Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

Selesa Bersara: Cukupkah RM1 juta?

RM1-million-Enough-Retire?
ASNB Logo
ASNB Academy

7 minit masa membaca

Persaraan merupakan fasa peralihan penting dalam hidup kerana ia menandakan bermulanya fasa di mana kita tidak perlu lagi bekerja dan tidak lagi menerima pendapatan tetap setiap bulan.

Berdasarkan kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, anggaran jangka hayat purata bagi rakyat Malaysia ialah sehingga 74.8 tahun. Sekiranya kita memilih untuk bersara pada usia 60 tahun, ini bermakna kita masih mempunyai baki hampir 15 tahun untuk meneruskan kehidupan selepas persaraan.

Isu ketidakcukupan simpanan KWSP ketika ini berada pada tahap serius apabila 6.3 juta ahli berumur bawah 55 tahun atau 48 peratus mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September 2023.

Dengan simpanan kurang daripada RM10,000, ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Kajian menunjukkan kita memerlukan sekurang-kurangnya separuh daripada gaji terakhir yang diterima untuk hidup dengan selesa, dengan syarat kita tidak lagi mempunyai sebarang komitmen hutang, terutamanya pinjaman rumah dan kereta.

Berapa Kita Perlukan untuk Bersara?

Secara idealnya, apabila bersara kita hanya perlu mengambil kira sara hidup diri dan pasangan, kos perubatan, kos anak-anak yang masih bersekolah dan kos untuk kecemasan luar jangka.

Katakan gaji bersih terakhir yang kita terima ialah RM10,000 sebulan, jadi ini bermakna kita memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 setiap bulan untuk perbelanjaan bulanan selepas bersara.

Berdasarkan anggaran perbelanjaan RM5,000 setiap bulan ini dan tempoh hidup selama 15 tahun selepas bersara, kita perlu mempunyai kira-kira RM900,000 untuk menikmati persaraan dengan selesa.

Namun penasihat kewangan akan sentiasa menggalakkan supaya kita mempunyai tabungan persaraan yang lebih besar berbanding anggaran yang ini, kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Menurut Panduan Belanjawanku 2022/2023 , anggaran perbelanjaan bulanan bagi pasangan pesara yang tinggal di Lembah Klang ialah sebanyak RM3,210 di mana ia sudah meliputi kos sara hidup, kos perubatan, pengangkutan, utiliti dan perbelanjaan pilihan. Kos ini merupakan kos yang paling tinggi berbanding dengan bandar-bandar lain.

Melabur untuk Miliki RM1 Juta

Apabila membina tabung persaraan, kita perlulah memilih instrumen pelaburan berisiko rendah kerana ia memerlukan pelaburan dan komitmen jangka panjang. Jadi antara lokasi pelaburan yang sesuai ialah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau unit amanah harga tetap ASNB yang lain, deposit tetap bank dan unit amanah.

Untuk menentukan jumlah pelaburan bulanan yang diperlukan untuk memiliki RM1 juta ini, anda perlu menentukan tempoh pelaburan yang masih berbaki sebelum anda bersara.

Jika pada masa ini usia anda ialah 30 tahun, anda mempunyai 30 tahun lagi untuk bersara. Dengan andaian anda menerima pulangan purata 5 peratus setahun, anda perlu melabur RM1,254 setiap bulan untuk memiliki tabungan berjumlah RM1 juta.

Sekiranya anda lebih berusia, katakan 40 tahun, anda perlu melabur sebanyak RM2,520 setiap bulan.

Mengapa jumlah pelaburan bulanan semakin meningkat apabila usia semakin meningkat? Ini kerana apabila tempoh pelaburan semakin pendek, kekerapan kuasa pengkompaunan mengembangkan wang semakin berkurang, jadi jumlah yang dilaburkan perlulah lebih besar.

