Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Prestasi Portfolio Ria - Mei 2026

May Featured Images_Featured Image - BM
ASNB
ASNB Academy

13 minit masa membaca

Portfolio Ria terus mencatatkan prestasi positif pada Mei, disokong oleh prestasi kukuh pasaran saham global. Portfolio yang mempunyai peruntukan lebih tinggi dalam saham mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding portfolio yang lebih konservatif, berikutan kenaikan pasaran saham global yang mengatasi pulangan aset pendapatan tetap yang lebih sederhana.

Dalam dana-dana asas, ASN Equity Global kekal sebagai penyumbang prestasi terbaik dengan merekodkan pulangan sebanyak 10.4% bagi bulan ini, selaras dengan pengukuhan berterusan pasaran saham global sepanjang Mei. Sementara itu, ASN Equity Malaysia mencatatkan pulangan positif sebanyak 2.5%, disokong oleh sentimen pasaran domestik yang bertambah baik. ASN Sukuk pula merekodkan pulangan stabil sebanyak 0.2%, sekali gus terus menyediakan pendapatan yang konsisten serta kestabilan kepada portfolio.

Sejajar dengan prestasi dana-dana asas tersebut, Portfolio Sangat Agresif mencatatkan pulangan bulanan tertinggi sebanyak 6.2%, diikuti oleh Portfolio Agresif dengan 5.3% dan Portfolio Agresif Sederhana sebanyak 4.1%. Portfolio Sederhana, Portfolio Konservatif Sederhana, dan Portfolio Sangat Konservatif pula masing-masing mencatatkan pulangan sebanyak 2.9%, 1.9%, dan 0.4%, selaras dengan peruntukan yang lebih tinggi dalam sukuk dan tunai.

Dari segi prestasi tahun ke tarikh (year-to-date), kesemua portfolio kekal mencatatkan pulangan positif. Portfolio Sangat Agresif mendahului dengan pulangan sebanyak 14.6%, diikuti oleh Portfolio Agresif yang mencatatkan 12.2%. Sejak pelancaran Ria, semua portfolio terus merekodkan pulangan terkumpul yang positif, dengan Portfolio Sangat Agresif mencatatkan pulangan sebanyak 29.9%, sekali gus menunjukkan manfaat pelaburan jangka panjang merentasi pelbagai keadaan pasaran.

Ulasan Pasaran – Mei 2026

PASARAN SAHAM

Pasaran Saham Global

Mei 2026 menyaksikan pasaran saham global meneruskan momentum positif apabila keyakinan pelabur kekal kukuh. Pasaran saham Amerika Syarikat terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, dengan S&P 500 (SPX) meningkat sebanyak 5.06% dalam terma MYR. Pada masa yang sama, pasaran saham global turut mengukuh apabila MSCI World Index (MXWD) mencatatkan kenaikan sebanyak 5.01% dalam terma MYR, disokong oleh prestasi pendapatan korporat yang memberangsangkan, ketegangan perdagangan yang semakin reda serta jangkaan bahawa bank-bank pusat utama akan terus mengekalkan pendirian dasar monetari yang menyokong pertumbuhan ekonomi. Prestasi pasaran di Eropah pula adalah bercampur-campur.

Indeks DAX Jerman meningkat sebanyak 2.67%, manakala CAC 40 Perancis mencatatkan kenaikan 1.70% dalam terma MYR, disokong oleh keyakinan pelabur yang semakin baik. Sebaliknya, FTSE 100 (UKX) di United Kingdom susut sedikit sebanyak 0.30% berikutan prestasi yang lebih lemah dalam beberapa sektor utama yang menjejaskan prestasi keseluruhan pasaran.

Pasaran ekuiti Asia mencatatkan prestasi yang bercampur-campur pada Mei 2026 apabila sentimen pelabur berbeza mengikut keadaan ekonomi dan pemacu pasaran di setiap negara. Nikkei (NKY) Jepun mencatatkan prestasi yang kukuh dengan meningkat 9.83% dalam terma MYR, disokong oleh prestasi pendapatan korporat yang memberangsangkan serta kekuatan berterusan syarikat berorientasikan eksport.

