Elak 3 Kesilapan Ini Supaya Anak Anda Bijak Urus Wang
_.jpg)
Ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak yang mana kedua-dua figura ini merupakan sumber rujukan pertama dan utama bagi anak-anak dalam pelbagai perkara sepanjang mereka membesar.
Bak kata pepatah ‘anak-anak ini ibarat kain putih’, maka ibu bapalah yang bertanggungjawab memimpin tangan untuk membantu menentukan hala tuju dan masa depan mereka. Antara kemahiran paling penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa, tetapi ramai terlepas pandang ialah kemahiran mengurus wang.
Kebanyakan ibu bapa merasakan adalah tidak perlu memberi perhatian kepada peri pentingnya menerapkan ilmu dan kemahiran mengurus wang dalam diri anak-anak kerana memikirkan bahawa anak-anak kecil ini masih belum mempunyai sumber pendapatan dan belum sampai masanya untuk mereka memegang wang sendiri.
Oleh itu, tumpuan lebih kepada pencapaian dan kecemerlangan akademik, namun sayangnya apabila dewasa, ramai anak muda yang menanggung beban kewangan berlebihan walau mempunyai gaji yang besar.
Tidak salah untuk ibu bapa menumpu kepada usaha memastikan anak-anak meraih keputusan cemerlang setiap kali menduduki peperiksaaan atau cemerlang dalam sukan serta pelbagai perkara lain, namun kegagalan mendidik anak-anak mengenai wang boleh menyebabkan mereka mengharungi usia dewasa tanpa memahami nilai wang sehingga akhirnya menyebabkan mereka menanggung hutang berlebihan tanpa tabungan kecemasan.
Statistik menunjukkan ramai golongan muda muflis walau mereka baru saja memulakan kehidupan bekerjaya, yang mana antara 2018 hingga September 2022, seramai 10,138 anak muda dalam lingkungan usia berkenaan diisytiharkan bankrap, dan daripada jumlah itu, 240 daripadanya berusia bawah 25 tahun.
Punca utama bankrap ialah gaya hidup mewah di luar kemampuan menyebabkan mereka berhutang seawal gaji pertama. Statistik ini menunjukkan bahawa membesar tanpa ilmu kewangan yang betul akan dengan mudah menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang dan masalah kewangan berpanjangan.
Untuk membantu ibu bapa di luar sana mendidik anak-anak mengenai pengurusan kewangan, kami kongsikan 3 kesilapan biasa yang perlu dielakkan supaya anak-anak anda bijak mengurus wang.
1. Tidak mengajar anak-anak membuat bajet
Bagi membentuk tabiat berbelanja yang baik, kita semua memerlukan bajet atau pelan perbelanjaan untuk memantau perbelanjaan dan panduan bagaimana kita sepatutnya berbelanja dengan pendapatan yang ada.
Mungkin kita berasa agak ‘serius’ untuk mendidik anak-anak membuat bajet, namun sebenarnya bajet ini hanyalah satu catatan perbelanjaan mudah yang dapat membantu sesiapa sahaja mengenalpasti perbelanjaan berbanding pendapatan yang diterima.
Mulakan dengan menunjukkan rekod bajet anda setiap bulan supaya mereka faham mengenai pendapatan dan perbelanjaan serta pelaburan.
Sebagai ibubapa, anda boleh menyediakan buku nota kecil untuk anak-anak anda mencatatkan wang yang diterima dan perbelanjaan yang dilakukan setiap hari. Dengan cara ini, anak anda akan dapat mempelajari bagaimana menjejak wang yang digunakan setiap hari.
Setiap hujung minggu, pastikan anda melihat catatan perbelanjaan anak-anak anda dan ambil kesempatan ini untuk menerangkan mengenai pendapatan dan perbelanjaan serta mengapa sangat penting untuk mereka memastikan perbelanjaan atau elaun yang diterima tidak sesekali melebihi pendapatan.
2. Tidak mendidik anak-anak kepentingan menabung
Apabila anak-anak anda sudah memahami konsep pendapatan dan perbelanjaan serta sudah pandai membuat bajet, perlahan-lahan terangkan kepada mereka mengenai perbezaan antara keperluan dan kehendak dan cabar mereka untuk mencatatkan lebihan setiap hari, mungkin bermula dengan 10 sen sehinggalah kemudiannya kepada jumlah yang lebih besar.
