boleh memberi kesan yang melata, menjejaskan prestasi dana amanah dan dinamik pasaran saham merentas sempadan.

Oleh itu, kepelbagaian strategi pelaburan dana amanah adalah penting untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan ketidaktentuan pasaran global.

Setiap tahun, kerajaan persekutuan dan Bank Negara Malaysia akan melaksanakan dasar fiskal dan monetari yang bersesuaian untuk menstabilkan ekonomi semasa terutamanya apabila berdepan situasi yang mencabar.

Campur tangan sedemikian boleh mempengaruhi prestasi dana amanah dan dinamik pasaran saham. Pelarasan kadar faedah, pakej rangsangan seperti bantuan tunai dan subsidi boleh memberi kesan kepada tingkah laku pelabur dan sentimen pasaran, sekali gus mempengaruhi pulangan dana amanah dan prospek ekonomi keseluruhan.

Hubungan antara dana amanah, prestasi bursa saham dan prospek ekonomi keseluruhan negara adalah interaksi faktor yang dinamik dan rumit.

Dana amanah, sebagai pemain penting dalam landskap kewangan, akan sentiasa mendepani kerumitan tingkah laku pasaran saham dan bertindak balas terhadap persekitaran ekonomi yang lebih luas.

Hubungan simbiotik antara unsur-unsur ini menggariskan kepentingan pemahaman yang menyeluruh tentang pembentukan landskap kewangan di peringkat tempatan dan global.

Ketika pelabur dan penggubal dasar mengharungi kerumitan ini, kita sebagai individu yang turut menyimpan dan melabur, harus sentiasa peka dan mampu mempertimbangkan hubungan pelbagai rupa antara dana amanah, bursa saham dan prospek ekonomi ini kerana ianya adalah penting untuk memastikan kejayaan dan kestabilan pengurusan kewangan kita yang lebih mampan.

CTA Button-BlueYellow-BM