Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Simpanan Vs Pelaburan

savings-vs-investment
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Apakah perbezaan antara akaun simpanan dan pelaburan dan mengapakah penting untuk memiliki akaun berasingan untuk kedua-duanya?

Memahami perbezaan antara keduanya akan memberi impak besar kepada kejayaan seseorang dalam membina tabungan.

Simpanan secara mudahnya bermaksud menyimpan wang untuk tujuan keselamatan atau kegunaan pantas, contohnya dalam almari, peti keselamatan atau dalam bank.

Kita digalakkan memiliki wang dalam akaun simpanan yang menyamai sekurang-kurangnya 6 bulan gaji sebagai persediaan jika berlaku kecemasan.

Sementara pelaburan pula ialah apabila kita meletakkan wang dalam instrumen kewangan atau aset seperti bon, unit amanah dan saham dengan harapan memperoleh pulangan. Biasanya ia membabitkan tempoh yang panjang dan risiko yang berkait rapat dengan pulangan.

Kebiasaannya wang dalam akaun simpanan ialah wang yang boleh diakses pada bila-bila masa untuk digunakan manakala wang yang dilaburkan ialah untuk jangka panjang.

Dalam membezakan simpanan dan pelaburan, ramai yang keliru dan menganggap kedua-duanya adalah sama, sedangkan kedua-duanya membabitkan instrumen berbeza dengan risiko dan pulangan yang berbeza.

Sekiranya ada lebih, barulah kita mula memikirkan untuk memulakan pelaburan, contohnya dalam unit amanah, pasaran saham, emas dan sebagainya.

Wang yang dilaburkan ini perlulah dibiarkan untuk jangka panjang supaya ia mempunyai masa yang cukup untuk menjana pulangan, namun sebagai pelabur, kita perlulah sentiasa memantau pelaburan untuk mengelak kerugian.

Mengapa akaun kecemasan jangka panjang? Ini kerana pelaburan dalam ASB boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, namun unit amanah itu memberi pulangan yang jauh lebih baik berbanding Akaun Simpanan bank.

Bagaimanapun, bagi mereka yang berpeluang untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), mereka boleh menjadikan unit amanah itu sebagai akaun simpanan dan pelaburan.

Ini kerana ciri unik yang dimiliki unit amanah harga tetap ASB membolehkannya bertindak sebagai akaun simpanan kecemasan jangka panjang dan pelaburan.

Ciri-ciri ASB yang hampir serupa dengan akaun simpanan seperti harga tetap dan kecairan yang tinggi (boleh melabur dan mengeluarkan pelaburan pada bila-bila masa) menjadikan ASB sebuah destinasi pelaburan yang sangat unik dan kita sepatutnya memilih ASB untuk melaburkan dan menyimpan.

Mengapa membiarkan wang dalam Akaun Simpanan yang hampir tiada pulangan, sedangkan kita mempunyai pilihan untuk meletakkan wang dalam ASB dan pada masa yang sama menikmati pulangan lebih baik.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa ASB bukanlah akaun simpanan, dan ini bermakna ASB dan unit amanah seumpamanya diuruskan dengan cara yang berbeza berbanding simpanan atau deposit tetap.

Oleh kerana ASB sebenarnya ialah instrumen pelaburan, pelabur perlu melabur untuk jangka panjang supaya wang yang dilaburkan itu dapat berkembang dan akhirnya membina tabungan yang kukuh sebagai sandaran.

Antara kesilapan paling kerap dilakukan pelabur ASB ialah mengeluarkan semula agihan pendapatan tahunan yang diterima dan ini menyebabkan wang pelaburan mereka gagal berkembang.

Begitu juga apabila mereka membuat Pinjaman ASB, yang mana kesilapan paling kerap dilakukan ialah menggunakan agihan pendapatan tahunan untuk membayar ansuran bulanan atau membelanjakannya.

Pada akhir tempoh pinjaman, pelabur tidak dapat mengembangkan modal seperti sepatutnya dan ada masanya, nilai wang mereka mengecil kerana inflasi.

Justeru amat penting untuk membezakan akaun pelaburan dan simpanan dan bayaran untuk ansuran pinjaman seperti Pinjaman ASB sepatutnya dibayar menggunakan wang dalam akaun simpanan.

Apabila gaji masuk ke akaun simpanan, kita ketepikan dahulu untuk pelaburan, bayar hutang, bil-bil dan juga perbelanjaan rumah dan wang selebihnya kita uruskan sebaiknya sepanjang bulan berkenaan untuk menampung perbelanjaan harian.

Wang untuk pelaburan dalam ASB boleh dipindahkan dengan mudah dan pantas menerusi pelaburan dalam talian melalui Maybank2u, CIMBClicks, RHBNow dan Affinalways atau potongan gaji secara automatik setiap bulan.

Wang yang sudah diketepikan untuk pelaburan jangan pula dikeluarkan pada pertengahan atau hujung bulan supaya ia kekal dalam akaun untuk jangka panjang, dan akhirnya membolehkan kita mempunyai tabungan yang kukuh untuk masa depan.

Dengan cara ini, pelabur dapat memastikan mereka tidak terlepas untuk membuat pelaburan dengan konsisten setiap bulan.

Memulakan pelaburan kini lebih mudah di myASNB. Untuk maklumat lanjut layari https://www.myasnb.com.my/.