Cuma kena ingat, jangan terlalu memaksa anak-anak ini, berikan mereka masa untuk menyesuaikan diri supaya mereka berasakan bahawa aktiviti membuat bajet ini sesuatu yang menyeronokkan dan perlu diteruskan hingga ke usia dewasa.
Jelaskan kepada mereka pentingnya mempunyai lebihan daripada pendapatan, supaya wang berkenaan dapat disimpan di dalam tabung dan digunakan di kemudian hari untuk perkara yang benar-benar diinginkan.
Beritahu mereka konsep “sediakan payung sebelum hujan” kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, justeru kita perlu membuat persediaan sekiranya berlaku perkara luar dugaan.
Kebanyakan ibu bapa tidak mengajar konsep menabung dan melabur kepada anak-anak menyebabkan anak-anak ini tidak pernah tahu mengenai kepentingan mengetepikan sedikit wang untuk kecemasan atau untuk mencapai impian masa depan.
Malahan ada ibu bapa yang membuat pelaburan setiap bulan dalam akaun ASB anak-anak mereka, tetapi ini dilakukan secara senyap dan anak-anak mereka tidak sekalipun dimaklumkan mengapa mereka melabur dalam ASB untuk anak-anak mereka.
Sudahnya apabila dewasa, anak-anak ini yang tidak mempunyai ilmu pengurusan wang, akhirnya menghabiskan saja wang yang dilaburkan ibu bapa mereka ini begitu sahaja kerana wang berkenaan ibarat ‘rezeki yang datang bergolek’.
Jadi, pastikan anda mendidik anak-anak supaya mereka biasa untuk mengetepikan sebahagian daripada wang saku, elaun atau biasiswa untuk disimpan dan dilaburkan di tempat yang mampu memberikan pulangan yang kukuh dan stabil. Pastikan pelaburan yang dipilih adalah selamat dan mudah dikeluarkan apabila memerlukan.
3. Tidak mengajar anak-anak ilmu pelaburan
Pelaburan merupakan antara cara yang boleh digunakan untuk mengembangkan nilai wang dan melindunginya daripada mengecil akibat inflasi. Namun begitu perkataan ‘melabur’ ini kelihatan seperti sangat besar dan rumit hingga menyebabkan ibu bapa berasakan ia tidak perlu diperkenalkan kepada anak-anak mereka.
Sudahnya anak-anak ini membesar dengan hanya mengenal perkataan belanja dan hutang dan menguruskan wang berdasarkan kedua-dua perkara ini sahaja.
Jadi apa kata, mulakan segera untuk memperkenalkan anak-anak anda mengenai kepentingan melabur, risiko dan pulangan dan juga kuasa faedah kompaun.
Setiap tahun, apabil ASB, Tabung Haji atau KWSP mengumumkan dividen, ambil kesempatan ini untuk mendedahkan maklumat berkenaan kerana pengumuman dividen ketiga-tiga institusi ini biasanya menjadi perhatian ramai dan kemungkinan besar menarik perhatian anak-anak ini juga.
Terangkan perbezaan risiko pelaburan dalam ASB, pasaran saham dan kripto atau jelaskan mengapa hukum pelaburan Forex itu haram walau pulangan yang dijanjikan adalah tinggi atau mengapa hari ini inflasi dikatakan begitu tinggi berbanding sebelum ini.
Gunakan pelbagai peristiwa berkaitan kewangan dan ekonomi yang berlaku sepanjang tahun untuk memperkenalkan “jargon” kewangan mudah kepada anak-anak dan tidak mustahil dengan cara ini, mereka akan membesar dengan sedikit ilmu yang dapat membantu mereka membina kehidupan dan kewangan yang selesa.
Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mendidik dan mendedahkan anak-anak mengenai kepentingan mengurus wang dengan betul, bagaimana untuk melabur dan bagaimana mengurus hutang supaya ia tidak menjadi beban kewangan berpanjangan.
Sentiasa ingatkan anak-anak anda supaya berhemah dalam berbelanja, lebih-lebih lagi apabila mereka mula bekerjaya kelak. Janganlah pula sebagai ibubapa, kita menjadi punca hutang anak menggunung tinggi kerana memenuhi keinginan kita.
Beri peluang kepada anak-anak untuk membina kehidupan selesa berdasarkan kemampuan kewangan mereka. Ingatkan selalu kepada mereka, hutanglah punca kepada masalah, jadi sentiasalah segan untuk berhutang tetapi jangan takut untuk melabur.
Memulakan pelaburan kini lebih mudah melalui portal atau aplikasi myASNB. Untuk maklumat lanjut layari https://www.myasnb.com.my/.