Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Private Mandate, Apa yang Perlu Anda Tahu

apa-itu-private-mandate
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

enarkah Private Mandate membolehkan anda ‘goyang kaki’ menunggu keuntungan daripada pelabur sementara wang anda diuruskan oleh pengurus dana profesional?

Apa itu Private Mandate (Pelaburan Mandat)?

Private mandate ialah perkhidmatan yang diberikan oleh pengurus dana berlesen dan berpengalaman untuk menguruskan modal pelabur terutamanya dalam pelaburan saham.

Sebelum ini, perkhidmatan hanya tertumpu kepada golongan berduit, namun kini perkhidmatan ini diperluas dan telah dibuka untuk diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pada masa kini, ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini dengan modal pelaburan individu serendah RM50,000.

Perkhidmatan ini dapat membantu pelabur yang mempunyai duit tetapi terlalu sibuk atau tidak mempunyai masa untuk menguruskan pelaburan mereka sendiri terutamanya jika mereka berminat melabur dalam pasaran saham.

Perkhidmatan ini juga sesuai untuk mereka yang ingin melabur dalam pasaran saham, tetapi mempunyai toleransi risiko yang agak rendah yang menyebabkan mereka tidak berani membuat keputusan pantas. Oleh itu, mereka memerlukan pengurus dana untuk membuat keputusan berkenaan untuk mereka.

Berbanding unit amanah yang menguruskan wang yang dikumpul daripada pelabur, pengurus dana bagi private mandate mengurus wang individu, yang mana mereka akan membangunkan strategi pelaburan dan menguruskan pelaburan berkenaan secara aktif untuk menjana keuntungan maksimum.

Biasanya pengurus dana akan membangunkan strategi pelaburan yang tailor made untuk seseorang individu berdasarkan toleransi risiko mereka dan matlamat pelaburan yang diinginkan.

Apakah Perbezaan Sekiranya Saya Ingin Melabur Terus ke Pasaran Saham Berbanding Melantik Pengurus Dana Ini dan Bagaimana Pula Dari Segi Bayaran dan Caj yang Perlu Dibayar?

Jika anda ingin melabur dalam dalam pasaran saham, anda pelu membuka akaun CDS dan memuat turun aplikasi berkaitan urus niaga pasaran saham untuk membantu anda berurusniaga.

Oleh kerana anda melabur sendiri, semua aktiviti seperti memantau harga, membuat analisis, memilih saham, membeli dan menjual perlu dilakukan sendiri.

Untuk memastikan anda tidak kerugian dan berpeluang meraih keuntungan, anda perlulah memperuntukkan banyak masa untuk melakukan pemantauan berterusan kerana banyak maklumat diperlukan dan perlu diproses untuk membolehkan anda membuat keputusan pelaburan yang betul.

Katakan harga saham anda meningkat, jadi anda perlu membuat keputusan pantas untuk menjual, atau mungkin juga anda ingin memegangnya lebih lama kerana yakin saham berkenaan berpotensi meraih lebih banyak keuntungan.

Bagaimana pula kalau rugi, adakah anda ingin terus bertahan atau jual sahaja untuk mengelak kerugian lebih besar. Semua ini memerlukan keberanian untuk membuat keputusan pantas dan jika anda tidak termasuk dalam kategori ini, Private Mandate mungkin sesuai untuk anada.

Namun begitu, antara kelebihan melabur sendiri ini ialah anda bebas membuat keputusan dan keuntungan menjadi milik anda 100%. Lagipun jika anda hanya suka-suka melabur dengan jumlah kecil contohnya RM100 ke RM1,000, rasanya mungkin tiada masalah jika rugi.

Namun jika ada ada lebihan duit yang banyak tetapi anda tiada masa dan tiada pula keberanian mengambil risiko, mungkin melanggan Private Mandate adalah langkah yang baik untuk anda, yang mana anda mengupah pihak ketiga, iaitu pengurus dana yang mempunyai kepakaran dan pasukan untuk melakukannya bagi pihak anda. 

Namun begitu, apabila kita sudah melantik orang lain untuk menguruskan pelaburan dengan matlamat meraih keuntungan, pastinya ada jugalah yuran yang perlu dibayar kepada mereka.

Secara umumnya, yuran yang dikenakan ialah seperti berikut :

i. Fi pengurusan (Management fee) 3%-5% – Dikenakan setiap kali memasuk dana pelaburan

ii. Fi tahunan (Annual Fee) 1%-2% – Dikenakan setahun sekali.

iii. Fi prestasi pelaburan (Performance fee) 10%-20% – Dikenakan setahun sekali dengan terma dan syarat tertentu.

Namun setiap syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini mempunyai peringkat yuran mereka sendiri. Jadi jika anda berminat, kenalah rajin membuat sedikit kajiselidik untuk memilih penyedia Private Mandate yang terbaik.

Namun begitu, walaupun sudah melantik pengurus dana menerusi Private Mandate ini, anda perlulah sedar bahawa bahawa realitinya, tidak mudah untuk meraih keuntungan dalam pelaburan sepertimana yang sering dicanangkan dalam iklan.

Oleh itu, janganlah pula meletakkan semua wang tunai yang anda miliki dalam Private Mandate ini dan sentiasalah ingat keperluan untuk memiliki tabung kecemasan.

