Berapa perlu anda labur untuk miliki rumah idaman?

BNPL : Sikit-sikit, Hutang Membukit?

bnpl
ASNB Logo
ASNB Academy

7 minit masa membaca

'Beli Sekarang Bayar Kemudian' (BNPL) merupakan satu kemudahan pinjaman yang semakin popular pada masa ini kerana ia memudahkan kita membeli barangan tanpa mengeluarkan modal yang besar.

Statistik menunjukkan lebih 80% pengguna yang menggunakan kemudahan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)’ berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Mungkin ini disebabkan kemudahan ini membantu mereka memiliki barangan keperluan dan kehendak dengan mudah tanpa proses penilaian yang rumit.

Namun begitu, oleh kerana BNPL merupakan satu bentuk pinjaman yang datang bersama caj tertentu, ia sepatutnya digunakan secara berhati-hati supaya kita tidak terjebak membina hutang yang membebankan tanpa disedari.

Beli Sekarang, Bayar Kemudian: Kemudahan yang perlu Dipertimbangan

BNPL merupakan satu kemudahan pinjaman mudah yang ditawarkan banyak pihak seperti penyedia jualan dalam talian, syarikat elektrik dan pengeluar barangan berjenama untuk menarik pembeli.

Ini kerana menerusi BNPL, barangan atau perkhidmatan boleh dibeli tanpa membuat bayaran penuh. Pembeli hanya perlu membuat bayaran secara ansuran dan mempunyai pilihan untuk melangsaikannya dalam tempoh 3, 6 atau 12 bulan.

BNPL-Definisi-BM

Oleh itu, ramai yang membeli walau sebenarnya tidak mampu kerana mereka yakin mampu membuat bayaran secara ansuran.

Walaupun anda sebenarnya tidak mampu, anda memilih untuk membeli kerana, anda yakin anda mampu membuat dalam jumlah yang kecil secara ansuran bulanan.

Oleh kerana ia sangat mudah, kemudahan ini menjadi popular dalam kalangan golongan muda, dengan statistik menunjukkan bahawa kira-kira 44% pengguna BNPL berusia antara 18 dan 30 tahun.

Antara platform jualan popular yang menawarkan BNPL di negara ini ialah Shopee menerusi Shopee SPayLater.

Oleh kerana proses kelulusannya yang mudah, kebanyakan daripada kita tidak berfikir panjang dan membuat pembelian impulsif kerana merasakan diri mereka mampu berbuat demikian, sedangkan realiti adalah sebaliknya.

Apa yang kebanyakan daripada kita terlepas pandang ialah bayaran ansuran, walaupun kecil boleh menjadi besar apabila kita terus menerus membuat belian, tanpa menyelesaikan hutang terdahulu.

Sebagai contoh, katakan untuk belian pertama, anda membeli barangan elektronik bernilai RM200, kemudian untuk belian kedua, anda membeli barangan berharga RM150, dan untuk belian ketiga, sepasang kasut bernilai RM250.

Sekiranya setiap pembelian dibahagi kepada 6 bulan, anda telah membina hutang berjumlah hampir RM100 yang perlu dilangsaikan setiap bulan.

Oleh itu, sikap berhati-hati dan kalkulatif amat penting apabila membuat belian menggunakan BNPL supaya anda tidak terbeban dengan hutang tanpa disedari.

Anda juga perlu peka dengan terma dan syarat yang dikenakan, termasuk kadar faedah dan yuran lewat bayar.

Sebagai contoh, SPayLater yang terdapat di Shopee menawarkan beberapa pelan pembayaran dan yuran pemprosesan sebagai pilihan kepada pengguna.

Sebagai contoh, sekiranya anda memilih membuat ansuran 3, 6 atau 12 bulan, anda akan dikenakan yuran pemprosesan bulanan sebanyak 1.5%. Sekiranya anda gagal melunaskan bayaran, akaun anda akan dibekukan dan anda perlu membayar denda RM10 untuk mengaktifkannya semula.

Oleh itu, adalah penting untuk mengkaji dan memahami terma dan syarat BNPL termasuklah caj dan yuran yang dikenakan.

Setiap syarikat menawarkan BNPL pada caj faedah dan yuran yang berbeza, jadi sebagai pengguna, anda perlu peka dan membuat penilaian wajar sebelum menggunakan kemudahan ini.

Justeru sebelum menggunakan BNPL, nilai kedudukan kewangan jangka panjang anda terlebih dahulu untuk memastikan anda berkemampuan membayar semula hutang yang dibina.

6 Perkara Perlu Dinilai Sebelum Ambil BNPL

1. Kedudukan kewangan semasa

Jika anda menghadapi masalah untuk membayar bil dan komitmen sedia ada serta masih belum mempunyai tabung kecemasan, jangan jadikan BNPL sebagai sumber kewangan untuk membeli barang atau perkhidmatan.

