Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Rumah Lelong : Perkara Asas Anda Perlu Tahu

rumah lelong
ASNB
ASNB Academy

7 minit masa membaca

Kita sering mendengar mengenai rumah lelong, namun tidak ramai yang berani untuk membelinya kerana prosesnya yang agak rumit.

Namun tidak dapat dinafikan ramai yang telah berjaya memiliki rumah lelong dan menjadikannya kediaman yang selesa. Malahan ada yang menjadikan rumah lelong sebagai antara pelaburan menguntungkan dalam hartanah.

Apa itu rumah lelong, bagaimana rumah dilelong dan apakah perkara yang perlu dipertimbangkan sekiranya anda ingin membeli rumah lelong?

Jom kita baca...

Apakah hartanah lelong?

Hartanah lelong ialah aset yang dijual menerusi pembidaan awam, bukannya jualan persendirian sepertimana biasa. Antara jenis hartanah yang sering dilelong ialah rumah, hartanah komersial, tanah dan hartanah pelaburan.

Jenis Hartanah Lelong

  • Rumah disita : Biasanya hartanah yang dilelong merupakan hartanah yang disita pihak bank atas sebab-sebab seperti kegagalan pemilik membayar pinjaman (ansuran bulanan). Hartanah ini dilelong supaya pihak bank boleh mendapatkan semula baki pinjaman yang tertunggak.
  • Hartanah bermasalah: Hartanah yang sudah buruk atau rosak teruk juga sering dilelong kerana pemilik ingin mencairkan aset dengan pantas.

Jenis Lelongan Hartanah

  1. Lelongan Awam: Terbuka kepada orang awam, di mana sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam pembidaan.
  2. Lelongan Peribadi: Terhad kepada kumpulan pembida tertentu, selalunya melalui jemputan sahaja.
  3. Lelongan Dalam Talian: Dijalankan melalui internet, membenarkan pembida untuk mengambil bahagian dari jauh.
  4. Lelongan Langsung: Diadakan di lokasi fizikal dengan pelelong yang menjalankan proses pembidaan

Kos Terlibat

Terdapat pelbagai yuran dan kos yang berkaitan dnegan proses membeli dan menjual hartanah lelong. Yuran ini berbeza bergantung kepada jenis rumah, hartanah dan syarat khusus lelongan.

1. Yuran Pendaftaran: Anda mungkin perlu mendaftar jika ingin membida. Ada ketikanya yuran ini dikembalikan sekiranya anda gagal membida.

2. Deposit: Anda perlu menyediakan wang deposit yang biasanya mewakili 5-10% daripada harga rizab sebelum lelongan dibuka.

3. Deposit tambahan : Anda perlu membayar deposit tambahan untuk perbezaan antara harga rizab dan harga akhir yang dibida.

4. Yuran Guaman: Kos yang berkaitan dengan mengupah peguam mengendalikan aspek undang-undang, termasuk carian pegangan, pengisytiharan jualan, pemindahan hak milik dan semakan kontrak.

5. Duti Setem: Cukai untuk perjanjian jual beli hartanah, dan ia berbeza mengikut lokasi dan nilai hartanah.

s&p agreement

Proses Lelongan Hartanah

  1. Penyenaraian Hartanah: Hartanah disenaraikan untuk lelongan, dengan butiran diberikan tentang keadaan, lokasi dan sebarang isu undang-undang atau kewangan. Kebanyakan ejen menggunakan aplikasi seperti mudah.my untuk menyenaraikan rumah yang akan dilelong.
  2. Tempoh Pemeriksaan: Pembida berminat boleh memeriksa hartanah sebelum lelongan untuk mendapatkan nilai dan memeriksa keadaan semasa hartanah berkenaan. untuk membuat penilaian awal.
  3. Pengumuman Lelongan: Tarikh, masa dan lokasi lelongan (atau platform dalam talian) akan diumumkan, bersama-sama terma dan syarat jualan.
  4. Pendaftaran: Pembida yang berminat mesti mendaftar sebagai pembida.
  5. Proses Pembidaan: Pembida bersaing menerusi perang tawaran harga yang mana pembida dengan harga tertinggi akan menjadi pemenang sebaik pelelong menutup bidaan.
  6. Pengumuman Pembida Berjaya: Pemenang akan diisytiharkan sebagai pemilik hartanah dan perlu menandatangani perjanjian pembelian dan membayar deposit serta merta selepas lelongan.
  7. Penyelesaian: Baki pembiayaan perlu diselesaikan dalam tempoh 90-120 hari daripada tarikh lelongan. Deposit ini mungkin hangus jika anda gagal mendapatkan pinjaman dalam tempoh berkenaan.

