Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Belanjawan 2025 : Ada Apa untuk Anda?

Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff- BM
Prof-Madya-Ahmed-Razman
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff

10 minit masa membaca

Pada hari Jumaat, 18 Oktober 2024, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) di Dewan Rakyat. Belanjawan 2025 kali ini bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’.

Tema tersebut diterjemahkan kepada tiga Tumpuan iaitu

Tumpuan 1 : (Menjana Perubahan ke Puncak Makna) yang mempunyai 16 Ikhtiar;

Tumpuan 2 : (Membugar Ekonomi ke Medan Jaya) yang mengandungi 18 Ikhtiar; dan

Tumpuan 3 : (Mensejahtera Rakyat ke Tahap Bahagia) yang merangkumi 26 Ikthiar.

Untuk memahami bagaimana Belanjawan 2025 benar-benar berfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, eloklah kita melihat setiap aspek tumpuan yang dibentangkan.

Tumpuan 1

Fokus Tumpuan 1 ialah langkah-langkah pembaharuan fiskal, rombakan institusi serta meningkatkan tahap keupayaan dan kecekapan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Walaupun ada pihak yang menjangka kerajaan akan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau lebih popular dikenali sebagai GST untuk meningkatkan hasil dengan ketara, ianya tidak menjadi realiti kerana kerajaan mengambil pendekatan menambahbaik sistem percukaian sedia ada yang membolehkan majoriti rakyat tidak akan terbeban dengan cukai tetapi hanya golongan yang berpendapatan tinggi dan benar-benar mampu membayar cukai akan berdepan dengan cukai tambahan.

Sebagai contoh, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan dengan lebih progresif iaitu meliputi barangan premium yang diimport dan perkhidmatan komersial.

Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu.

Pada masa yang sama, rasionalisasi subsidi diteruskan pada tahun hadapan apabila rasionalisasi petrol RON95 akan dilaksanakan bermula pertengahan tahun 2025.

Apabila rasionalisasi diesel dilaksanakan pada tahun 2024, kerajaan berjaya menjimatkan RM4 billion yang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukannya.

Rasionalisasi petrol RON95 dijangka akan menjimatkan kerajaan sebanyak RM8 billion. Walau bagaimana pun, rasionalisasi petrol RON95 akan menyaksikan 85% rakyat tidak akan terkesan dan kekal menerima subsidi bersasar.

subsidi minyak

Rasionaliasi subsidi diperluaskan dalam sektor pendidikan dan kesihatan apabila golongan T15 tidak lagi akan menikmati subsidi pendidikan seperti subsidi yuran sekolah berasrama penuh dan pengajian tinggi, serta perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik awam.

Walaupun pelbagai penjimatan akan diperolehi melalui rasionalisasi subsidi, pembangunan infrastruktur akan diteruskan yang menjurus kepada infrastruktur asas yang diperlukan rakyat dan bukannya projek mega.

Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan ditingkatkan lagi kepada RM6.7 billion untuk Sabah dan RM5.9 billion untuk Sarawak. Selain itu, pembinaan serta penambahbaikan infrastruktur diteruskan di setiap negeri melibatkan kerjasama awam dan swasta serta turut menambahbaik pentadbiran dan tatakelola agensi kerajaan supaya lebih cekap, berkesan dan penjimatan dapat dilakukan.

Transformasi digital dilaksanakan melalui pengenalan MyDigital ID iaitu applikasi tunggal kerajaan yang memusatkan semua agensi seperti PADU, JPJ dan LHDN.

Tumpuan 2

Tumpuan 2 menumpukan kepada peningkatan aktiviti ekonomi setempat melalui pelaburan dan inovasi teknologi terkini. Ianya diharapkan akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat melalui peningkatan gaji yang bermaruah supaya rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Kerajaan akan memperkenalkan Kerangka Insentif Baharu yang akan menumpukan kepada aktiviti bernilai tinggi seperti sektor Elektrikal & Elektronik, digital seperti AI, robotik, sains data, internet kebendaan, FinTech dan teknologi mampan.

Pelbagai insentif cukai serta dana akan disediakan untuk setiap jenis perniagaan dan pelaburan seperti cukai minimum global (GMT), Kredit Cukai Pelaburan Strategik, Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF), Dana Pembangunan Industri NMIP (NIDF), GEAR-uP, National Fund-of-Funds, Dana Perintis dan Dana Pemacu di bawah KWAP, dan Cradle Fund. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura turut diperkenalkan untuk menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi.

Kerajaan juga kekal komited melalui NETR untuk mengalihkan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran rumah hijau sifar bersih seawal 2050 dengan memperuntukkan RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara.

Pada masa yang sama, alam sekitar akan kekal dilindungi melalui peningkatan Dana Ecological Fiscal Transfer dan pindaan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1998.

Kerajaan juga telah meletakkan keterjaminan makanan sebagai agenda utama dengan menyediakan dana untuk mempelbagaikan serta meningkatkan tanaman penting seperti padi.

bajet 2024

Aspek yang menarik di bawah Tumpuan 2 ini ialah sokongan berterusan kerajaan dalam memperkasakan kewangan dan ekonomi Islam, pembangunan industri halal, serta pembangunan tanah wakaf.