Hanya gunakan BNPL jika anda yakin anda mempunyai lebihan tunai untuk melangsaikan ansuran bulanan tanpa mengorbankan peruntukan untuk pelaburan atau komitmen dan hutang sedia ada.

2. Jangan melebihi perbelanjaan

BNPL boleh mendorong anda untuk berbelanja melebihi kemampuan kerana anda melihatnya sebagai belian kecil yang tidak akan menjejaskan kewangan anda.

Namun, jangan terlepas pandang kerana bayaran ansuran serendah RM10 sebulan, boleh menjadi lebih daripada RM100 jika anda membeli lebih daripada 10 barangan.

3. Barangan keperluan sahaja

Gunakan BNPL hanya untuk perbelanjaan yang perlu sahaja, contohnya tilam atau sofa, barangan berkaitan perubatan atau komputer untuk kerja atau sekolah.

Jika anda membeli barangan berbentuk kehendak dan barangan berkenaan pula tidak tahan lama, anda sebenarnya secara tidak sengaja telah membina dan mengumpul hutang yang mungkin melebihi kemampuan anda.

4. Sentiasa ingat BNPL adalah hutang

Walaupun BNPL menyebabkan anda berasakan mampu membeli barangan yang diinginkan, ingatlah ia adalah hutang dan anda sebenarnya membayar lebih daripada harga sebenar.

Oleh itu, gunakan tunai selagi boleh dan cuba elakkan membeli barangan yang tidak perlu hanya kerana anda boleh menggunakan BNPL.

5. Caj paling rendah

Pilih pelan BNPL yang mengenakan caj paling rendah. Ini membantu anda membeli pada harga paling hampir dengan harga sebenar barangan/perkhidmatan yang dibeli.

6. Bayaran lewat

Anda juga mungkin berdepan risiko membayar denda jika gagal membayar tepat pada masanya. Jadi sebelum klik untuk membeli, tetapkan dalam fikirkan bahawa ini merupakan komitmen jangka panjang.

Bagaimana BNPL Bantu Anda Urus Kewangan Lebih Bijak

Jika BNPL digunakan dengan bijak, ia boleh membantu anda untuk membeli barangan yang diperlukan dan pada masa yang sama, membolehkan anda melabur atau melangsaikan komitmen lain.

barang keperluan

Ini kerana anda tidak perlu membuat bayaran penuh untuk pembelian berkenaan. Katakan anda membeli komputer riba berharga RM2,000, menerusi pelan BNPL 12 bulan, anda hanya perlu membayar RM166 (dan yuran pemprosesan bulanan) untuk bulan pertama berbanding membelanjakan RM2,000 jika membayar secara tunai.

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membuat bayaran penuh, boleh digunakan untuk melabur dan menerima dividen atau melangsaikan komitmen sedia ada.

Dengan cara ini, anda tidak berdepan tekanan kewangan melampau untuk membeli barangan yang penting, dan pada masa yang sama mengurus kewangan dengan lebih baik.

Walau bagaimanapun, kaedah ini hanya memberi kesan positif kepada kewangan anda sekiranya anda berdisiplin dan sentiasa mengurus kewangan dengan bijak.

Oleh itu, pastikan anda hanya menggunakan BNPL untuk membeli barangan keperluan. Malahan jika ada pilihan dan anda layak menggunakan kad kredit, anda boleh memilih untuk menggunakan kemudahan bebas kadar faedah untuk pilihan pembiayaan selama 3, 6 atau 12 bulan.

Yang penting, anda perlu ingat, selagi kemudahan pembiayaan adalah berbentuk pinjaman, anda perlu berdisplin dan membuat bayaran dalam tempoh bebas faedah atau tempoh yang ditetapkan.

Semakin mudah akses kepada kemudahan BNPL, semakin mudah bagi anda untuk berbelanja melebihi kemampuan mereka. Oleh itu, sentiasa membuat belian berpilih dan jangan hanya mengikut nafsu.

Ingat hutang adalah punca kepada banyak masalah kewangan, sekali terjerat, mungkin sukar untuk anda keluar daripadanya.

Sorotan Artikel

1. Fahami terma dan syarat BNPL sebelum membuat keputusan belian kerana BNPL mengenakan caj seperti caj pemprosesan dan lewat bayar.

2.BNPL adalah hutang. Oleh itu masukan bayaran ansuran BNPL dalam bajet bulanan untuk memastikan anda tidak gagal membuat bayaran balik.

3. Guna dengan bertanggungjawab. Hanya gunakan BNPL untuk membiayai barangan atau perkhidmatan yang berbentuk keperluan.

4. Elakkan pembelian impulsif menggunakan BNPL hanya kerana anda rasa anda mampu membuat bayaran ansuran dalam jumlah yang kecil. Hutang yang kecil, mampu menjadi banyak jika ia terus dikumpul dari semasa ke semasa.