Naik Gaji : 5 Langkah Perkukuh Kewangan

Seramai 1.6 juta penjawat awam menerima ‘durian runtuh’ menerusi pengumuman pelarasan gaji oleh Perdana Menteri yang menyaksikan Kumpulan Pelaksana menerima kenaikan 15 peratus manakala Kumpulan Pengurusan dan Profesional menikmati kenaikan 7 peratus.
Penjawat awam sudah boleh menyemak kadar gaji baharu menerusi perkhidmatan kalkulator gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) secara dalam talian. Langkah menaikkan gaji penjawat awam ini merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara. Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam ialah pada 2013 pada kadar 13 peratus.
Apabila menikmati kenaikan gaji, pasti ramai antara kita mula berangan untuk menambah baik kehidupan, namun begitu, adalah lebih baik kita mengambil langkah berhati-hati dalam mengurus kewangan terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu hari ini.
Kenaikan gaji tidak selalu diperoleh, justeru wang lebihan yang diterima perlu diuruskan dengan baik. Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah menilai semula kedudukan kewangan semasa, dan membuat bajet berdasarkan gaji yang baharu diterima.
Anda sewajarnya menimbangkan perkara berikut dalam bajet yang anda bangunkan itu:
1. Melabur untuk Bina Tabung Kecemasan
Langkah paling penting yang perlu anda lakukan ialah mula melabur jika belum pernah melabur atau tingkatkan jumlah pelaburan sedia ada jika anda sudah melabur.
Dengan kenaikan gaji yang melebihi 16 peratus, anda sewajarnya membuat pelaburan mewakili sekurang-kurangnya 5% daripada gaji semasa untuk membina tabung kecemasan atau tabung persaraan.
Lokasi pelaburan yang sesuai untuk membina tabungan jangka panjang mestilah berisiko rendah, memberi pulangan stabil dan mempunyai kecairan tinggi seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM).
2. Langsaikan Hutang
Sekiranya anda mempunyai tunggakan hutang terutamanya hutang kad kredit, pinjaman peribadi, ataupun hutang-hutang lain seperti Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) dan PTPTN, inilah masa terbaik untuk anda menyusun semula hutang dengan melangsaikan hutang berkenaan.
Hutang kad kredit dan pinjaman peribadi bukan sahaja mengenakan kadar faedah yang tinggi, malahan baki hutang tertunggak yang gagal dilunaskan, akan dikompaun setiap bulan.
Oleh itu, utamakan membayar hutang terutamanya hutang kad kredit yang sudah membukit dengan membuat bayaran penuh atau lebih 5 peratus setiap bulan.
Tahukah anda, jika anda kekal membayar hanya 5 peratus daripada jumlah hutang kad kredit setiap bulan, jumlah hutang anda mungkin sukar untuk langsai, malah mungkin bertambah tanpa disedari.
Dengan melangsaikan hutang sedia ada, anda bakal memiliki lebih banyak tunai ditangan, yang mana wang tunai ini boleh dilaburkan untuk menjana lebih pendapatan.
Elakkan : Menambah hutang tidak baik seperti untuk membeli perabot, kereta atau percutian mahal semata-mata ingin memenuhi kehendak dan menikmati hidup mewah.

3. Melabur untuk Pelbagaikan Sumber Pendapatan Pasif
Mungkin ada antara anda sudahpun selesa dengan mempunyai Tabung Kecemasan yang melebihi 6 bulan gaji semasa dan memiliki Tabung Persaraan yang sudah kukuh angkanya dan menerima pulangan stabil sepanjang tahun.
Hutang anda juga adalah terkawal yang mana pada masa ini, anda hanya membayar ansuran kereta dan rumah sahaja, justeru kenaikan gaji ini membuka peluang kepada anda untuk mempelbagaikan lagi pelaburan untuk menjana pendapatan pasif.
Namun pelaburan ini haruslah dilakukan dengan berhati-hati kerana biasanya ia berisiko sederhana dan tinggi yang mana anda mungkin kehilangan modal pelaburan.
Antara yang sesuai termasuklah pelaburan dalam emas, unit amanah atau pasaran saham dan membeli rumah untuk disewakan.
Elakkan : Melabur dalam skim pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi tetapi tidak diketahui kesahihannya. Semak di laman web Bank Negara Malaysia senarai syarikat yang sah.
4. Mengasah Kemahiran Diri
Dengan wang lebihan yang ada, anda juga boleh berusaha mengasah kemahiran sedia ada untuk menjana pendapatan tambahan. Sekiranya anda berminat menjadi penulis, anda boleh mendaftar untuk kelas penulisan profesional, jika anda berminat dengan fotografi, anda boleh menyertai kelas mengambil gambar atau anda berminat menghasilkan kandungan, anda boleh menyertai kelas pemasaran digital.
Dalam persekitaran dunia digital hari ini, kemahiran lembut (soft skills) akan membantu anda menjana pendapatan tanpa anda perlu membanting tulang sepenuhnya.
5. Tingkatkan Kualiti Hidup
Anda boleh mengetepikan sedikit wang untuk perbelanjaan kesihatan termasuk melanggan insurans jika belum ada, membeli makanan sihat dan peralatan senaman atau meluangkan masa untuk aktiviti senaman dan riadah.
Jangan lupa, kesihatan adalah kekayaan, justeru melaburkan sedikit wang untuk menambah baik kualiti hidup dan kesihatan amat penting untuk memastikan anda kekal sihat untuk jangka panjang dan tidak perlu memperuntukkan wang yang banyak untuk membiayai rawatan semata-mata.
Elakkan : Berbelanja semata-mata ingin meningkatkan gaya hidup seperti makan di restoran mewah dan membeli barangan berjenama.
Sebaiknya kenaikan gaji yang anda terima menjadikan anda seorang individu dengan kedudukan kewangan lebih baik untuk diri dan keluarga. Sekiranya anda tidak mengurus kenaikan gaji ini dengan bijak, anda mungkin tidak dapat menikmati sebarang kesan positif terhadap kewangan dan kehidupan anda untuk jangka panjang.
