Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Tabung Pendidikan: Hadiah Paling Bernilai

Education-Fund-Most-Valuable-Gift
ASNB Logo
ASNB Academy

7 minit masa membaca

Pendidikan anak merupakan antara hadiah paling berharga yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Dalam dunia penuh cabaran ini, menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak merupakan impian setiap ibu bapa demi memastikan masa depan anak mereka adalah terjamin. Namun begitu, kewangan sering menjadi penghalang.

Dalam persekitaran hari ini yang mana persaingan untuk mendapatkan biasiswa atau tempat di Universiti Awam semakin sengit, adakah kita menunggu sehingga anak-anak tamat mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mula memikirkan kos membiayai pendidikan mereka di peringkat pengajian tinggi?

Adakah kita mahu anak-anak kita bergantung sepenuhnya kepada pinjaman untuk melanjutkan pelajaran dan kemudiannya memulakan hidup mereka dengan hutang, atau kita boleh memilih untuk menyediakan tabung pendidikan untuk mereka?

Tabung pendidikan itu mestilah cukup untuk membiayai keperluan kewangan anak-anak ketika menyambung pengajian termasuklah yuran pengajian, buku, sara diri, pengangkutan dan pelbagai perbelanjaan lain yang berkaitan.

Tabung-pendidikan-

Untuk memastikan wang dalam tabung pendidikan berkenaan adalah mencukupi, anda perlu mula melabur dalam tabung berkenaan sejak anak anda lahir untuk menikmati manfaat kuasa faedah kompaun.

Ingatlah setiap langkah yang kita ambil walau sekecil manapun, akan membantu kita membina tabung pendidikan dan membawa kita lebih hampir ke arah merealisasikan impian untuk menyediakan hadiah paling berharga ini untuk anak-anak kita.

1. Tetapkan Matlamat Tabung Pendidikan

Sebelum mula membina tabung pendidikan, adalah penting untuk menentukan dengan jelas matlamat dan hala tuju yang anda impikan untuk pendidikan anak-anak anda.

Oleh kerana anak anda masih kecil, anda boleh membinanya dengan menjadikan masa depan mereka sebagai impian anda atau memilih kursus yang popular seperti perakaunan, kejuruteraan dan kedoktoran.

Apabila anak anda semakin dewasa, bincang semula dengan mereka mengenai minat dan keinginan mereka dan sesuaikannya dengan sasaran jumlah yang anda letak untuk tabung berkenaan.

2. Anggarkan Jumlah yang Perlu Dikumpul

Untuk memastikan anggaran yang anda buat adalah betul, anda perlu membuat kajian menyeluruh mengenai kos setiap kursus kerana ia adalah berbeza mengikut universiti, lokasi, jenis program dan peringkat kursus yang diambil.

Jadual di bawah menunjukkan anggaran kos pendidikan semasa untuk peringkat ijazah di universiti awam dan swasta berdasarkan kursus yang ingin diambil:

Kos-pendidikan

Walau bagaimanapun, kos pendidikan boleh berubah dan meningkat dalam tempoh sepuluh tahun akan datang disebabkan oleh inflasi dan usaha universiti untuk meningkatkan kualiti program mereka.

Dengan andaian kadar inflasi tahunan purata sebanyak 4%, yuran tersebut mungkin meningkat mengikut jumlah yang ditunjukkan dalam jadual.

Memandangkan kos pendidikan yang semakin meningkat, adalah penting untuk anda mula melabur seawal mungkin, walaupun hanya RM50 setiap bulan. Lebih awal anda bermula, lebih rendah jumlah pelaburan bulanan yang perlu dilakukan, sekaligus mengurangkan bebanan kewangan untuk jangka panjang.

3. Buka Akaun Pelaburan untuk Anak Anda

Membina tabung pendidikan memerlukan komitmen jangka panjang yang berterusan kerana ia akan mengambil sekurang-kurangnya 18 tahun sekiranya anda mula membinanya sebaik anak-anak anda dilahirkan.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk ibu bapa mula melabur dengan jumlah yang tidak membebankan kewangan supaya pelaburan berkenaan dapat dilakukan secara konsisten.

