Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Pelaburan Sistematik : Apakah Kelebihannya?

sip
ASNB
ASNB Academy

7 minit masa membaca

Apa yang boleh anda beli dengan RM50 hari ini? Mungkin tidak banyak kerana ia mingkin hanya cukup untuk anda membeli barangan keperluan untuk seminggu, menggunakannya untuk makan 3 kali sehari atau untuk mengisi minyak kereta.

Bagaimana pula jika anda melaburkan RM50 ini setiap bulan? Pastinya anda berasakan jumlah itu terlalu kecil dan tidak akan memberi sebarang kesan kepada kewangan anda.

Namun begitu, percayakah anda bahawa dengan RM50 ini, tidak mustahil anda akan mempunyai kira-kira RM3,400 dalam tabungan sekiranya anda melabur setiap bulan secara konsisten selama 5 tahun dalam instrumen pelaburan yang memberi pulangan purata 5% setahun?

Syaratnya mudah sahaja, anda perlu melabur secara konsisten setiap bulan, jangan skip walau satu bulan pun dan jangan pula mengeluarkan wang yang dilaburkan dan juga dividen yang diterima.

Sekiranya anda boleh melakukan dua perkara ini dalam tempoh 2-3 tahun, tidak mustahil anda akan dapat membina tabungan yang lebih besar, dan akhirnya menjadikan apa saja impian anda satu kenyataan.

Sebenarnya melabur tidak susah jika kita melakukannya dengan cara yang betul, memilih lokasi pelaburan yang betul dan berdisplin tinggi untuk melabur dan tidak mengeluarkan pelaburan dalam jangka panjang.

Untuk membantu anda mendisplinkan diri, satu kaedah yang boleh digunakan ialah dengan menggunakan kemudahan pelaburan sistematik yang mana anda membuat potongan untuk melabur terus secara automatik setiap bulan terus ke dalam instrumen pelaburan pilihan anda.

Kemudahan Pelaburan Sistematik

Kemudahan Pelaburan Sistematik merupakan kemudahan dimana anda mengenepikan sejumlah wang dalam jumlah yang sama setiap bulan, untuk dilaburkan ke dalam akaun pelaburan pilihan anda.

Antara contoh ialah kemudahan Auto Labur @myASNB yang mana pelabur membenarkan ASNB untuk membuat potongan setiap bulan daripada Akaun Simpanan. Wang yang dipotong ini akan dimasukkan terus ke dalam ASB, tanpa memerlukan sebarang intervensi daripada pihak pelabur.

Kelebihan Kemudahan Pelaburan Sistematik

1. Membentuk Disiplin Diri Untuk Melabur

Kemudahan pelaburan sistematik ini membantu anda membentuk disiplin diri dan menerapkan amalan ‘Labur Dahulu Baru Belanja’ kerana anda tidak sedar pun yang wang anda sudah diketepikan untuk pelaburan, lebih-lebih lagi jika anda membuat potongan yang kecil jumlahnya.

Oleh kerana prosesnya adalah secara automatik selepas anda memberi kebenaran awal, proses ini tidak akan terganggu kecuali anda memberhentikannya. Justeru anda boleh melabur secara konsisten dan mengawal diri dari godaan untuk berbelanja.

Lupakan kaedah ‘Melabur Bila Ada Lebihan’ sebaliknya gunakanlah pelaburan sistematik untuk melabur terlebih dahulu.

2. Pemurataan Kos Ringgit

Purata Kos Ringgit membantu mengurangkan risiko kerugian berikutan ketidaktentuan pasaran yang biasanya akan memberi kesan kepada pergerakan turun naik harga seunit saham atau unit amanah.

Oleh kerana anda melabur dalam jumlah yang sama setiap bulan, anda akan memperoleh lebih banyak unit sekiranya harga seunit turun dan sebaliknya jika harga seunit meningkat.

Dalam jangka panjang, pelaburan sistematik ini akan membolehkan anda memperoleh keuntungan dalam pelaburan.

3. Kuasa Faedah Kompaun Mengembangkan Pelaburan

Apabila anda melabur untuk jangka panjang dan langsung tidak mengeluarkan modal pelaburan dan dividen, tabungan anda akan berkembang dengan pantas setiap tahun.

