Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

6 Mitos Pelaburan

mitos BM
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Ada banyak sebab mengapa ramai antara kita yang tidak melabur. Namun begitu, tahukah anda, ada perkara mengenai pelaburan yang anda tahu yang mungkin menghalang anda melabur, sebenarnya hanyalah mitos semata-mata.

Realitinya, sesiapa sahaja boleh melabur, yang penting sabar, dedikasi, komitmen dan tidak tamak.

Berikut ialah antara mitos yang perlu anda fahami dan lupakan dengan segera:

1. Anda Perlu Ada Banyak Duit untuk Melabur

Ramai percaya pelaburan memerlukan modal yang besar, jadi mereka mengumpul wang terlebih dahulu sementara menunggu waktu yang sesuai untuk melabur.

Sayangnya, wang ini biasanya disimpan dalam Akaun Simpanan dan dibiarkan sahaja selama bertahun-tahun tanpa menerima sebarang pulangan.

Percaya atau tidak, tidak semua pelaburan memerlukan modal yang besar. Sebagai contoh, pelaburan dalam unit amanah seperti ASB membenarkan pelaburan serendah RM100 setiap bulan.

Pada masa yang sama, pelaburan berkenaan mampu memberi pulangan lebih baik berbanding Akaun Simpanan yang tidak memberi sebarang dividen, walaupun risiko yang ditanggung adalah sama.

Sememangnya lebih baik jika kita boleh bermula dengan wang yang banyak, tetapi bermula kecil dan menambahnya dari semasa ke semasa adalah lebih baik, berbanding langsung tidak melabur dan membiarkan sahaja wang tidur dalam Akaun Simpanan.

2. Melabur itu Susah, Kena Jadi Pakar Baru Boleh Melabur

Pendapat bahawa melabur memerlukan ilmu itu memang betul tetapi anda tidak perlu menunggu sehingga menjadi pakar, barulah hendak mula melabur.

Memang ada jargon atau istilah pelaburan yang mungkin memeningkan, namun jika anda baru mula berjinak dengan pelaburan, pilihlah pelaburan yang mudah dan tidak begitu rumit.

Pelajari asas pelaburan dan fahami pengetahuan asas seperti risiko dan pulangan untuk mula melabur dan membuat keputusan pelaburan bermaklumat.

Pelaburan berisiko rendah seperti dalam ASB dan deposit tetap, tidak memerlukan kepakaran, sebaliknya memerlukan anda menjadi seorang yang berdisiplin dan sanggup memberi komitmen jangka panjang. Umpama ubi, diam-diam berisi, begitu jugalah pelaburan dalam instrumen berisiko rendah.

Pelaburan berisiko sederhana seperti emas dan unit amanah juga tidak memerlukan anda menjadi pakar, yang penting jangan tamak.

3. Tunggu Dapat Pulangan Tinggi

Konsep asas pelaburan ialah risiko dan pulangan. Kebiasaannya, lebih tinggi pulangan, lebih tinggilah risiko kerugian yang perlu ditanggung.

Jadi apabila ada individu atau syarikat yang tampil menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa yang singkat tanpa sebarang risiko kerugian, anda boleh terus menganggapnya sebagai ‘skim cepat kaya’.

Juga jangan terpedaya dengan janji-janji manis pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan melangit tinggi dengan modal pelaburan yang kecil.

Dalam dunia ini, tiada istilah cepat kaya dan tiada pelaburan mampu memberi pulangan luar biasa dalam tempoh yang singkat. Untuk membina kekayaan, kita perlu berusaha, berdisiplin, mempunyai komitmen tinggi dan rajin menimba ilmu.

high return

4. Risiko Tinggi

Ramai mengelak melabur kerana bimbang rugi. Pelaburan dalam kategori sederhana dan tinggi sememangnya datang bersama risiko yang tinggi, namun ada juga pelaburan berisiko rendah.

Kita perlu bijak menangani risiko dengan ilmu untuk mengurangkan risiko kerugian yang perlu ditanggung.

