Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Bijak Urus Hutang, Elak Tekanan Kewangan

Bijak-urus-hutang
ASNB
ASNB Academy

5 minit masa membaca

Kebelakangan ini Ahmad sering mengeluh. Gaji yang diterimanya setiap bulan cukup-cukup saja untuk meneruskan kehidupan harian selepas ditolak hutang dan bil-bil yang perlu dibayar.

Bukan saja dia tidak mampu berbelanja mewah, malah keinginan untuk sekali sekala mahu memanjakan diri dan keluarga juga begitu sukar direalisasikan.

Kadangkala apabila ada kecemasan seperti kereta rosak ataupun anaknya memerlukan rawatan segera, Ahmad tiada pilihan selain menggunakan kad kredit sedangkan hutang yang lama masih belum habis di bayar.

Apabila kedudukan kewangannya semakin parah, Ahmad bertemu dengan sahabatnya yang merupakan seorang penasihat kewangan bertauliah. Selepas menganalisa kedudukan kewangan Ahmad, berikut ialah masalah sebenar Ahmad:

Hutang kad kredit yang banyak

Perkara pertama yang dijelaskan ialah jumlah kad kredit Ahmad yang terlalu tinggi. Pada ketika dia meminta nasihat, hutang kad kreditnya sudah mencecah RM30,000 dan dia hanya membayar jumlah minima setiap bulan.

Memiliki rumah dan kereta diluar kemampuan

Ahmad juga memandu kereta mewah dan membeli rumah yang diluar kemampuannya. Dengan gaji bulanan RM8,000, Ahmad membayar RM1,100 sebulan untuk kereta dan RM2,000 untuk rumahnya. Itu belum termasuk pinjaman peribadi kerana ubah suai rumah dan pembelian perabot yang berjumlah RM600 sebulan.

Bil bulanan yang tinggi

Sementara itu, jumlah bil bulanan yang perlu dibayar kadangkala mencecah RM1,000 termasuklah bil elektrik, Astro, jalur lebar, pendidikan anak-anak dan sebagainya.

Mujurlah isteri Ahmad juga bekerja dan dapat membantu Ahmad mengurangkan bebannya dalam perbelanjaan harian. Jika tidak, kedudukan kewangan Ahmad sudah pasti lebih menjerut lehernya dan secara berterusan menghalangnya untuk menikmati kehidupan.

Mengapakah Ahmad berasa tertekan? Sebab utamanya ialah dia menanggung hutang berlebihan yang tidak selari dengan pendapatan. Perkara pertama yang penting dalam pengurusan kewangan ialah berbelanja mengikut atau kurang dari kemampuan.

Menurut penasihat kewangan yang ditemui, kemahiran menguruskan hutang merupakan antara kemahiran kewangan paling penting yang perlu ada untuk membolehkan anda mempunyai kedudukan kewangan yang teguh.

“Kita perlu berbelanja mengikut kemampuan. Kegagalan untuk mematuhi peraturan asas ini akan menyebabkan anda terjerat dan sukar menikmati hidup kerana bebanan kewangan yang berterusan,” katanya.

Anda perlu tahu untuk membezakan dua jenis hutang yang sememangnya sering mengelirukan orang ramai iaitu hutang baik dan hutang tidak baik. Hutang baik akan meningkatkan nilai aset anda manakala hutang tidak baik akan kekal sebagai liabiliti dan tidak memberi kesan kepada nilai aset anda.

Justeru, sebolehnya hutang tidak baik seperti hutang kad kredit, hutang kereta dan hutang peribadi perlu diminimumkan kerana selain menjadi liabiliti, ia juga mengenakan caj faedah yang tinggi.

Antara hutang yang sering memerangkap ialah hutang kad kredit, justeru penggunannya perlu diminiumumkan dan perlu dibayar secepat mungkin. Jangan membayar hanya jumlah minimum, sebaliknya langsaikan semuanya sebaik mendapat gaji. Paling penting, sebelum menggunakan kad kredit, anda perlu benar-benar yakin yang anda mempunyai duit untuk melangsaikan pembelian anda dalam tempoh kurang sebulan dari tarikh belian.

Kereta juga merupakan antara sebab utama ramai orang muda muflis, Ini kerana ramai yang membeli kereta tanpa mengambil kira kemampuan selain ansuran bulanan, seperti servis, insurans, persediaan untuk kecemasan sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya.

Apabila tidak mampu, ada yang mula menggunakan kad kredit untuk penyenggaraan kenderaaan seperti minyak, servis dan sebagainya. Sebaiknya, beli kenderaan yang hanya mengambil 10 peratus dari gaji. Jika belum mampu, pilihan lebih baik ialah motor atau kenderaan awam.

Sekiranya anda sudah terperangkap dalam bebanan hutang yang keterlaluan, anda perlu menyusun dan membayar semula hutang anda dengan segera. Peraturan utamanya ialah membayar dahulu hutang dengan caj tertinggi seperti kad kredit dan diikuti dengan pinjaman peribadi.

Untuk mengurangkan beban, kita sebenarnya perlu membina tabungan agar kita mempunyai wang setiap kali memerlukannya dan ini dapat membantu kita mengelakkan daripada menggunakan kad kredit atau membuat pinjaman peribadi kerana terdesak.

Bagaimana membina tabungan? Sudah pasti anda perlu melabur.. Jika boleh, mula melabur dari gaji pertama anda dan laburkan semaksimum mungkin kerana ketika bujang, anda belum mempunyai banyak komitmen.

Apabila membina tabungan, carilah instrumen pelaburan seperti ASB atau ASB 2 yang berisiko rendah dan boleh membantu kita memperoleh pulangan yang konsisten untuk jangka panjang.

Membuat bajet pula dapat membantu kita memantau perbelanjaan supaya kedudukan kewangan menjadi lebih positif.

Dengan menyeimbangkan pendapatan dan perbelanjaan, kita akan dapat mengetahui sama ada kita mempunyai keanjalan untuk berbelanja atau perlu terus mengikat perut untuk membayar hutang.

Dengan bajet yang betul, kita akan dapat mengurus hutang dan berbelanja, seterusnya membantu mencari lebihan wang untuk dilaburkan.

Memerdekakan kewangan bukan bermakna kita tiada hutang, tetapi ia bermaksud kita mampu tidur lena setiap malam tanpa bimbang mengenai kewangan.