Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

ASB dan KWSP: Gabungan Pelaburan Mantap

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff
Prof-Madya-Ahmed-Razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff

7 minit masa membaca

Baru-baru ini pada 3hb Mac 2024, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.5 peratus dan 5.4 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan shariah bagi 2023.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 2022 yang mana dividen diumumkan ketika itu bagi simpanan konvensional adalah 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi simpanan shariah.

Ia membabitkan pengagihan terkumpul RM57.81 bilion, iaitu RM50.33 bilion untuk simpanan konvensional dan RM7.48 bilion lagi untuk simpanan shariah.

Agihan dividen RM57.81 bilion akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal.

Sebelum ini, pada 21 Disember 2023, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. Agihan pendapatan itu juga lebih baik berbanding tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, yang membabitkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit serta bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Kedua-dua dividen KWSP dan ASB menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya dan kekal kompetitif. Malahan, ianya mengatasi kadar pulangan bagi Deposit Tetap 12 bulan Maybank, sebagai contoh.

Namun, sejak 4 tahun lepas, kadar dividen KWSP (terutamanya bagi simpanan konvensional) dilihat sentiasa lebih tinggi dari kadar dividen ASB. Namun, ianya adalah fenomena baharu kerana sebelum tahun 2020, kadar dividen ASB sentiasa lebih tinggi dari kadar dividen KWSP.

Oleh itu, ramai yang tertanya-tanya mengapa kadar dividen KWSP dan ASB sentiasa berubah-ubah dan apakah yang seharusnya mereka tahu mengenai kedua-dua jenis pelaburan ini.

Untuk memahaminya, adalah amat penting untuk kita faham matlamat kedua-dua organisasi pelaburan ini.

KWSP merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia. Ditubuhkan pada 1951, KWSP membantu tenaga kerja Malaysia menabung untuk persaraan mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Oleh itu, visi KWSP lebih bertumpu kepada memastikan simpanan persaraan ahli dilindungi dan ditingkatkan untuk masa depan mereka yang lebih baik.

happy retirement

Caruman KWSP wajib dibayar oleh majikan dan pekerja mengikut yang tertakluk di dalam Seksyen 43(1), Akta KWSP 1991 yang mewajibkan pekerja dan majikan membayar caruman bulanan dengan amaun upah pada bulan itu mengikut kadar yang telah dinyatakan di dalam Jadual Ketiga.

Ahli tidak dibenarkan untuk mengeluarkan majoriti wang caruman mereka kerana wang tersebut adalah untuk maksud menampung kehidupan mereka apabila bersara nanti.

Walau bagaimana pun, KWSP membenarkan ahli mengeluarkan wang caruman mereka melalui Akaun 2 (30% daripada caruman disalurkan ke akaun ini) atas pelbagai maksud seperti membayar hutang perumahan, yuran pendidikan, bil kesihatan, bayaran menunaikan haji dan sebagainya.

Aset pelaburan KWSP kekal sebagai yang terbesar di negara dan terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, naik 13 peratus berbanding RM1,002.67 bilion pada 2022. 

Pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023, sekaligus menyediakan modal kepada syarikat Malaysia dan ekonomi secara keseluruhannya.

Pelaburan KWSP lebih tertumpu kepada pelaburan di dalam pelbagai jenis pelaburan seperti ekuiti, pendapatan tetap seperti bon atau sukuk, hartanah dan infrastruktur, pasaran wang dan sebagainya.

PNB pula ditubuhkan pada 17 Mac 1978 sebagai instrumen Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara dan kini PNB telah berkembang menjadi syarikat pengurusan dana yang terbesar di Malaysia.

Mandat PNB ialah untuk memperkayakan kehidupan Bumiputera dan semua rakyat Malaysia demi kemakmuran negara.

ASNB merupakan syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB ini ditubuhkan pada 22 Mei 1979 untuk menguruskan semua tabung yang dilancarkan oleh PNB.

Setelah lebih 40 tahun berada dalam industri, ASNB kini menguruskan 16 tabung unit amanah dengan 273.3 bilion unit dalam edaran (UIC) dan 14.7 juta akaun (setakat 30 September 2021) termasuklah tabung unit amanah harga tetap iaitu ASB.

Pelaburan di bawah ASB juga seperti KWSP yang mana ianya bertumpu kepada pelaburan ekuiti awam, pelaburan persendirian, hartanah, sekuriti pendapatan tetap dan tunai serta pasaran wang.

ASB agak unik kerana hanya ada enam sahaja unit amanah harga tetap di negara, dan ASB salah satunya. Harga seunit adalah tetap pada RM1 dan tiada risiko ianya berkurang dan oleh itu simpanan di bawah ASB lebih terjamin.

logo asn

Memandangkan ianya adalah pelaburan, pelabur boleh melabur bila-bila masa dan boleh memulakan pelaburan sekecil RM10 dan maksimum RM300,000.

Proses pelaburannya agak mudah melalui pelbagai platform seperti portal myASNB atau melalui lebih daripada 2,700 cawangan dan gabungan ejen ASNB seluruh negara seperti Pos Malaysia, Maybank, CIMB, RHB Bank dan BSN.

Kesimpulannya, caruman di KWSP adalah wajib untuk pekerja dan majoriti caruman tidak boleh dikeluarkan kerana ianya untuk maksud wang simpanan persaraan.

Manakala pelaburan ASB adalah tidak wajib tetapi lebih kepada maksud meningkatkan kekayaan individu dan ianya boleh dilaburkan pada bila-bila masa sahaja.

Kedua-duanya akan membantu seseorang individu itu menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan dan pulangan dividen bagi KWSP serta ASB sentiasa kompetitif dan lebih tinggi daripada simpnan di Deposit Tetap.

CTA Button-BlueYellow-BM