Pasaran di Asia Utara turut merekodkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang bulan. Indeks KOSPI Korea Selatan melonjak 25.97%, manakala Indeks TWSE Taiwan meningkat 15.81%, didorong oleh sentimen positif terhadap sektor teknologi serta permintaan yang terus kukuh bagi syarikat berkaitan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI). Sebaliknya, pasaran Greater China terus berdepan tekanan.

Indeks Hang Seng (HSI) Hong Kong susut 1.97%, manakala Indeks Hang Seng China Enterprises (HSCEI) merosot 2.80%, mencerminkan sentimen pelabur yang masih berhati-hati terhadap pasaran ekuiti China. Sementara itu, FBMKLCI Malaysia turut menurun 2.18%, dipengaruhi oleh kelemahan beberapa saham berwajaran tinggi walaupun asas ekonomi domestik kekal kukuh.

PASARAN BON MALAYSIA

Pasaran bon global kekal berhati-hati pada Mei 2026 apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan Kadar Dana Persekutuan (Federal Funds Rate) pada 3.50%–3.75%, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa kadar faedah akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama. Sehubungan itu, hasil Bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) 10 tahun kekal tinggi dan ditutup pada paras 4.45%, apabila pelabur terus menilai jangka masa yang sesuai bagi potensi pelonggaran dasar monetari.

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 2.75%, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang stabil serta inflasi yang terkawal. Dalam persekitaran ini, pasaran bon Malaysia merekodkan aliran keluar bersih dana asing sebanyak RM4.26 bilion, berbanding aliran masuk yang dicatatkan pada April. Aliran keluar tersebut sebahagian besarnya didorong oleh jualan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), yang mencatatkan aliran keluar bersih gabungan sebanyak RM7.0 bilion. Sebaliknya, bon korporat dan sukuk terus menarik minat pelabur dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM2.4 bilion sepanjang bulan.

Hasil MGS 10 tahun ditutup pada paras 3.573%, menjadikan jurang hasil antara MGS dan UST 10 tahun sebanyak 87 mata asas (basis points). Walaupun bon kerajaan mencatatkan aliran keluar dana asing, aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran bon korporat dan sukuk menunjukkan bahawa pelabur kekal lebih selektif dengan memberi keutamaan kepada instrumen kredit korporat yang menawarkan pulangan lebih tinggi, sambil mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap sekuriti kerajaan.

PASARAN KOMODITI

Pasaran komoditi mencatatkan prestasi yang bercampur-campur pada Mei 2026 apabila pelabur menilai semula prospek pertumbuhan ekonomi global dan permintaan terhadap tenaga. Emas susut 1.68% dalam terma MYR apabila peningkatan selera risiko pelabur mengurangkan permintaan terhadap aset selamat (safe-haven).

Minyak mentah pula merosot dengan ketara sebanyak 17.01%, meskipun pasaran tenaga global terus mengalami ketidaktentuan yang tinggi. Ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, termasuk penutupan Selat Hormuz dan sekatan tentera laut Amerika Syarikat terhadap Iran, telah mengganggu bekalan minyak global serta menyebabkan pengeluaran minyak mentah OPEC+ merosot ke paras terendah dalam tempoh beberapa dekad.

Walau bagaimanapun, pelabur terus menilai semula prospek bekalan dan permintaan minyak global, sekali gus menyumbang kepada turun naik harga minyak yang ketara sepanjang bulan. Sebaliknya, perak meningkat 2.1% dalam terma MYR, disokong oleh peranannya sebagai logam berharga dan juga logam perindustrian, sejajar dengan jangkaan bahawa aktiviti ekonomi global akan terus berkembang. Sementara itu, Bitcoin mencatatkan penurunan sebanyak 4.0%, sekali gus mengurangkan sebahagian daripada keuntungan kukuh yang direkodkan pada April apabila pelabur mengambil keuntungan (profit-taking) dan sentimen terhadap aset berisiko mula menjadi lebih sederhana.

