Langkah Langsaikan Hutang Sebelum Bersara
Apabila usia kita semakin menghampiri fasa persaraan, kita seharusnya berusaha untuk melangsaikan segala hutang yang ada dengan menyusun stretegi khas yang disasarkan untuk melangsaikan hutang sebelum usia 60 tahun.
Ini kerana selepas bersara, kewangan kita amat terhad dengan pergantungan mungkin hanya kepada pencen atau tabung persaraan seperti KWSP atau ASB.
Justeru, adalah penting hutang dilangsaikan sebelum bersara supaya wang berkenaan boleh digunakan sepenuhnya untuk membiayai kos sara hidup sahaja.
Justeru, 10 tahun sebelum bersara merupakan tahun yang kritikal untuk kita menyusun strategi untuk melangsaikan hutang.
Tanpa strategi yang betul, kita mungkin terpaksa terus membanting tulang pada usia emas atau mengharapkan bantuan anak-anak untuk meneruskan kehidupan.
Apakah langkah yang boleh diambil untuk menyusun semula hutang? Kami kongsikan apa yang boleh anda lakukan 10 tahun sebelum bersara supaya anda dapat menikmati usia emas dengan selesa.
1. Langsaikan hutang kad kredit
Kaedah penggunaan kad kredit yang betul ialah anda sepatutnya tidak mempunyai sebarang hutang tertunggak.
Namun begitu ramai yang hanya membuat bayaran minimum sahaja setiap bulan tanpa menyedari langkah itu hanya akan menyebabkan mereka mempunyai hutang kad kredit tertunggak.
Oleh kerana hutang kad kredit tidak mempunyai tempoh tertentu untuk dilunaskan kerana ia terus boleh digunakan selagi bayaran minimum dibuat, anda mungkin tidak perasan dan terus menerus menggunakannya tanpa terfikir keperluan untuk melangsaikannya dengan segera.
Namun begitu, dengan kadar faedah antara 15% hingga 18% setahun, hutang kad kredit boleh bertambah dengan pantas selagi anda hanya membuat bayaran minimum dan menggunakannya secara berterusan.
Justeru, sekiranya hutang kad kredit anda ketika sudah melebihi RM5,000, inilah masanya untuk anda berhenti atau mula manggunakannya untuk perkara perlu sahaja, dan mula fokus untuk melangsaikan hutang sedia ada.
Jika ada duit lebihan, fokus untuk melunaskan hutang kad kredit kerana caj faedahnya yang tinggi.
2. Pinjaman Peribadi
Sekiranya anda mempunyai pinjaman peribadi, fokus juga untuk melunaskannya dan jangan sesekali membuat hutang peribadi yang baharu.
Pinjaman peribadi mengenakan kadar faedah yang agak tinggi, justeru adalah lebih baik dielakkan lebih-lebih lagi jika anda ingin mengambilnya untuk memenuhi kehendak seperti melancong, membaik pulih rumah atau deposit untuk membeli rumah dan kereta.
3. Hutang Kereta
Oleh kerana anda semakin menghampiri persaraan, teliti semula baki pinjaman kereta sedia ada. Sekiranya anda ingin melangsaikan hutang ini dengan lebih cepat, anda boleh membuat bayaran tambahan untuk mengurangkan pinjaman pokok.
Bayaran ini perlu dibuat terus kepada bank dengan menyatakan hasrat membayar pinjaman pokok.
Pinjaman pokok merupakan jumlah sebenar hutang yang anda ambil. Katakan anda mengambil pinjaman sebanyak RM80,000, jumlah ini ialah pinjaman pokok anda.
Ansuran bulanan biasanya akan membayar faedah sahaja terlebih dahulu, justeru tidak banyak perubahan berlaku dalam jumlah keseluruhan pinjaman anda.
Sekiranya anda berasakan kereta yang dimiliki pada masa ini agak membebankan atau mungkin tidak mampu bertahan untuk terus digunakan selepas bersara, anda boleh menukarnya dengan kereta yang lebih murah dan mampu milik.
Kereta yang lebih murah membantu anda mengurus semula kewangan kerana ansuran bulanan dan kos servis yang lebih rendah.
Namun begitu, jangan mengunggu sehinga tempoh persaraan anda berbaki 3 atau 4 tahun sahaja lagi untuk menukar kereta kerana jika tempoh pinjaman 9 tahun, anda masih perlu mambayar hutang selepas bersara.
4. Hutang Rumah
Teliti semula baki tempoh pinjaman perumahan kerana ramai antara kita tidak perasaan yang tempoh pinjaman mencapai sehingga usia 65 tahun dengan MRTA/MRTT tamat terlebih dahulu.
Oleh itu, jika anda dapati tempoh pinjaman anda berlanjutan hingga selepas usia 60, anda perlu segera fikirkan cara untuk memendekkan tempoh bayaran hutang berkenenaan.
Antara yang boleh dilakukan ialah dengan membiayai semula pinjaman berkenaan atau mula membayar sebarang wang lebihan yang anda terima, contohnya bonus, untuk mengurangkan pinjaman pokok.
Anda juga boleh cuba untuk membiayai semula pinjaman anda dengan memendekkan tempoh kepada 10 tahun.
Anda hanya perlu pergi berjumpa pihak bank untuk membincangkan terma dan syarat yang sesuai. Namun bagitu, jangan sesekali menambah jumlah hutang kerana ada bank menawarkan cashback atau rebate sedangkan ia sebenarnya menambah kepada pinjaman pokok.
Sekiranya anda mempunyai kemampuan, sebaiknya hutang ini dilangsaikan sebelum bersara dengan menggunakan Akaun KWSP.
Kesimpulan
Sekiranya anda masih muda dan masih mempunyai tempoh yang panjang sebelum bersara, pastikan anda menyusun kewangan supaya anda mempunyai tabung persaraan yang cukup untuk hidup yang selesa selepas bersara.
Setiap kali mengambil hutang, fikirkan kesannya kepada tabung persaraan dan adakah ia mampu dilangsaikan sebelum anda bersara.
Tabung persaraan dan hutang perlu diseimbangkan kerana tanpa tabung persaraaan, walaupun anda bebas hutang, anda mungkin masih perlu bekerja selepas bersara.
Perancangan ke arah persaraan perlu dimulakan dari gaji pertama, dengan matlamat memiliki aset seperti rumah dan tabung persaraan supaya anda dapat menikmati usia emas dengan bergaya.
Sorotan
- Anda perlu mula menyemak dan menyusun semula hutang 10 tahun sebelum bersara.
- Senaraikan semua hutang dari kadar faedah tertinggi hingga terendah, kemudian fokus untuk langsaikan pinjaman dengan kadar faedah tertinggi terlebih dahulu.
- Walaupun anda sedang berusaha melangsaikan hutang, jangan lupa peruntukan untuk pelaburan bagi membina tabung persaraan
- Elak dari mengambil hutang baru apabila anda berbaki 5-10 tahun lagi sebelum ke fasa persaraan.