Tabung-persaraan

Gabungan KWSP dan ASB

Mungkin anda berasakan matlamat membina tabungan ini sukar untuk dicapai, namun jangan terlupa sebahagian daripada kita yang tidak memiliki pencen, mempunyai caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana kita sebenarnya telah mula melabur sejak dari hari pertama kita bekerja.

Pastikan anda juga melaburkan bonus dan sebarang wang lebihan yang diterima untuk menambah lagi jumlah tabung persaraan anda. Sebaiknya 50 peratus daripada bonus dilaburkan secara konsisten setiap tahun.

Gabungan KWSP dan pelaburan dalam ASB contohnya, akan membantu anda menjadikan misi memiliki RM1 juta satu kenyataan.

Mempunyai Insurans/ Takaful

Adalah lebih baik sekiranya kita bersara dan masih mempunyai insurans yang aktif yang dapat membiayai kos perubatan untuk penyakit kritikal dan melindungi kita dan pasangan sekiranya berlaku perkara luar dugaan yang mungkin menyebabkan kita hilang upaya.

Pastikan Tabung Persaraan Terus Bertahan

i. Jumlah Penggunaan Wang Setiap Bulan

Salah satu elemen penting dalam memastikan tabung persaraan bertahan lebih lama ialah dengan menentukan kadar tetap untuk wang yang boleh digunakan setiap bulan. Antara panduan yang boleh anda gunakan ialah Rule of 4% yang di mana anda hanya boleh mengeluarkan 4% daripada wang dalam tabung persaraan anda setiap tahun.

Sebagai contoh, 4% daripada RM1 juta. Ini bermakna anda boleh berbelanja kira-kira RM3,333 setiap bulan.

Mengawal perbelanjaan akan memastikan wang dalam tabung persaraan kekal dilaburkan dan terus bertahan menerusi dividen tahunan yang diterima.

Sebagai contoh, tabung persaraan dalam ASB akan kekal menerima dividen selagi jumlah pokok masih ada. Oleh itu, hanya keluarkan dividen atau sejumlah yang perlu sahaja dan pastikan tabung persaraan dalam ASB terus menjana dividen setiap tahun.

ii. Bajet untuk Pantau Perbelanjaan

Bajet akan membantu pesara untuk mengurus perbelanjaan bulanan dengan lebih baik. Memandangkan sumber kewangan adalah terhad, setiap perbelanjaan perlu dipantau untuk mengelak pembaziran. Sudah pasti kita tidak mahu Tabung Persaraan habis sebelum waktunya dan menyebabkan kita perlu bekerja.

Selain kaedah tradisional seperti catatan dalam buku nota atau Excel, ada banyak aplikasi yang boleh membantu kita membuat bajet seperti Monefy, Spendee dan Wally yang boleh dimuat turun di aplikasi telefon bimbit.

iii. Elakkan Mengeluarkan Tabung Persaraan untuk Perkara Tidak Perlu

Antara punca utama kebanyakan pesara kehabisan wang dengan pantas ialah kerana mereka menggunakan wang KWSP atau gratuiti untuk membiayai kos mengubah suai rumah, perkahwinan anak-anak dan percutian mewah.

Sebaiknya elakkan perkara seperti ini kerana ia menyebabkan wang yang sepatutnya digunakan untuk membiayai persaraan habis dengan pantas hingga menyebabkan anda mungkin terpaksa bekerja semula.

Untuk Bersara dengan Selesa, Ikuti Langkah Berikut:

1. Melabur secara konsisten setiap bulan dari gaji pertama untuk membina tabung persaraan

2. Melabur dalam instrumen berisiko rendah seperti ASB atau Deposit Tetap untuk membina Tabung Persaraan kerana ia merupakan matlamat jangka panjang

3. Tidak mengeluarkan wang daripada Tabung Persaraan seperti KWSP dengan sewenang-wenangnya kerana ia akan mengurangkan jumlah terkumpul ketika bersara; dan

4. Mempunyai insurans sebelum dan selepas bersara untuk perlindungan risiko

CTA Button-Blue Gradient