Senarai semak sebelum membeli

Semak perkara berikut sebelum membuat keputusan untuk membida rumah lelong :

1. Penyelidikan: Buat tinjauan terhadap hartanah berkenaan dan dapatkan maklumat seperti nilai pasaran, keadaan semasa dan isu berkaitan undang-undang seperti caveat dan penyewa sedia ada.

2. Periksa Harta: Jika ada wang lebih, anda boleh mengupah profesional untuk mendapatkan memeriksa dan menilai hartanah berkenaan.

rumah lelong

3. Fahami Terma: Adalah penting untuk membaca Pengisytiharan Jualan, terma dan syarat lelongan suoaya anda tidak terperangkan dalam situasi luar jangka yang kadangkala membabitkan wang tambahan dan menyebabkan anda kehilangan deposit dan gagal memiliki hartanah berkenaan walaupun berjaya dalam bidaan.

4. Tetapkan Belanjawan: Pastikan anda membida berdasarkan kemampuan dengan mengambilkira perkara penting seperti deposit, yuran guaman dan duti stem.

5. Hadiri Lelongan: Sekiranya anda belum berpengalaman, hadiri beberapa lelongan sebagai pemerhati untuk memahami proses lelongan.

6. Upah Profesional: Anda juga boleh mengupah ejen hartanah atau penasihat undang-undang yang berpengalaman dalam lelongan untuk membantu anda..

Masalah berkaitan rumah lelong

1. Kaveat

Kaveat ialah notis undang-undang yang menunjukkan seseorang berminat dengan harta itu, yang boleh merumitkan proses lelongan.

Bank biasanya enggan membiayai hartanah yang mempunyai kaveat. Jadi anda mungkin perlu menyediakan tunai yang cukup sekiranya benar-benar berminat.

2. Jenis Harta

Anda perlu mengenalpasti pegangan rumah, sama ada pajakan atau pegangan bebas. Kebiasaannya hartanah pajakan perlu mempunyai tempoh pegangan sekurang-kurangnya 20 tahun untuk memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan.

3. Penyewa degil

Kadangkala penyewa sedia ada enggan keluar dan menyebabkan anda sukar membaikpulih atau berpindah ke rumah berkenaan dan ini mungkin menyebabkan anda terpaksa mengeluarkan modal tambahan termasuk kos peguam untuk mengusir mereka.

Ringkasan

Lelongan hartanah menawarkan cara yang unik dan berfaedah untuk membeli atau menjual hartanah. Memahami proses lelongan, menjalankan penyelidikan menyeluruh, dan menyediakan dengan secukupnya boleh memastikan pengalaman yang berjaya dan bermanfaat. Sama ada anda seorang pembeli yang mencari tawaran atau penjual yang mencari jualan pantas, lelongan boleh menjadi alat yang berkesan dalam pasaran hartanah.

Sorotan

1. Hartanah lelong membuka peluang untuk memiliki hartanah pada harga lebih murah, namun faktor seperti keadaan rumah, penyewa sedia ada dan nilai semasa hartanah perlu diambil kira sebelum membuat keputusan

2. Sediakan jumlah wang yang cukup. Jika boleh pastikan anda layak membuat pinjaman sebelum menyertai proses membida kerana anda mungkin kehilangan wang deposit jika gagal mendapatkan pembiayaan.

3. Rumah lelong mungkin membabitkan kos tinggi untuk membaik pulih sekiranya keadaan rumah sudah buruk dan tidak terurus

CTA Button-BlueYellow-BM