Celik MADANI: Memperkasa Kewangan Mahasiswa

Dalam usaha merealisasikan matlamat dan mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan inisiatif Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI.
Objektif inisiatif ini adalah untuk membangunkan tahap celik kewangan generasi masa depan Malaysia, dan memperkasakan mereka dengan alat kewangan asas agar dapat membuat keputusan kewangan yang bjiak pada masa hadapan.
Dilancarkan pada Minggu Saham Amanah Malaysia pada Ogos 2024 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Celik MADANI menyasarkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta di mana setiap pelajar baharu akan menerima pelaburan permulaan sebanyak RM50 semasa pendaftaran.

Nilai pelaburan RM50 ini adalah hasil sumbangan bersama antara Kerajaan Malaysia, dan PNB yang berjumlah RM50 juta untuk diagihkan kepada satu (1) juta mahasiswa dalam tempoh lima tahun.
Baru-baru ini satu Memorandum Perjanjian (MOA) ditandatangani antara PNB/ASNB, universiti awam, dan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) terpilih dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Perjanjian lima tahun daripada 1 Mac 2025 hingga 31 Mac 2030, akan melibatkan 20 IPTA dan empat GLU dari seluruh negara.
Antara IPTA yang terlibat adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Manakala GLU yang terpilih adalah Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Multimedia University (MMU), dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Melalui inisiatif ini, pelaburan di Amanah Saham Bumiputera atau Amanah Saham Malaysia bernilai RM50 secara percuma akan diberikan kepada pelajar semester pertama peringkat ijazah di universiti awam dan GLU berkenaan. Usaha ini akan memanfaatkan kira-kira 200,000 pelajar setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang.
Inisiatif Celik MADANI yang dipelopori oleh PNB ini merupakan komponen utama dalam Program Literasi Kewangan khusus untuk golongan belia di institusi pengajian tinggi, dan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan mereka.

Mengapa Mahasiswa Perlu Menyimpan?
Melihat pada objektif Celik MADANI, ia dirangka khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi dengan fokus menggalakkan golongan muda merancang kewangan mereka pada usia muda agar mereka dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak pada masa hadapan.
Mahasiswa tahun pertama berusia awal dua puluhan ini, sewajarnya didedahkan untuk mula merancang masa depan mereka, sama ada untuk kerjaya, keluarga mahu pun membeli hartanah seperti rumah baharu sebaik tamat pengajian.
Pada tahun kedua mereka sebaiknya sudah mula memikirkan merancang simpanan mereka sama ada daripada wang saku yang diberikan ibu bapa, wang pinjaman atau biasiswa atau mula bekerja secara sambilan untuk menampung kehidupan di universiti, menyimpan untuk objektif peribadi mahupun untuk membantu keluarga.
Dalam usia ini, memiliki pengetahuan dan kemahiran literasi kewangan adalah keperluan penting, terutamanya bagi golongan muda yang sudah mula mempunyai idea-idea mengenai masa depan atau membuat perbelanjaan mudah untuk kelangsungan hidup sebagai mahasiswa.
Kesedaran mengenai simpanan, pelaburan, perancangan persaraan, insurans, pendidikan, pengurusan hutang, dan perancangan keluarga adalah kritikal dan memerlukan pendedahan agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan apabila memasuki alam pekerjaan dan dunia dewasa sebagai individu yang matang, bagi menunaikan impian dan perancangan mereka itu.
Justeru, adalah penting mempersiapkan golongan ini dengan bimbingan dan ilmu pengurusan kewangan yang betul untuk meningkatkan tahap celik kewangan mereka.

Sikit-sikit, Lama-lama Jadi Bukit
Menerusi inisiatif Celik MADANI, ASNB mempunyai komitmen untuk menyediakan peralatan bimbingan agar kelompok pilihan ini mempunyai informasi dan simpanan yang sewajarnya apabila melangkah ke alam kerjaya dan seterusnya.
Walaupun hanya dengan sumbangan asas RM50 sebagai permulaan simpanan, sekiranya seseorang mahasiswa pintar mengurus dan konsisten dalam merancang sasaran simpanan, mahasiswa tersebut boleh membuat simpanan terkumpul lebih RM10,000 dalam tempoh 10 tahun.
Dengan pelaburan permulaan RM50 dan amalan menyimpan secara konsisten, pelajar boleh melihat pertumbuhan simpanan mereka dalam jangka masa 5 hingga 10 tahun sekiranya tidak membuat sebarang pengeluaran. Sebagai contoh, jika pelajar membuat pelaburan tambahan RM20 setiap bulan semasa tempoh pengajian mereka (4 tahun) dan meningkatkan simpanan kepada RM100 setiap bulan selepas mula bekerja, mereka boleh mengumpul jumlah yang signifikan.
Jika diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5% setahun*, simpanan mahasiswa boleh berkembang dengan ketara, memberikan mereka asas kewangan yang kukuh seterusnya meyakin serta menyediakan mereka untuk menghadapi apa juga keadaan.
*(Nota: Pulangan simulasi setahun adalah bagi tujuan ilustrasi sahaja dan bukan menunjukkan prestasi masa hadapan)
Matlamat PNB dan ASNB, iaitu mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi adalah seiring dengan hala tuju Kerajaan untuk menyediakan kehidupan berkualiti kepada rakyat. Selain membimbing dan menyediakan platform pelaburan yang terjamin, Celik MADANI menepati aspirasi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, menaikkan lantai untuk mengangkat semula darjat rakyat.
Celik MADANI bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga akan bantu meningkatkan kualiti hidup generasi akan datang serta menyokong kestabilan sosioekonomi keluarga dan negara.