Dividen ASB Peluang Bina Kekayaan

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) baru-baru ini mengumumkan agihan pendapatan 5.75 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB), memberi kelegaan kepada pelabur yang sememangnya menunggu-nunggu pengumuman dividen ASB setiap tahun.
Angka ini mencerminkan keupayaan ASB untuk terus memberi pulangan kompetitif kepada pelabur dalam persekitaran yang mana prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan global masih berada dalam persekitaran yang sangat mencabar manakala pasaran saham tempatan tidak mencatat prestasi sebaik tahun 2024.
Keupayaan pengurus dana mengekalkan dividen pada kadar lebih 5% ini sewajarnya menjadi sandaran pelabur untuk kekal melabur dalam ASB untuk manfaat kewangan jangka panjang.
Manakan tidak, ASB yang merupakan pelaburan tanpa risiko kerana diurusniaga pada harga tetap RM1 seunit, jelas memberi dividen lebih tinggi berbanding penanda aras Deposit Tetap Maybank 12 bulan yang hanya memberi pulangan tahunan 2.05 -2.1%.
3 Strategi Bijak Urus Dividen ASB Supaya Duit anda Berkembang
Pasti ramai antara pelabur ASB yang menarik nafas lega kerana mereka kini mempunyai sumber kewangan untuk persediaan anak-anak memulakan persekolahan. Pastinya ada juga yang sudah berkir-kira untuk membayar hutang, berangan menukar gajet atau berhasrat membeli perabot dan baju baru sempena Aidilfitri yang bakal menjelma.
Tidak dinafikan, ramai yang melihat dividen ASB sebagai ‘bonus’ atau wang tambahan untuk dibelanjakan, sedangkan hakikat sebenar, dividen ialah alat penting yang boleh membantu anda membina tabungan kukuh untuk masa depan.
Ini kerana syarat utama untuk kuasa faedah kompaun mengembangkan pelaburan ialah pengekalan modal dan dividen untuk jangka panjang. Justeru, pengeluaran dividen perlu diurus dengan baik supaya pelaburan boleh terus berkembang. Berikut ialah beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurus dividen dengan berkesan:
1. Sekiranya tiada keperluan mendesak, tidak perlu keluarkan.
Sekiranya anda mempunyai kewangan selesa, elakkan mengeluarkan dividen untuk perkara tidak perlu. Sekiranya anda masih muda, mungkin boleh tetapkan matlamat jangka panjang untuk memiliki RM1 juta dalam ASB apabila berusia 50 tahun, atau jika anda lebih berusia, mungkin boleh menumpu untuk membina Tabung Persaraan. Dengan cara ini, anda bukan sahaja membina tabungan kukuh, tetapi mempunyai sumber kewangan tersedia untuk menambah aset apabila ada peluang sesuai.
2. Jika ada keperluan, buatlah bajet sebelum mengeluarkan dividen.
Langkah ini memastikan anda tidak mengeluarkan lebih daripada perlu. Gunakan kemudahan pengeluaran secara dalam talian menerusi myASNB supaya dividen boleh dikeluarkan secara berperingkat mengikut keperluan. Ada pelabur yang mengeluarkan semua dividen yang diterima kerana mereka tidak mahu beratur berkali-kali. Untuk memudahkan urusan pengeluaran, semua dividen dikeluarkan secara sekaligus. Sayangnya pengeluaran tanpa perancangan ini akhirnya menyebabkan dividen yang diterima habis begitu sahaja.
3. Tiada keperluan tetapi ingin memberi ganjaran kepada diri sendiri (‘self-reward’)
Bagi yang baru saja mula melbaur atau yang bertahun-tahun melabur tetapi jarang sekali atau tidak pernah mengeluarkan, mungkin ada keinginan untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri kerana berjaya mendisplinkan diri untuk kekal melabur dalam ASB. Sekiranya ada keinginan untuk ‘self-reward’ ini, tetapkan jumlah yang munasabah supaya anda dapat mengimbangkan antara kepuasan meraikan diri dan pada masa sama, memberi peluang kepada pelaburan berkembang. Contohnya keluarkan hanya 20-30% daripada dividen yang diterima untuk membeli barangan yang diidamkan atau berbelanja di café idaman.
Kesimpulan
Untuk menguruskan pelaburan dalam ASB supaya ia akhirnya menjadi sebuah tabungan yang kukuh, kita tidak boleh melihat dividen sebagai sekadar bonus tahunan atau wang tambahan.
Sebaliknya, anda perlu melihatnya sebagai alat yang sangat berkuasa yang mampu mengembangkan pelaburan berkali ganda. Ini kerana dividenlah yang menjadi penggerak kepada kuasa faedah kompaun yang mempunyai kuasa untuk mengembangkan pelaburan selagi modal dan dividen tidak dikeluarkan untuk jangka panjang.
Justeru dividen perlu diurus dengan baik supaya anda dapat merasai nikmat pelaburan jangka panjang dan memiliki sebuah tabungan kukuh sebagai sandaran waktu memerlukan.
Jadi, apa langkah anda selepas menerima dividen tahun ini? Kekalkan untuk kembangkan pelaburan, gunakan dengan bijak untuk manfaat diri atau habiskan saja semua? Pilihan di tangan anda!