Sebagai contoh, Wakaf MADANI akan melibatkan pelbagai agensi untuk membangunkan tanah wakaf bagi membina rumah kepada pesara, rumah mampu milik dan juga rumah kepada penjawat awam. Selain wakaf tanah, wakaf tunai dan wakaf korporat juga akan digalakkan supaya lebih ramai lagi yang akan menyumbang untuk manfaat rakyat. Agenda Bumiputera tidak dilupakan melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera yang akan melibatkan pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera.

Selain itu, RM800 juta akan diperuntukkan di bawah MARA dan PUNB untuk membantu usahawan bumiputera dan RM1.3 billion kepada kontraktor bumiputera G1-G4 bagi melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.

Tanah Rezab Melayu juga telah diperuntukkan sebanyak 50 ekar di bawah Bandar Malaysia.

Tumpuan 3

Tumpuan 3 mensasarkan kepada menangani kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat melalui pelbagai bantuan dan program.

Kerajaan memberi peruntukan yang tertinggi kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 billion berbanding RM10 billion pada tahun 2024.

Peningkatan ini akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara. Peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM2.9 billion ringgit berbanding RM2.4 billion pada tahun 2024.

Program Payung Rahmah diteruskan dan beberapa pelepasan cukai pendapatan individu ditingkatkan dan diperluaskan.

Selain itu, kadar gaji minimum telah dinaikkan daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan bermula 1 Februari 2025 kecuali kepada majikan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025. Garis panduan gaji permulaan akan diterbitkan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan yang akan memanfaatkan 50 ribu pekerja.

Agenda perlindungan sosial seperti KWSP terus diperkasa bagi memastikan rakyat dilengkapkan dengan simpanan persaraan yang munasabah serta caruman insurans daripada musibah.

Kerajaan juga bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP.

Kementerian Pendidikan kekal menerima peruntukan tertinggi iaitu RM64.1 billion berbanding RM58.7 billion pada tahun 2024. Projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara diteruskan termasuk pembinaan sekolah baharu.

school budget 2024

Bantuan Awal Persekolahan dikekalkan yang akan memanfaatkan 5.2 juta murid tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Kementerian Pendidikan Tinggi juga akan menerima peruntukan lebih tinggi iaitu RM18 billion berbanding RM16.3 billion pada tahun 2024 untuk menumpukan kepada pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI). Peruntukan TVET juga ditingkatkan kepada RM7.5 billion berbanding RM6.8 billion pada tahun 2024 untuk meningkatkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang latihan untuk belia rentan dan membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat.

Kementerian Kesihatan pula kekal menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 billion berbanding RM41.2 billion pada tahun 2024.

Peruntukan ini akan digunakan untuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat melalui penyelenggaraan dan penaiktarafan prasarana kesihatan.

Bagi memerangi penggunaan gula secara berlebihan, kerajaan akan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.

Program perumahan mampu milik diperkasakan lagi melalui pelbagai inisiatif seperti Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat, Jaminan Kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), dan Perumahan PPR.

Pelepasan cukai pendapatan individu turut diberi sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan. Cuma sistem musharakah mutanaqisah yang bersifat rent-to-own masih belum lagi diusulkan dalam belanjawan kali ini.

Pelepasan cukai pendapatan individu turut diberi sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan. Cuma sistem musharakah mutanaqisah yang bersifat rent-to-own masih belum lagi diusulkan dalam belanjawan kali ini.

house good

Selain daripada usaha menaiktaraf kemudahan internet dan pengangkutan

serta infrastruktur awam, golongan-golongan yang memerlukan bantuan

khas kerajaan kekal menerima peruntukan seperti golongan wanita, anak

muda, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, orang asli, dan

individu muflis.

Sebelum belanjawan dibentangkan, kerajaan telah mengumumkan penstrukturan semula skim gaji penjawat awam yang akan melibatkan pelarasan gaji 15% kepada Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan dan Profesional serta 7% kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Selain itu, kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak. Malahan semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen akan menerima RM250.

Secara kesimpulan, Belanjawan 2025 menterjemahkan Ekonomi MADANI yang berjiwa rakyat dari sudut meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat, tetapi pada masa yang sama meneruskan belanjawan berhemah yang bertekad untuk mengurangkan defisit belanjawan dan komitmen hutang.

Ini dibantu dengan penambahbaikan sistem cukai dan rasionalisasi subsidi serta tatakelola yang lebih mantap dan berkesan.

Dengan peningkatan gaji dan pendapatan bolehguna, rakyat mampu meningkatkan kualiti hidup dan mempunyai wang yang mencukupi untuk menyimpan dan melabur.

Apa yang lebih penting ialah kerjasama daripada semua pihak meliputi kerajaan, swasta, komuniti, isirumah dan individu untuk membolehkan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang kekayaan antara rakyat akan tercapai dan pada masa yang sama Malaysia menjadi negara yang berdaya saing dan mampan.