Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Tidak Perlu Kira Sendiri, ASNB Urus Zakat Pelabur

zakat al-Mustaghallat via khultah ASNB
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Membayar zakat merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan setiap tahun sekiranya seorang Muslim memenuhi syarat ditetapkan.

Menyedari hal ini, ASNB yang merupakan pengurus unit amanah terbesar negara mengambil inisiatif untuk menyediakan kemudahan pembayaran zakat secara automatik menerusi kaedah pembayaran zakat al‑Mustaghallat secara kolektif (khultah).

Bukan sahaja zakat boleh dilakukan secara automatik, pelabur akan menerima dividen bersih sekiranya memilih untuk menggunapakai kaedah pembayaran zakat al‑Mustaghallat secara kolektif (khultah) ini.

Pendekatan ini membolehkan pelabur menunaikan kewajipan zakat dengan lebih yakin, konsisten dan tenang setiap tahun, tanpa risau terlupa atau keliru dengan pengiraan zakat yang perlu dilakukan.

Pelabur juga berpeluang mengekalkan pelaburan jangka panjang kerana pengiraan zakat dibuat berdasarkan agihan pendapatan dan bonus, bukannya modal pelaburan.

Berdasarkan kaedah al‑Mustaghallat, pengiraan nisab dinilai secara kolektif berdasarkan jumlah dividen terkumpul semua pemegang unit yang memilih untuk menyertai kaedah pembayaran zakat al‑Mustaghallat secara kolektif (khultah).

Manakala bagi pengiraan haul pula, kaedah ini tidak mensyaratkan tempoh menunggu genap setahun, sebaliknya zakat boleh ditunaikan sebaik sahaja hasil diperoleh.

Ini selaras dengan pandangan sebahagian fuqaha yang berpendapat bahawa zakat boleh terus dibayar apabila hasil baharu itu diterima.

Bagaimanapun kaedah ini hanya boleh digunakan untuk pelabur yang memilih Kelas B kerana kelulusan institusi fatwa adalah khusus bagi pelaksanaan kaedah al-Mustaghallat secara kolektif (khultah).

Bagi pelabur dalam Kelas A, mereka perlu membuat bayaran zakat berdasarkan fatwa semasa berdasarkan baki minimum atau baki terakhir.

Perancangan Cukai Pendapatan

Apa yang menarik, walaupun ASNB menguruskan zakat pelabur, pelabur masih boleh menuntut rebat cukai menggunakan resit rasmi yang dikeluarkan Pusat Zakat Negeri.

Justeru, pelabur ASNB bukan saja dapat mengekalkan pulangan bersih yang kompetitif daripada pelaburan, tetapi pada masa sama, mengurus cukai pendapatan dengan lebih baik.

Sebagai contoh, kita lihat kaedah pembayaran zakat bagi ASB. Bayaran zakat akan dilaksanakan secara automatik pada hari yang sama pengagihan pendapatan dikreditkan ke dalam akaun pelabur, iaitu pada 1 Januari setiap tahun.

Oleh itu, untuk pelaburan bagi tahun kewangan 2026, zakat akan dipotong pada 1 Januari 2027 dan diserahkan kepada Pusat Zakat Negeri (PZN) dalam tempoh lima (5) hari bekerja.

Oleh kerana bayaran zakat disempurnakan dalam tahun 2027, ia dikira sebagai bayaran zakat bagi Tahun Taksiran 2027. Oleh itu, bayaran zakat berkenaan hanya boleh dituntut pada Tahun Taksiran 2027 yang dilakukan pada tahun 2028.

Zakat akan dibayar kepada Pusat Zakat Negeri (PZN) di seluruh Malaysia mengikut alamat yang didaftarkan pemegang unit dalam sistem ASNB.

Bagaimanapun, pada masa ini hanya PZN Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) telah memenuhi keperluan teknikal dan sistem yang ditetapkan.

Kiraan Zakat

Kadar pembayaran zakat yang ditetapkan adalah 2.57% untuk semua Dana Harga Tetap ASNB iaitu ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3, selaras dengan pendekatan kalendar Masihi dan amalan piawaian perakaunan zakat antarabangsa.

Zakat hanya akan dikenakan ke atas pengagihan pendapatan yang boleh dikeluarkan oleh pemegang unit sahaja seperti pelaburan tunai dan Pembiayaan ASB.

Pelaksanaan kaedah zakat al-Mustaghallat telah mengambil kira pandangan hukum yang diperoleh dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Sabah, Terengganu dan Selangor yang memperakui penggunaan kaedah pengiraan zakat al‑Mustaghallat secara khultah bagi Dana Harga Tetap ASNB. Baca kelulusan Fatwa Negeri di sini.

Penyertaan ke Kelas B boleh dilakukan menerusi platform berikut: 

• Cawangan ASNB 

• Ejen ASNB 

• Aplikasi dan portal myASNB 

• Kiosk ASNB 

Jika anda ingin pengurusan zakat yang lebih mudah dan konsisten, pertimbangkan untuk menyertai Kelas B hari ini. Untuk maklumat lanjut layari laman rasmi ASNB di  sini untuk penjelasan lanjut.