RUMUSAN

Mei 2026 menyaksikan pasaran kewangan global meneruskan momentum positif apabila sentimen pelabur kekal kukuh meskipun ketidaktentuan berkaitan keadaan ekonomi global dan jangkaan terhadap dasar monetari masih berterusan. Prestasi memberangsangkan dalam pasaran ekuiti global, khususnya di Amerika Syarikat, bersama-sama kenaikan kukuh di pasaran Asia Utara seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, terus menyokong sentimen pasaran. Sebaliknya, pasaran ekuiti di Greater China dan Malaysia mencatatkan prestasi yang lebih lemah, mencerminkan perbezaan keadaan ekonomi domestik, sentimen pelabur serta pendedahan sektor di setiap pasaran.

Sementara itu, pasaran bon Malaysia merekodkan aliran keluar bersih dana asing sepanjang bulan, yang sebahagian besarnya didorong oleh jualan asing dalam bon kerajaan berikutan persekitaran kadar faedah global yang kekal berhati-hati. Walau bagaimanapun, aliran masuk yang berterusan ke dalam bon korporat dan sukuk mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap pasaran kredit korporat Malaysia, manakala hasil bon domestik kekal stabil.

Pasaran komoditi turut mencatatkan prestasi yang bercampur. Emas dan minyak mentah merekodkan penurunan sepanjang bulan, manakala perak mencatatkan kenaikan sederhana. Pasaran minyak mentah kekal tidak menentu berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah serta ketidaktentuan terhadap prospek bekalan dan permintaan minyak global. Sementara itu, Bitcoin mengurangkan sebahagian daripada keuntungan yang direkodkan pada bulan sebelumnya apabila pelabur mengambil keuntungan selepas kenaikan kukuh pada April.

Secara keseluruhannya, perkembangan pasaran pada Mei sekali lagi menekankan kepentingan mengekalkan portfolio pelaburan yang dipelbagaikan merentasi pelbagai kelas aset dan rantau. Memandangkan pasaran kewangan terus dipengaruhi oleh perubahan keadaan ekonomi, jangkaan terhadap dasar monetari serta perkembangan geopolitik, pendekatan pelaburan yang berdisiplin dan berorientasikan jangka panjang kekal penting dalam membantu pelabur mengharungi ketidaktentuan pasaran.

Peringatan RIA – Kekal Fokus pada Matlamat Pelaburan Jangka Panjang

Mei 2026 menyaksikan pasaran kewangan global meneruskan momentum positif yang bermula pada April. Walaupun pasaran saham global terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, prestasi merentas rantau dan kelas aset kekal bercampur-campur apabila pelabur terus menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan ekonomi, jangkaan terhadap dasar monetari serta perkembangan geopolitik. Perbezaan prestasi antara pasaran ini sekali lagi mengingatkan kita tentang kepentingan memiliki portfolio yang dipelbagaikan bagi menghadapi perubahan persekitaran pelaburan.

Portfolio Ria terus mendapat manfaat daripada kepelbagaian pelaburan merentasi pelbagai kelas aset dan rantau. Portfolio yang mempunyai peruntukan lebih tinggi dalam ekuiti global berjaya memanfaatkan kenaikan pasaran dengan lebih baik, manakala portfolio yang lebih konservatif menawarkan kestabilan melalui pendedahan kepada sukuk dan tunai. Pendekatan yang seimbang ini membantu pelabur kekal melabur sepanjang pelbagai kitaran pasaran sambil terus memberi tumpuan kepada matlamat kewangan jangka panjang.

Salah satu cara mudah untuk mengekalkan disiplin pelaburan adalah melalui Auto Labur. Setelah diaktifkan, pelaburan akan dibuat secara automatik pada selang masa yang ditetapkan, tanpa mengira sama ada pasaran sedang meningkat, menurun atau bergerak mendatar. Pendekatan ini membantu anda melabur secara konsisten dari semasa ke semasa tanpa perlu bimbang tentang turun naik pasaran dalam jangka pendek atau cuba menentukan masa terbaik untuk melabur (market timing).

Luangkan sedikit masa untuk log masuk ke Ria dan semak prestasi portfolio anda bagi bulan Mei. Ini juga merupakan masa yang sesuai untuk menyemak semula jumlah Auto Labur anda bagi memastikan ia terus selaras dengan matlamat kewangan dan tahap toleransi risiko anda. Melabur secara konsisten untuk jangka panjang kekal sebagai salah satu langkah penting dalam membantu anda mencapai matlamat kewangan pada masa hadapan.