Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Ulasan 2024: Peristiwa Utama Pasaran Modal Global

Ria Updates-Blue
ASNB
ASNB Academy

5 minit masa membaca

Januari

ETF Bitcoin Diluluskan: Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) meluluskan pelancaran dana dagangan bursa (ETF) Bitcoin, yang mendorong lonjakan pasaran kewangan dan meningkatkan penyertaan dalam pasaran mata wang kripto.

Februari

Langkah Rangsangan Ekonomi China: China melaksanakan dasar fiskal dan monetari untuk menstabilkan ekonominya di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan dan pasaran hartanah yang perlahan.

Mac

Bank of Japan Tamatkan Kadar Faedah Negatif: Bank of Japan menghentikan rejim kadar faedah negatif dengan menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2007, daripada -0.1% kepada 0%-0.1%. Rejim ini telah berkuat kuasa sejak 2016.

SBF Dipenjara: Samuel Bankman-Fried, pengasas bursa mata wang kripto FTX dan firma perdagangan kripto Alameda Research, dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan diperintahkan membayar $11 bilion dalam pelucuthakan atas penipuannya dalam pelbagai skim haram.

April

Ketegangan Geopolitik Memuncak: Iran melancarkan lebih 300 peluru berpandu dan dron ke Israel sebagai tindak balas terhadap serangan bom Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April, yang mengorbankan dua jeneral Iran. Serangan ini diikuti oleh serang balas peluru berpandu Israel ke Tehran.

Mei

Malaysia Cecah RM2 Trilion Nilai Modal Pasaran: Pada 7 Mei, jumlah modal pasaran bagi semua syarikat tersenarai awam di Malaysia mencecah RM2 trilion buat pertama kali dalam sejarah. Semua sektor mencatatkan keuntungan positif dari awal tahun sehingga penghujung Mei, dipimpin oleh sektor Utiliti, Pembinaan, dan Hartanah.

Jun

Nvidia Mengatasi Microsoft: Nvidia, yang nilainya meningkat lebih sembilan kali ganda sejak akhir 2022, mengatasi Microsoft untuk menjadi syarikat awam paling bernilai di dunia. Nilai pasaran Nvidia melepasi $3 trilion pada awal Jun, menyertai Microsoft dan Apple dalam kelab tersebut. Apple, pada Disember 2024, mengambil Kembali takhta apabila syarikat itu mencapai paras tertinggi sepanjang masa dengan nilai $254.49 sesaham, meletakkan nilai pasarannya pada $3.85 trilion.

Ogos

Penjualan Besar-besaran Pasaran Global: Pasaran mengalami penurunan ketara, menghapuskan $6.4 trilion daripada penilaian global akibat ketidakpastian dasar kewangan dan geopolitik seperti peperangan, inflasi, pengangguran, dan kebimbangan kemelesetan ekonomi.

Kenaikan Kadar Faedah Bank of Japan: Bank of Japan menaikkan kadar faedah buat kali kedua tahun ini, menamatkan perdagangan "yen carry trade" (arbitraj faedah) dan menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran global.

September

Pemotongan Kadar Federal Reserve #1: Federal Reserve mengurangkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada julat 4.75%-5%, melonggarkan dasar monetari buat kali pertama dalam empat tahun.

Saham China Melonjak: Saham China mencatatkan kenaikan harian terbesar dalam 16 tahun pada akhir September selepas Beijing melancarkan pelbagai langkah rangsangan ekonomi.

November

Pemilihan Semula Trump: Kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS memberi kesan kepada pasaran global, dengan saham dan dolar AS mengukuh, manakala asset yang sensitive terhadap tarif mengalami kejatuhan.

Pemotongan Kadar Federal Reserve #2: Federal Reserve mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada julat 4.5%-4.75%.

Aliran Keluar Modal China: China mencatatkan aliran keluar modal tertinggi sebanyak $45.7 bilion, yang dipengaruhi oleh kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap cabaran ekonomi.

Disember

Bitcoin Melepasi $100,000: Bitcoin mencecah $100,000 buat kali pertama dalam sejarah pada awal Disember, dipacu oleh keputusan pilihan raya presiden AS yang menjana kenaikan harga pasaran mata wang kripto.

Pemotongan Kadar Federal Reserve #3: Federal Reserve mengakhiri mesyuarat dasar terakhirnya untuk 2024 dengan mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi, menurunkan julat kadar faedah kepada 4.25%-4.5%. Bagaimanapun, ringkasan unjuran ekonomi (SEP atau summary of economic projections) memberikan kejutan besar kerana FOMC kini meramalkan hanya dua pemotongan kadar faedah (25 mata asas setiap satu) pada 2025, berbanding lima dalam SEP sebelumnya dari September.

Refleksi Tahun 2024 dan Prospek untuk 2025 dan Seterusnya

Tahun 2024 menggambarkan hubungan pasaran modal global oleh pengaruh dasar ekonomi, peristiwa geopolitik, serta inovasi teknologi. Langkah bank pusat seperti pemotongan kadar faedah di AS dan kenaikan kadar di Jepun, cabaran ekonomi berterusan di China, serta pencapaian bersejarah Malaysia dalam pasaran modal menunjukkan daya tahan pasaran di tengah-tengah ketidakstabilan. Sektor utama seperti teknologi, dipacu oleh inovasi kecerdasan buatan (AI), dan tenaga, yang dipengaruhi oleh perubahan harga minyak, terus menjadi tumpuan pelabur. Kemenangan semula Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS turut menambah ketidakpastian terhadap dasar perdagangan dan hubungan antarabangsa.

Tahun 2025 dan seterusnya akan menyaksikan beberapa tema yang dijangka menjadi perhatian utama: tindak balas global terhadap inflasi, perkembangan pakatan geopolitik, kemajuan dalam tenaga bersih dan teknologi AI, serta kesan perubahan demografi dan iklim terhadap pasaran. Pelabur perlu memantau perubahan dasar.