Fajar Ringgit & Senjakala Dolar


Fajar Ringgit & Senjakala Dolar: Adakah Raja Mata Wang Sedang Turun Takhta?
Emas mencanak, ringgit menerima nafas baru
RM3.90/USD. Inilah nilai Ringgit terkuat berbanding Dolar AS (USD) yang dicatatkan pada minggu kedua Februari. Selain merupakan paras tertinggi sejak 2018, ia juga kali pertama mata wang kita kembali ke bawah paras psikologi RM4.00 sejak Mei 2021.
Alangkah bezanya keadaan hari ini berbanding dua tahun lalu. Pada Mac 2024, kadar tukaran menghampiri RM4.80/USD. Sewaktu itu, perbandingan sering dibuat dengan masa Krisis Kewangan Asia 1997 di mana kegawatan ekonomi yang pernah mengakibatkan igauan ngeri.
Pada masa yang sama, harga emas dunia melambung ke paras tertinggi dalam sejarah, sehingga hampir US$5,500 satu aun. Ini bukanlah satu kebetulan. Kuncinya bukan di Kuala Lumpur, tetapi jauh di hamparan ais Greenland di mana Amerika Syarikat (AS) secara tiba-tiba mengancam sekutu rapatnya sendiri. Tindakan “ala koboi” yang sebelum ini dianggap sebagai gurauan politik kini telah merubah persepsi dunia terhadap keselamatan simpanan Dolar.
Fenomena Debasement Trade dan Pengajaran Liberation Day
Dalam dunia kewangan, beberapa penganalisis melabelkan situasi ini sebagai Dollar Debasement Trade. Ini berlaku apabila pelabur mula beralih daripada mata wang fiat (mata wang kertas tanpa sandaran emas) seperti Dolar kerana terhakisnya keyakinan terhadap institusi dan dasar kerajaan AS. Walaupun masih awal untuk mengesahkan fenomena ini secara mutlak, namun bibit-bibit ke arah itu sudah menusuk mata.
April 2025: Liberation Day merupakan pengajaran pedih untuk pemerhati forex. Itulah hari AS mengumumkan tarif yang melibatkan satu dunia. Detik krisis keyakinan dalam institusi AS bermula dan Dolar seperti dilelong pelabur dalam kejadian yang dikenali sebagai Sell America. Inilah natijah apabila Washington melihat perdagangan antarabangsa sebagai zero-sum game—permainan di mana "kalau orang lain untung, AS rasa mereka rugi".
Sebelum ini, status Dolar AS sebagai aset safe haven tidak pernah dipersoalkan. Dahulu, apabila kegentingan dalam pasaran kewangan berlaku, Dolar adalah “mata wang agung” yang paling selamat dan nilainya akan melonjak. Lihat sahaja pada tahun 2018; ketika perang perdagangan pertama dilancarkan oleh AS. Nilai Dolar terus meningkat sehingga menyebabkan Ringgit melemah ke paras RM4.20/USD berbanding sekitar RM3.80/USD pada awal tahun tersebut.
Dedolarisasi: Evolusi, Bukan Revolusi Pantas
Kejatuhan mata wang yang begitu dominan seperti Dolar di persada dunia adalah pengalaman sekali seumur hidup. Namun, lembaran sejarah membuktikan bahawa status Raja Mata Wang tidak kekal abadi. Jika kita menoleh ratusan tahun ke belakang, gelaran ini pernah dipegang oleh Guilder Belanda dan Pound Sterling British sebelum beralih kepada Dolar.
Hari ini, takhta Dolar mula digugat oleh emas dan mata wang serantau yang lebih stabil. Malah, bank-bank pusat dunia kini memegang lebih banyak emas berbanding US Treasuries, paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad.
Adakah kita patut membuang semua pelaburan Dolar? Tidak. Lihat sahaja UK; walaupun mereka bukan lagi pemegang rizab utama dunia, pasaran kewangan mereka tetap penting sehingga kini. Dedolarisasi bukanlah mi segera yang siap dalam 3 minit. Ia boleh memakan bertahun-tahun atau berdekad-dekad. Namun, tindakan melulu kerajaan AS sekarang membuatkan peralihan ini berisiko berlaku lebih cepat daripada sepatutnya.
Kelemahan Dolar tidak bermakna pasaran saham AS akan tutup kedai. Dominasi Dolar Dolar dalam pasaran kewangan global dan kecairannya bermakna AS akan tetap menjadi gelanggang pelaburan yang penting. Malah, indeks Dow Jones mencecah 50,000 buat kali pertama hasil ledakan Kecerdasan Buatan (AI).
Dutch guilder selepas hilang status mata wang rizab selepas Fourth Anglo-Dutch War
Fajar Ringgit bukan sekadar Dolar yang malap
Ringgit bukan sekadar menumpang tuah atas kejatuhan Dolar. Sepanjang tahun lepas, prestasi ekonomi Malaysia telah melonjak melampaui unjuran kebanyakan penganalisis ekonomi. Anggaran awal KDNK menunjukkan ekonomi kita berkembang 4.9% bagi 2025. Malaysia kini sedang menikmati era Digital Renaissance. Pelaburan besar-besaran dalam hyperscale data centres telah meletakkan kita sebagai hab infrastruktur AI dunia.
Fajar baru untuk Malaysia dan Ringgit
Peluang dalam Ketidaktentuan
Bagi pemegang aset global seperti ASN Equity Global, kekuatan Ringgit mungkin sedikit "mencubit" pulangan jangka pendek anda. Namun, anggaplah ini sebagai "diskaun" untuk membeli aset luar negara pada harga lebih murah. Sama seperti peluang mengerjakan umrah dengan kos lebih rendah, ini adalah masa terbaik untuk pelabur bijak melakukan global diversification pada harga lebih murah.
Akhir kata, dalam drama geopolitik yang lebih hebat dari siri-siri di Netflix, sikap neutral Malaysia adalah "senjata sulit" kita. Tiada pakar yang mampu meramal masa depan dengan tepat 100%, tetapi yang pasti: di mana ada krisis, di situ ada peluang. Pilihannya di tangan anda.