Dalam jangka panjang, modal yang dilaburkan mampu berkembang sekali ganda dan mungkin lebih daripada itu, sekiranya anda kekal konsisten untuk melabur dalam jangka panjang.

Berdasarkan Rules of 72, modal pelaburan anda mampu berkembang sekali ganda dalam tempoh 14 tahun jika anda menerima dividen pelaburan tahunan sebanyak 5 peratus.

Sepertimana contoh di atas, wang anda berkembang kepada RM3,400 sedangkan wang yang anda laburkan hanyalah RM3,000. Dividen yang anda terima sepanjang pelaburan ialah RM400, tanpa anda perlu berbuat apa-apa.

Sekiranya anda kekal melabur dalam instrument yang sama selama 10 tahun, anda akan mempunyai RM7,750 dalam tabungan, yang mana RM1,740 merupakan dividen terkumpul.

4. Mampu Milik

Kebiasannya pihak yang menawarkan kemudahan Pelaburan Sistematik ini akan membenarkan anda melabur dalam jumlah yang kecil, ada yang serendah RM30 setiap bulan tanpa sebarang caj.

Ini memberi lebih fleksibiliti kepada pelabur dan membeolehkan mereka mendisplinkan diri untuk melabur dengan membuat potongan berdasarkan kemampuan. Sebagai contoh, jika anda mampu melabur RM100 sahaja setiap bulan, jangan potong lebih dari itu.

Membuat potongan diluar kemampuan hanya akan menyebabkan anda berhenti ditengah jalan kerana berasakan ia satu perkara yang membebankan.

5. Kawalan Emosi

Pelaburan sistematik membantu anda mengawal diri daripada berbelanja kerana anda sudah melabur terlebih dahulu sebelum wang gaji sampai di tangan anda, atau wang berkenaan telah siap-siap dipotong sebelum anda sempat untuk berbelanja.

Dengan cara ini, anda dapat menahan diri daripada berbelanja untuk perkara diluar kemampuan. Mungkin pada permulaan anda berasa agak sukar, namun percayalah, selepas 6 bulan atau setahun, anda mungkin sudah tidak perasan atau tidak ingat pun anda sudah melabur. Tahu-tahu wang anda berkembang dalam ASB.

6. Memantau Pelaburan dan Prestasi

Kebiasaannya anda akan menerima penyata pelaburan dan pulangan atau boleh menyemaknya secara dalam talian menerusi aplikasi yang disediakan penyedia kemudahan sistematik ini.

Oleh itu anda dapat memantau pelaburan dan pulangan yang diterima dengan mudah dan membuat keputusan pantan untuk berhenti sekiranya pelaburan itu benar-benar merugikan.

Namun jangan buat keputusan terburu-buru untuk berhenti kerana kebanyakan pelaburan memerlukan tempoh pelaburan yang agak panjang sebelum keuntungan dapat direalisasikan.

Kesimpulan

Pelaburan sistematik ialah merupakan satu kemudahan yang mempunyai kuasa untuk membantu anda membina tabungan yang kukuh. Tanpa membabitkan kos yang tinggi, kemudahan ini membolehkan anda membina tabiat melabur yang positif, seterusnya membantu anda mengurus kewangan dengan lebih baik.

Gunakanlah kemudahan yang ada ini dengan sebaiknya. Jika anda tidak bermula hari ini, mungkin sampai bila-bila pun anda tidak akan mempunyai sebarang tabungan.

Jika anda boleh menjelaskan hutang bulanan yang anda cipta menerusi kemudahan ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ pastinya anda juga ada kekuatan untuk membuat potongan serendah RM50 setiap bulan untuk pelaburan.

 Sorotan Artikel

1. Kemudahan Pelaburan Sistematik membantu anda berdisplin untuk melabur dan membina tabungan

2. Elakkan membuat potongan dalam jumlah yang besar, sebaliknya tetapkan jumlah mampu milik yang tidak membebankan, contohnya RM100 setiap bulan

3. Kuasa faedah kompaun akan membantu mengembangkan pelaburan jika ada melakukannya secara konsisten dan berterusan untuk satu tempoh yang panjang