Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Dividen ASB Kekal Kompetitif

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff
Prof-Madya-Ahmed-Razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff

5 minit masa membaca

Pada 21 Disember 2023, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Ini merupakan berita gembira kepada pemegang unit ASB kerana jumlah pengagihan pendapatan yang diumumkan adalah lebih tinggi dari tahun sebelumnya dan tertinggi sejak tahun 2019, iaitu tahun berlakunya pandemik Covid-19. Pengagihan pendapatan bagi tahun 2021 ialah 5.00 sen seunit (4.25 sen seunit dan bonus 0.72 sen seunit), manakala bagi tahun 2022 ialah 4.60 sen seunit (3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit dan bonus tambahan 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama). Apabila dibandingkan kadar pengagihan pendapatan ini dengan kadar pulangan deposit tetap oleh bank komersil di Malaysia (sekitar 2.7% hingga 2.8%), ternyata ASB memberikan pulangan yang lebih tinggi.

Selain itu, jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan turut bertambah kepada RM9.3 billion, naik daripada RM8.9 billion pada tahun 2022 dan 2021. Ini adalah petanda positif bahawa prestasi ASB semakin meningkat setiap tahun. Malahan, jumlah pemegang unit juga telah bertambah pada tahun 2023 kepada 10.8 juta pemegang unit, meningkat 200,000 pemegang unit daripada tahun 2022 yang turut menyaksikan peningkatan 200,000 pemegang unit daripada tahun 2021. Ini sekaligus membuktikan bahawa ASB kekal menjadi strategi utama bagi golongan Bumiputera untuk menyimpan dan melabur. Kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) turut melaporkan produk ASNB kekal sebagai pilihan pelaburan paling popular.

Prestasi cemerlang ASB ini dapat dilihat melalui pengurusan dana yang cekap oleh PNB, yang ditubuhkan pada 17 Mac 1978 sebagai syarikat pengurusan dana yang memfokuskan kepada memperkayakan kehidupan Bumiputera dan semua rakyat Malaysia demi kemakmuran negara. Penubuhan PNB memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk mempertingkatkan kualiti hidup melalui pengurusan kewangan yang lebih tersusun, atau dengan lebih khususnya, melabur di dalam unit amanah. Kejayaan PNB selama ini didorong oleh pengurusan dana yang cekap oleh kumpulan profesional yang diterajui oleh ahli lembaga pengarah yang berkaliber, berintegriti dan mempunyai pengalaman yang luas di peringkat nasional dan antarabangsa. Malahan, jika dilihat sejarah PNB sejak zaman penubuhannya hingga sekarang, tidak pernah berlaku mana-mana insiden yang menyebabkan terjejasnya operasi pelaburan PNB itu sendiri, sekaligus membuktikan yang PNB sentiasa ditadbir dengan tatakelola yang amat baik.

Dari segi strategi pelaburannya, PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi pada tahun 2023. Ini berhasil daripada strategi perumpukan dan kepelbagaian aset yang tidak bertumpu kepada pasaran domestik semata-mata tetapi turut mengintai peluang pulangan atas pelaburan yang lebih tinggi di pasaran antarabangsa. Tidak dinafikan bahawa walaupun situasi ekonomi di Malaysia dianggap sudah stabil apabila mencatatkan pertumbuhan positif KDNK setiap suku tahun pada tahun ini, situasi geopolitik dunia berterusan memberi cabaran kepada kemampuan negara untuk terus menjadi negara yang berdayasaing dan kekal mampan. Namun, kesemua cabaran ini telah dapat diharungi dengan baik oleh PNB untuk terus memastikan pulangan pelaburan yang konsisten dan kompetitif setiap tahun dan berterusan mengatasi penanda aras yang ditetapkan.

Pada masa yang sama, ramai yang menyuarakan ketidakpastian berkenaan strategi pengurusan kewangan yang patut diamalkan pada tahun hadapan dan seterusnya. Ini kerana situasi ekonomi global yang tidak menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, prestasi Ringgit Malaysia yang tidak menentu serta isu geopolitik yang semakin panas terutamanya di Eropah dan Asia Tengah. Di peringkat domestik, isu gaji yang kekal rendah dan isu kos sara hidup masih lagi diperkatakan yang mana harga barang keperluan dirasai sentiasa naik setiap masa. Jika kos sara hidup terus meningkat, ianya akan mengurangkan pendapatan bolehguna sekaligus mengurangkan kemampuan untuk kita menyimpan dan melabur. Namun, strategi yang seeloknya ialah untuk terus menjadikan penyimpanan dan pelaburan sebagai keutamaan dalam pengurusan kewangan kita pada tahun hadapan kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kita tidak dapat menjangkakan bila kita akan memerlukan wang tambahan untuk maksud tujuan kecemasan seperti kes kesihatan, kemalangan atau sebagainya.

Maka wang simpanan dan pelaburan kita akan benar-benar dapat membantu dalam situasi kritikal tersebut. Selain itu, pulangan atas pelaburan yang amat konsisten oleh ASB akan memastikan kekayaan kita akan berterusan meningkat tanpa perlu risau adakah kita akan kehilangan kesemua itu sekelip mata seperti pelaburan lain. Ini kerana keistimewaan pelaburan ASB ialah ianya dijamin oleh kerajaan dan tiada risiko kehilangan pelaburan itu pada bila-bila masa.

Oleh itu, apa yang penting selepas ini ialah untuk memastikan rakyat akan terus menyimpan untuk jangka masa panjang demi masa depan mereka yang lebih terjamin. Ini juga selaras dengan matlamat PNB yang diperbaharui baru-baru ini iaitu ‘Untuk Mengukuh Kedudukan Kewangan Rakyat Malaysia, Merentas Generasi’. Oleh itu rakyat digesa untuk berterusan meningkatkan kefahaman dan pengetahuan dalam pengurusan kewangan, mengamalkan perbelanjaan berhemah dan sentiasa menyimpan dan melabur di dalam dana yang terbukti mampu memberi jaminan masa hadapan yang lebih cerah bukan sahaja untuk diri sendiri malahan untuk generasi akan datang.

CTA Button-BlueYellow-BM