Hibah Amanah ASNB Permudah Tuntutan Waris

KITA sering membaca berita mengenai pertelingkahan antara ahli keluarga kerana menuntut harta pusaka, malah ada yang sehingga membawa maut kerana tiada persefahaman dalam mentadbir harta yang ditinggalkan.
Perkara ini sering terjadi kerana kegagalan harta diuruskan dengan baik oleh pemiliknya ketika masih hidup, menyebabkan waris yang tidak sefahaman tidak dapat menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan.
Malah ada harta yang kehilangan nilainya kerana ia terbiar bertahun-tahun lamanya tanpa boleh digunakan akibat pertikaian ahli keluarga, sedangkan ia boleh menjana pendapatan jika diurus dengan baik.
Justeru harta pusaka perlu diurus sebaiknya ketika pemiliknya masih hidup, menggunakan beberapa instrumen seperti wasiat, hibah, amanah ataupun waqaf.
Hanya dengan perancangan harta pusaka yang betul, harta yang ditinggalkan dapat terus memberi manfaat kepada waris.
Melihat kepada pentingnya keperluan untuk memastikan harta yang ditinggalkan terus memberi manfaat kepada waris, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan produk pengurusan harta pusaka membabitkan pelaburan unit amanah dalam Amanah Saham Bumiputera dan semua tabung unit amanah kendalian institusi itu.
Kelebihan utama perkhidmatan ini ialah ia mampu menyelesaikan urusan tuntutan waris terhadap unit amanah milik pelabur dalam tempoh kurang 30 hari berbanding tempoh minimum 3 bulan sekiranya pelabur tidak melanggan perkhidmatan ini.
Menerusi perkhidmatan ini, proses agihan harta pusaka yang melibatkan unit amanah ASNB menjadi lebih pantas dan efisien berbanding dengan kaedah perwarisan biasa.

Hibah Amanah ialah perkhidmatan berlandaskan Syariah yang menerapkan konsep hibah (pemberian hadiah atas dasar kasih sayang) dan amanah (di mana harta hibah akan ditadbir oleh pemegang amanah sebelum diserahkan kepada penerima hibah selepas kematian pemberi hibah).
Perkhidmatan Hibah Amanah ini memberi kemudahan alternatif kepada pelabur beragama Islam untuk mempercepatkan proses pentadbiran harta pusaka yang berbentuk unit amanah ASNB.
Pengisytiharan Amanah pula ialah perkhidmatan menerapkan konsep amanah dalam pengurusan harta pelabur bukan Islam yang membabitkan pelaburan unit-unit amanah ASNB.
Apabila pelabur melanggan Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, waris hanya perlu mengemukakan dokumen berkaitan kepada ASNB untuk membuat tuntutan untuk baki pelaburan pelabur yang sudah dihibah amanah atau diamanahkan menerusi kedua-dua produk berkenaan.
Waris pelabur tidak perlu lagi ke mahkhamah untuk mendapatkan surat kuasa dan probet yang biasanya membabitkan proses yang agak rumit dan mengambil masa.
Proses mendapatkan surat kuasa dan probet ini adalah sebahagian daripada peruntukan undang-undang pentadbiran harta pusaka, dan ia perlu dilakukan kerana semua harta orang yang meninggal dunia akan dibekukan sehinggalah kedua-dua dokumen ini diperoleh daripada Mahkhamah.
Walaupun ada penama, proses mendapatkan dokumen berkenaan tetap perlu dilakukan kerana penama bukanlah pewaris mutlak untuk harta yang dinamakan atas nama mereka.

Justeru, dengan melanggan Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, pelabur dapat membantu waris mengelak daripada melalui proses rumit berkenaan, untuk memperoleh hak mereka tanpa kerumitan dan secara tidak langsung memudahkan mereka yang tersayang meneruskan kelangsungan hidup.
Asas kepada Hibah ialah pemberian berdasarkan rasa kasih sayang terhadap mereka yang banyak berjasa kepada pemilik harta. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang diingini, termasuklah anak angkat, sahabat atau saudara.
Pendaftaran untuk produk Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah boleh dilakukan di semua cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di seluruh negara dan caj yuran yang dikenakan untuk urusan berkaitan perundangan adalah rendah dan berpatutan.
