Skim Cepat Kaya: Bagaimana Lindungi Diri

Isu mengenai skim cepat kaya tidak pernah reda, malah ada sahaja skim baharu yang muncul dan berjaya memperdaya orang ramai untuk melabur.
Paling menakutkan, sindiket ini kini tidak segan menjaja agama sebagai modal untuk menipu, malah ada yang bertopeng seminar keusahawanan dan MLM sebagai samaran untuk memperdaya bakal pelabur.
Tanpa mengira siapa, golongan profesional, pelajar, orang kampung dan bandar, semua menjadi mangsa kerana inginkan pulangan pantas daripada pelaburan, walaupun pulangan yang dijanjikan itu kelihatan amat luar biasa.
Walaubagaimanapun, sebijak mana pun sindiket ini menipu, sekiranya orang ramai tidak mengejar keuntungan pantas dan tidak segan menuntut ilmu mengenai pelaburan, tidak mungkin sindiket ini berjaya memperdaya mereka.
Perkara pertama yang perlu anda tanyakan pada diri sendiri ialah mengenai pulangan yang dijanjikan. Adakah logik sebuah syarikat yang tidak dikenali, mampu memberi pulangan tinggi? Mengapa berkira-kira untuk melabur dalam produk pelaburan yang diiktiraf kerajaan tetapi memilih syarikat yang langsung tidak diketahui asal usulnya?
Malah pulangan pelaburan yang ditawarkan unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebenarnya sudah cukup mempersonakan sekiranya masyarakat inginkan destinasi pelaburan yang mampu menjanjikan pulangan kompetitif.
Pada kadar risiko yang rendah kerana ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit, orang ramai sewajarnya tidak melihat lebih jauh untuk mencari peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang boleh dikatakan tinggi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ini.
Mungkin pulangan tahunan yang diberikan tidaklah sehebat yang dijanjikan oleh skim cepat kaya, tetapi ia pastinya lebih selamat lebih-lebih lagi kerana ia diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang merupakan institusi pelaburan terbesar negara.
Sudah pastinya pelaburan dalam mana-mana unit amanah adalah lebih selamat kerana ia diuruskan oleh mereka yang profesional dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan.
Malah semua syarikat ini dibawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang sentiasa memastikan kepentingan orang ramai terjamin.
BNM dalam laman webnya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah undang-undang yang berkaitan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan.
Paling menyedihkan apabila seseorang itu sudah menjadi mangsa kepada skim cepat kaya ini, wang yang dilaburkan biasanya tidak dapat diperoleh semula kerana perlindungan pengguna di bawah undang-undang yang ditadbir BNM tidak terpakai sekiranya orang ramai memilih untuk berurusan dengan penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah.
Bayangkan jika anda seorang pesara yang melaburkan semua wang anda dalam skim ini, atau pelajar yang masih memerlukan wang untuk kehidupan seharian, atau golongan profesional yang ingin membina tabungan persaraan?
Oleh itu, usahlah mencari keuntungan luar biasa daripada pelaburan dan mantapkan ilmu pelaburan dengan membuat kajian sewajarnya sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ada banyak peluang pelaburan yang sah yang ada di negara ini yang boleh memberi pulangan berdasarkan risiko yang sanggup ditanggung.
Daripada kehilangan wang kepada sindiket tidak bertanggungjawab, lebih baik memilih unit amanah atau pasaran saham.
Jika di pasaran saham, harga saham yang boleh turun atau naik pada bila-bila masa mungkin menyebabkan pelabur tidak keruan, tetapi sekurang-kurangnya syarikat yang tersenarai ada mengumumkan dividen setiap tahun sebagai pulangan.
Dalam jangka panjang, pelabur mungkin berpeluang meraih keuntungan, lebih-lebih lagi jika harga saham terus meningkat dari semasa ke semasa.
Begitu juga pelaburan dalam unit amanah yang mana jika melabur dalam unit amanah harga tetap seperti ASB, ASB 2, dan ASM 2 Wawasan, pelabur pastinya tidak akan kehilangan modal dan dijanjikan dividen setiap tahun.
Jika melabur dalam unit amanah harga berubah pula, sama seperti pasaran saham, pelabur mungkin memperoleh keuntungan daripada peningkatan harga seunit, atau mungkin mengalami kerugian jika harga turun, tetapi masih ada pulangan setiap tahun yang diumumkan.
Yang penting pilihlah pelaburan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa, sekurang-kurangnya anda tidak akan tertipu dengan janji manis yang diberikan sindikit yang tidak bertauliah ini.
