Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Senarai Semak : Kemerdekaan Kewangan

financial freedom
ASNB
ASNB Academy

8 minit masa membaca

Memiliki kemerdekaan kewangan merupakan satu pencapaian hebat dalam kehidupan. Ia menjadi impian ramai orang kerana tiada siapa yang mahu 'hidup kais pagi makan pagi', bekerja dari pagi hingga ke malam semata-mata untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Definasi kemerdekaan kewangan sememangnya adalah berbeza bagi setiap individu, namun apa yang pasti, memiliki kemerdekaan kewangan bukanlah bermaksud anda seorang jutawan atau hartawan, sebaliknya ia lebih kepada memiliki kehidupan selesa tanpa sebarang tekanan kewangan luar kawalan.

Di Malaysia, ada yang berkata, jika anda mampu membeli menu berasaskan sotong di restoran mamak tanpa berfikir dua kali, anda sudahpun memiliki kemerdekaan kewangan.

Namun, menurut Investopedia.com, kemerdekaan kewangan bermaksud anda memiliki simpanan, pelaburan dan tunai di tangan yang cukup untuk membiayai gaya hidup yang diinginkan untuk diri dan keluarga.

Menurut Nasdaq.com pula, kemerdekaan kewangan ialah satu fasa dimana anda mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap kewangan anda, yang membolehkan anda untuk membuat pilihan berdasarkan keinginan dan matlamat tanpa perlu terlalu berkira mengenai kos yang perlu dikeluarkan.

Ini bemakna anda mempunyai pendapatan atau tabungan yang cukup untuk membiayai perbelanjaan, dan ia semestinya memberikan kebebasan untuk anda menjalani kehidupan seperti yang diidamkan.

Financial-freedom

Memiliki kebebasan kewangan sebenarnya berkait rapat dengan cara anda mengurus kewangan. Berbelanja diluar kemampuan dan membina hutang adalah dua halangan terbesar yang akan menyukarkan langkah anda untuk mencapai kemerdekaan kewangan.

Namun begitu, kurangnya pemahaman mengenai kaedah betul mengurus kewangan menyebabkan ramai berdepan realiti pahit apabila berlakunya perkara luar dugaan seperti bencana alam atau pendemik seperti Covid-19.

Ketika itu, kita hanya mampu melihat hidup kita musnah dan apa yang tinggal hanyalah satu kesedaran bahawa kita tidak mempunyai sebarang jaringan kewangan yang mampu bertindak sebagai pelampung di waktu sukar.

Jadi adakah anda sudah bersedia untuk sebarang perkara luar dugaan dan berada dilandasan betul untuk memiliki kemerdekaan kewangan atau anda sebenarnya sudah pun berada dalam kalangan mereka yang sudah mencapai kemerdekaan yang menjadi idaman semua?

Untuk mengetahui di mana anda, jom baca kriteria berikut:

1. Bebas hutang atau hanya memiliki hutang mampu bayar

Anda tidak mempunyai hutang dengan kadar faedah tinggi yang tertunggak seperti hutang kad kredit atau pinjaman peribadi atau pinjaman dengan Along atau ceti haram.

Anda juga tidak mempunyai masalah membayar ansuran bulanan untuk semua pinjaman sedia ada seperti pinjaman rumah dan kereta dan serta mampu melunaskan hutang kad kredit dalam waktu bebas kadar faedah.

Anda sedar bahawa anda hanya boleh berhutang untuk perkara yang mendatangkan manfaat, bukan hanya untuk memenuhi kehendak diri.

2. Tabung Kecemasan

Anda sudah mempunyai tabung kecemasan dengan jumlah yang melebihi 6 bulan gaji semasa sebagai pelampung keselamatan jika berlaku perkara luar dugaan. Anda memahami maksud kecemasan dan tidak akan sesekali mengeluarkan wang daripada tabung ini untuk perkara tidak perlu.

Justeru tabung kecemasan anda dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan deposit tetap bank berpeluang untuk terus berkembang kerana apa yang lebih penting bagi anda ialah anda mempunyai jaringan keselamatan yang cukup kukuh sekiranya berlaku perkara luar dugaan.

3. Hidup Selesa

Anda mempunyai pendapatan yang cukup untuk membiayai gaya hidup yang diinginkan untuk diri dan keluarga. Anda boleh tidur lena setiap malam kerana anda mempunyai pendapatan yang cukup untuk membiayai keperluan diri dan keluarga serta mempunyai tabungan yang kukuh sebagai pelampung kewangan sekiranya berlaku perkara luar dugaan.

financial freedom 1

4. Tabung Persaraan

Anda melabur setiap bulan untuk memastikan jumlah tabung persaraan anda terus bertambah dari tahun ke tahun. Anda tahu satu hari nanti anda akan bersara dan ingin membuat persediaan cukup untuk menikmati kehidupan selesa selepas bersara.

Oleh itu, anda dengan gembiranya membiarkan wang anda terus berkembang dalam KWSP menerusi caruman tambahan dan dividen yang diterima.

Anda tahu tanpa tabungan yang cukup, anda tidak mungkin dapat menikmati kehidupan yang diinginkan selepas bersara, dan mungkin pula terpaksa bergantung kepada anak-anak untuk meneruskan kehidupan.

5. Memiliki Rumah

Adalah lebih baik jika anda sudah memiliki rumah dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk melunaskan bayaran bulanan. Tidak kiralah sama ada rumah kecil ataupun besar, memiliki sebuah rumah untuk didiami sehingga akhir usia adalah satu pencapaian yang luar biasa.

Malahan anda juga boleh menarik nafas lega kerana anda yakin hutang rumah anda akan selesai apabila anda bersara pada usia 60 tahun atau mungkin lebih awal lagi sekiranya anda terus mengamalkan gaya hidup sederhana.

6. Merealisasikan Impian

Anda sudah boleh bercuti, mengembara atau membeli barangan yang diinginkan tanpa perlu berhutang atau mengikat perut untuk menyimpan wang untuk memiliki apa yang diidamkan.

Mempunyai keupayaan untuk membeli apa yang diinginkan, yang sebelum ini dianggap sebagai kehendak sebenarnya merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Tidak kiralah membeli secara tunai atau pinjaman, kedudukan kewangan anda hari ini membolehkan anda memiliki dan merealisasikan impian tanpa membebankan kewangan anda.

7. Ketenangan fikiran

Anda mempunyai ketenangan fikiran kerana anda berasa selamat dan tidak tertekan apabila berbicara atau memikirkan mengenai kedudukan kewangan semasa anda.

8. Ilmu Pengurusan Wang

Anda mempunyai pemahaman asas bagaimana untuk mengurus wang dengan bijak. Anda memahami konsep asas seperti kadar faedah, risiko dan pulangan, pinjaman serta pelaburan untuk membuat keputusan yang bijak dan menguntungkan apabila ia berkaitan dengan kewangan.

investment

Adakah anda memenuhi kriteria di atas, atau adakah anda sudah berada dilandasan yang betul untuk mencapai kebebasan kewangan? Walau apa pun kedudukan kewangan anda pada masa ini, mengurus wang memerlukan disiplin, komitmen dan usaha berterusan untuk menjadikan impian memiliki kebebasan kewangan itu satu kenyataan.

Apa yang penting, sekiranya anda sudah mula mengurus wang dengan bijak, mengelak mengambil hutang yang tidak perlu, hidup di bawah atau berdasarkan kemampuan, dan mengutamakan pelaburan, anda sebenarnya sudah selangkah lebih dekat untuk mencapai kebebasan kewanngan.

CTA Button-BlueYellow-BM