Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Kelebihan Amalan Waqaf

Dr. Ahmad Basri Ibrahim - BM
Dr Ahmad Basri
Dr. Ahmad Basri Ibrahim

7 minit masa membaca

Kelestarian adalah merupakan satu aspek terpenting dalam dunia hari ini di mana ia adalah sebuah konsep mengekalkan sesuatu dan memelihara keaslian.

Islam sejak dari dahulu lagi telah pun menekankan kepentingan kelestarian melalui pendekatan wakaf.

Wakaf sebagai alat mahupun instrumen bertujuan untuk mencapai ganjaran kebajikan yang kekal di samping memberi faedah sosial serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Ia merupakan sebahagian penting dari konsep sedekah yang berterusan memberi manfaat walaupun selepas kematian pemberi.

pahala berterusan waqaf

Para ulama meletakkan makna yang sama antara sedekah, infaq dan wakaf apabila Allah SWT menyebutkannya di dalam Al-Quran.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 92:

لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ [آل عمران ٩٢]

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali Imran: 92)

Ulama tafsir Imam Ibn Kathir dalam menghuraikan ayat di atas mengisahkan seorang sahabat bernama Abu Thalhah iaitu seorang hartawan dari kaum Ansor di Madinah menyedekahkan kebun beliau berhampiran Masjid Nabawi iaitu kebun Bairuha’ apabila diturunkan ayat 92 surah Ali Imran di atas.

Ini menandakan betapa bersungguhnya para sahabat dalam melaksanakan amalan berwakaf ini.

Dalam kisah masyhur Saidina Umar berkenaan wakaf ketika beliau mendapat tanah di Khaibar lantas beliau bertanyakan kepada Rasulullah SAW apa yang patut dibuat oleh beliau akan tanah tersebut.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadith sahih riwayat Imam Bukhari “إن شئتَ حبَستَ أصلَها وتصدَّقتَ بِها” yang bermaksud “Jika engkau mahu, tahan asalnya dan sedekah manfaatnya”.

Syeikh Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah menghuraikan makna hadith di atas adalah Rasulullah SAW menyuruh Umar mewakafkan harta tersebut dan menyedekahkan hasil pendapatan darinya.

Kemudian Saidina Umar melaksanakan sepertimana yang disuruh oleh Nabi SAW iaitu tanah tersebut diwakafkan dan tidak dijual, tidak dihadiahkan serta tidak diwariskan. Kisah ini menjadi antara kisah terawal pelaksanaan wakaf di zaman nabi SAW.

Rukun dan Syarat Wakaf

Amalan berwakaf mempunyai rukun dan syarat tertentu supaya ia terlaksana benar-benar menurut kehendak syarak.

Terdapat empat (4) rukun wakaf iaitu :

  1. Pewakaf (واقف),
  2. Harta yang diwakafkan (الموقوف),
  3. Penerima manfaat harta wakaf (الموقوف عليه), dan
  4. Sighah/akad wakaf (صيغة)

Di mana setiap rukun mempunyai syarat-syarat tertentu.

Menurut Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhayli dalam kitabnya Fiqh Syafi’i Muyassar, beliau menggariskan beberapa syarat bagi setiap rukun wakaf.

Bagi syarat rukun pertama iaitu pewakaf (واقف), pewakaf tersebut hendaklah baligh, berakal, waras, dan tidak dipaksa.

Harta yang diwakafkan (الموقوف) pula hendaklah wujud, dimiliki dan ditentukan dengan jelas yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan yang diharuskan.

Masjid Al-Azhar

Menariknya wakaf ini walaupun ia secara sinonim dilaksanakan oleh umat Islam namun penerima manfaat harta wakaf (الموقوف عليه) tersebut diperluaskan kepada golongan bukan Islam juga.

Ini dapat dilihat bagaimana di zaman Khilafah Uthmaniyyah, bangunan wakaf seperti hospital wakaf Darussifa dimanfaatkan juga kepada golongan bukan Islam tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang di mana mereka boleh mendapatkan rawatan secara percuma bahkan sesetengah harta wakaf di zaman itu diperluaskan lagi manfaatnya itu kepada haiwan sekalipun.

Adapun sighah/akad wakaf (صيغة) menurut mazhab Syafi’i hendaklah dilafazkan secara langsung bermakna wakaf tersebut dipindah milik secara terus tanpa syarat-syarat lain.

Selain itu, disyaratkan juga lafaz wakaf tersebut secara lisan (verbal) dan diniatkan wakaf tersebut secara kekal bermakna tidak diletakkan tempoh pada wakaf tersebut.

Kelebihan Amalan Wakaf di Dunia dan Akhirat

Dari sudut pandang kelestarian di dunia, wakaf menyumbang kepada peningkatan kestabilan ekonomi dan sosial dengan menyediakan sokongan berterusan kepada projek-projek kebajikan dan perkhidmatan sosial bahkan menggalakkan lagi pembangunan mampan dengan menyediakan sumber pendapatan yang kekal.

Inisiatif wakaf pada hari ini telah dikembangkan seluas-luasnya terutamanya dalam memenuhi keperluan semasa. Wakaf di negara kita khususnya tidak lagi berlegar hanya pada wakaf tanah kubur dan masjid semata-mata bahkan dikembangkan lagi kepada inisiatif-inisiatif lain yang lebih menjana ekonomi masyarakat dalam atmosfera ekonomi yang dinamik.

Seperti contoh, ulama kontemporari membenarkan konsep wakaf tunai (cash waqf) iaitu berwakaf dalam bentuk wang tunai yang lebih mudah dari segi kecairan dan fleksibel dari segi penggunaan.

Sudah pasti ganjaran berlipat kali ganda diberikan kepada pewakaf sebagai pelaburan akhirat yang mampu menyelamatkan mereka di hari kemudian. Rasulullah SAW bersabda berkenaan kelebihan ganjaran bersedekah yang sentiasa mengalir walaupun pemberinya sudah mati.

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعوله (رواه مسلم)

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Dalam dunia yang terus berkembang dinamik, wakaf memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

Dengan melihat kelebihannya yang merangkumi aspek kebajikan sosial, ekonomi, dan rohani, wakaf bukan sahaja menjana pahala yang berkekalan di akhirat sana bahkan juga merupakan alat dan instrumen yang berkesan untuk mencapai kelestarian dan pembangunan masyarakat khususnya dan dunia umumnya.

CTA Button-BlueYellow-BM