Pilih instrumen pelaburan berisiko rendah untuk membina tabung pendidikan anak-anak anda dan antara yang sesuai ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau deposit tetap bank.

4. Tetapkan Pelaburan Bulanan

Katakan anda melabur RM100 sebulan sejak anak anda dilahirkan. Dengan purata dividen tahunan sebanyak 5%, pelaburan anda akan berkembang kepada jumlah terkumpul sekitar RM34,700 apabila anak anda mencapai umur 18 tahun, selagi anda tidak mengeluarkan wang yang dilaburkan termasuklah dividen yang diterima.

Jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak, anda boleh memperuntukkan RM50 atau lebih rendah untuk setiap anak, asalkan anda membina tabungan untuk setiap anak.

Dengan RM50 sebulan, anda boleh mempunyai pelaburan terkumpul sebanyak RM17,333 apabila anak sudah mencapai umur 18 tahun kelak sekiranya purata dividen tahun masih sama iaitu 5%.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan wang hadiah dan ganjaran yang diterima anak-anak anda seperti duit raya, hadiah kecemerlangan dan sebagainya untuk mengembangkan lagi jumlah yang dilaburkan dengan lebih pantas.

5. Semak Strategi Pelaburan Setiap Tahun

Jangan lupa untuk menyemak strategi pelaburan setiap tahun untuk memastikan anda berada dilandasan yang betul untuk menyediakan wang yang cukup untuk membiayai kursus yang diidamkan anak-anak anda.

Kongsi dan bincangkan dengan anak-anak anda kerana mereka minat dan impian mereka mungkin berubah berbanding apa yang pernah mereka kongsikan sebelum ini.

Pastikan strategi pelaburan anda adalah fleksibel dan boleh diubah mengikut keperluan seiring dengan perubahan kos yang mungkin berlaku.

Secara realistiknya, jumlah yang anda kumpul mungkin tidak cukup untuk menampung keseluruhan kos pendidikan anak-anak anda, namun pastinya ia memberi sedikit kelegaan kepada kita sebagai ibu bapa jika kita dapat mengurangkan beban kewangan anak-anak dalam usaha mereka merealiasikan impian.

Jangan lupa untuk turut melibatkan anak-anak anda dalam proses membina tabung pendidikan ini dengan mendidik mereka mengenai nilai wang. Ini pastinya membantu mereka lebih menghargai hadiah paling berharga yang anda berikan ini, iaitu pendidikan.

Adalah penting untuk mendidik mereka mengenai perancangan kewangan dan pelaburan kerana mereka perlu mengurus sendiri kewangan mereka apabila mereka memulakan kehidupan sebagai pelajar.

Sekiranya mereka memahami mengenai nilai wang sejak dari kecil, pastinya mereka akan berterima kasih kepada anda dikemudian hari kerana mereka menyedari bahawa impian mereka tidak murah dan memerlukan sejumlah wang yang besar untuk direalisasikan.

Tip Kejayaan dalam Membina Tabung Pendidikan:

  1. Mula melabur untuk memulakan tabung pendidikan seawal mungkin untuk menikmati manfaat kuasa faedah kompaun.
  2. Instrumen pelaburan berisiko rendah sesuai untuk tabung pendidikan kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang dan anda tidak berdepan kerugian modal
  3. Strategi pelaburan untuk membina tabung pelaburan mestilah fleksibel dan mudah diubah kerana kos pengajian boleh berubah dengan mudah, begitu juga dengan impian anak-anak anda
  4. Tanpa tabung pendidikan, anak-anak anda mungkin terpaksa mengambil pinjaman untuk meneruskan pengajian dan ini menyebabkan mereka memulakan kehidupan dengan hutang
  5. CTA Button-BlueYellow-BM