Semua pelaburan ada risiko untung dan rugi, namun keuntungan pelaburan yang anda terima daripada Private Mandate ini bukanlah milik anda 100% manakala modal yang dilaburkan adalah modal bersih selepas ditolak semua caj yang dinyatakan sebelum ini. Ini bermakna, jika anda meletakkan RM50,000, mungkin RM46,000 sahaja yang dilaburkan manakala selebihnya untuk membayar yuran.

Apabila untung, pelabur dan pengurus dana akan sama-sama menerima keuntungan, namun apabila rugi, hanya pelabur yang rugi kerana kehilangan modal. Ini kerana pengurus dana sudahpun menerima upah mereka menerusi yuran yang dibayar telebih dahulu.

Apakah Persamaan dan Perbezaan antara Private Mandate dan Tabung Unit Amanah?

Antara persamaan paling utama tabung unit amanah dan Private Mandate ialah kedua-duanya mempunyai pengurus dana yang menguruskan pelaburan pelabur untuk mencari peluang menjana pendapatan dan keuntungan.

Unit Amanah

Unit Amanah – modal awal yang perlu disediakan pelabur ialah serendah RM10 dan pelabur biasanya terdiri daripada ramai orang yang mempunyai latar belakang yang berbeza.

Jumlah pelaburan adalah tidak terhad – ada yang melabur RM100, RM200 malah ada juga yang melabur puluhan ribu malah hingga jutaan ringgit dalam satu-satu unit amanah.

Pengurus dana akan membangunkan strategi yang sesuai dengan matlamat unit amanah berkenaan yang mana matlamat setiap tabung telahpun dikongsikan dalam prospektus – jadi apabila anda ingin melabur unit amanah, anda sepatutnya membaca prospektus tabung unit amanah ini dan daripadanya anda bolehlah mendapatkan maklumat seperti dividen yang boleh diharapkan, kategori unit amanah, dimana dan bagaimana wang pelabur dilaburkan dan sebagainya.

Ada tabung unit amanah melabur sebahagian besar dananya dalam pasaran ekuiti dan ini meletakkannya dalam kategori risiko tinggi. Ada yang hanya melabur 30 peratus dalam pasaran ekuiti dan selebihnya dalam pasaran tunai dan ini meletakkannya dalam kategori risiko rendah.

Jadi pelabur mempunyai pilihan untuk melabur dalam mana-mana tabung unit amanah yang sesuai dengan toleransi risiko masing-masing.

Maksimum caj jualan yang dikenakan untuk pelaburan dalam tabung unit amanah biasanya ialah 5%, namun ada tabung yang tidak mengenakan sebarang caj seperti ASB.

Kebanyakan individu yang melabur dalam unit amanah ini mempunyai profil risiko yang rendah atau sederhana kerana dari segi risiko dan volatiliti – risiko unit trust adalah lebih rendah berbanding private mandate. Ini kerana sebenarnya pelabur berkongsi menanggung risiko yang perlu dipikul dan mengurangkan pendedahan risiko yang perlu ditanggung.

Tetapi jangan lupa, ada unit amanah yang berisiko rendah seperti ASB dan ASM yang sepatutnya menjadi pilihan semua orang.

Keuntungan daripada pelaburan yang dijana tabung unit amanah perlu dikongsi bersama antara pelabur.

Private Mandate

Private mandate pula ada beberapa jenis, ada yang menawarkan pelaburan dalam pasaran saham sahaja, ada unit amanah sahaja, ada juga untuk pelaburan luar negara

Jika pelabur memilih supaya wang mereka dilaburkan dalam pasaran saham sahaja, maka ia termasuk dalam pelaburan berisiko tinggi, lebih-lebih lagi kerana pengurus dana biasanya mengambil langkah proaktif membeli dan menjual saham berkenaan untuk mencari peluang meraih keuntungan.

Walaupun melabur menerusi Private Mandate, pelabur masih menjadi pemilik saham berkenaan, cuma ia diuruskan oleh seorang pengurus dana, jadi kemungkinan untuk rugi tetap ada.

Secara keseluruhannya, yuran Private mandate mengambil kira-kira 15% daripada modal pelaburan pelabur.

Keuntungan daripada pelaburan, adalah milik pelabur selepas ditolak yuran yang dikenakan pengurus dana.

Kesimpulan

Private Mandate memberi peluang kepada pelabur yang mempunyai wang lebihan yang banyak untuk melabur dalam pasaran saham dengan cara yang lebih strategik untuk peluang meraih lebih keuntungan.

Namun pelabur perlu tahu bahawa, tiada satu bentuk pelaburan pun boleh menjanjikan keuntungan semata-mata malah prestasi Private Mandate berkait rapat dengan destinasi pelaburan yang dipilih pelabur. Sebagai contoh, jika pelabur memilih pasaran saham, mereka perlu sedar bahawa prestasi pelaburan mereka berkait rapat dengan pasaran saham.

Meraih keuntungan tidak semudah yang dijanjikan, jadi berhati-hati sebelum membuat keputusan pelaburan.

Untuk melindungi melindungi pelaburan anda, pastikan juga anda meminta nombor pendaftaran syarikat yang didaftarkan dengan SSM, lesen Marketing Representative atau Financial Planning untuk mengesahkan ketulenan syarikat dan individu yang menawarkan kemudahan ini.