Justeru, dinasihatkan mempelbagaikan pelaburan dengan pelaburan berisiko rendah perlu diutamakan terlebih dahulu sebagai benteng kewangan.

Elakkan daripada melaburkan semua wang dalam pelaburan berisiko tinggi seperti pasaran saham atau Forex kerana kemungkinan untuk hilang semua modal yang dilaburkan sentiasa ada.

Dengan perancangan pelaburan yang betul, anda bukan sahaja dapat mengelak kerugian, malah membina kekayaan jangka panjang.

5. Anda Terlalu Muda untuk Mula Melabur

Ramai mengelak untuk melabur kerana berasakan mereka masih muda. Mereka melihat pelaburan sebagai persediaan untuk bersara dan pada mereka, usia bersara itu masih terlalu jauh.

Bagi mereka, masa muda adalah masa untuk menikmati kehidupan. Mengapa perlu berjimat cermat untuk melabur sedangkan usia muda hanya sekali.

Anggapan ini adalah satu kesilapan kerana anda yang masih muda mempunyai kelebihan yang tidak mungkin dimiliki oleh orang yang sudah berusia iaitu tempoh pelaburan yang lebih panjang.

Sebagai contoh, sekiranya anda melabur sebanyak RM100 dari usia 25 tahun, dengan purata dividen tahunan 5%, anda akan mempunyai tabungan sebanyak 108,384 apabila berusia 60 tahun, berbanding hanya RM57,272 jika anda mula melabur pada usia 35 tahun.

Proses pengembangan modal ini dikenali sebagai kuasa faedah kompaun atau faedah atas faedah. Kuasa faedah kompaun ini mengembangkan modal pelaburan menerusi dividen yang dilaburkan semula. Lebih panjang tempoh pelaburan, lebih keraplah wang anda akan menikmati kuasa pengkompaunan, maka lebih besarlah tabungan yang dibina.

Wang yang terkumpul ini boleh dijadikan sebagai tabung kecemasan atau untuk merealisasikan impian seperti perkahwinan, deposit kereta dan rumah pertama dan sebagainya.

Jadi jangan sia-siakan usia muda, mulakan pelaburan dari gaji pertama untuk menikmati keajaiban kuasa faedah kompaun.

6. Kena Luangkan Banyak Masa

Ramai berpendapat melabur mememerlukan seseorang itu memperuntukkan waktu yang banyak untuk memantau pelaburan.

Sebagai contoh, jika melabur dalam pasaran saham, maka anda perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan dalam persekitaran ekonomi dalam dan luar negara.

Oleh kerana komitmen ini dirasakan memenatkan dan mengambil masa yang banyak, ramai memilih untuk tidak melabur.

Sebenarnya, untuk mengelak daripada melabur mengikut emosi atau terlalu terdedah kepada pergerakan pasaran saham, anda boleh memilih melabur dalam pelaburan berisiko rendah atau menggunakan kaedah dollar cost averaging (DCA) atau pemurataan kos ringgit.

Menerusi kaedah DCA, anda akan melabur secara tetap dan automatik setiap bulan ke dalam unit amanah atau saham pilihan. Jadi anda tidak melabur berdasarkan emosi, sebalikya hanya perlu menetapkan kedudukan jangka panjang untuk pelaburan yang lebih tenang.

Adakah Anda Sudah Bersedia?

Dengan penjelasan mengenai 6 mitos pelaburan ini, kami harap anda sudah bersedia untuk melabur secepat mungkin.

Bagaimanapun, jangan lupa, pelaburan bukanlah semata-mata untuk mendapatkan keuntungan, tetapi lebih kepada membina strategi pelaburan jangka panjang yang mampu memberi pulangan positif.

Dua sebab utama mengapa anda perlu melabur ialah mengembangkan modal pelaburan dan melindungi nilai wang daripada mengecil akibat inflasi.

Jangan biarkan kepercayaan karut menyebabkan anda tidak melabur dan tidak dapat menikmati kehebatan kuasa faedah kompaun.

CTA Button-BlueYellow-BM