Prestasi Portfolio Ria – April 2026

Bagi April 2026, sentimen pasaran bertambah baik susulan volatiliti yang berlaku pada bulan sebelumnya, sekali gus mendorong pemulihan kukuh dalam pasaran ekuiti. ASN Equity Global dan ASN Equity Malaysia masing-masing meningkat sebanyak 12.8% dan 7.8%, manakala ASN Sukuk kekal relatif stabil dengan mencatatkan pulangan positif sebanyak 0.5%.
Sehubungan itu, kesemua profil risiko portfolio mencatatkan pulangan positif sepanjang bulan tersebut, disokong oleh pemulihan pasaran ekuiti. Portfolio dengan pendedahan ekuiti yang lebih tinggi mencatatkan prestasi lebih baik, dengan portfolio Sangat Agresif dan Agresif masing-masing merekodkan pulangan sebanyak 9.4% dan 7.9%, berbanding pulangan yang lebih sederhana sebanyak 0.8% bagi portfolio Sangat Konsevatif.
Pemulihan kukuh pada April turut mengembalikan prestasi sejak awal tahun bagi semua portfolio ke paras positif. Portfolio Sangat Agresif merekodkan pulangan tertinggi sebanyak 7.9%, manakala portfolio Sangat Konsevatif mencatatkan pulangan yang lebih rendah namun lebih stabil sebanyak 0.2%.
Sejak dilancarkan, portfolio dengan pendedahan saham yang lebih tinggi terus mencatatkan pulangan terkumpul yang lebih kukuh, dengan portfolio Sangat Agresif dan Agresif masing-masing merekodkan pulangan sebanyak 22.3% dan 21.7%, berbanding 8.2% bagi portfolio Sangat Konsevatif.
Secara keseluruhannya, prestasi portfolio bagi April 2026 mencerminkan sentimen pasaran yang semakin pulih dengan portfolio berorientasikan pertumbuhan mendapat manfaat lebih ketara daripada pemulihan pasaran saham, manakala portfolio konservatif terus mengekalkan pulangan yang lebih stabil dan defensif.
Carta 1: Portfolio Ria Sejak Dimulakan (11 Mac 2024 – 30 April 2026)
Ulasan Pasaran – April 2026
PASARAN EKUITI
April 2026 menyaksikan pemulihan ketara dalam pasaran saham global apabila sentimen pelabur kembali pulih selepas volatiliti tinggi yang berlaku pada bulan sebelumnya. Pasaran saham Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan sepanjang bulan tersebut, dengan S&P 500 (SPX) naik sebanyak 8.36% dalam nilai MYR, didorong oleh sentimen pasaran yang semakin bertambah baik serta kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik yang semakin reda. Pasaran saham global turut menunjukkan prestasi yang lebih kukuh apabila MSCI World Index (MXWD) meningkat sebanyak 8.09% dalam nilai MYR. Pasaran Eropah juga mencatatkan prestasi positif pada April. FTSE 100 (UKX) United Kingdom meningkat sebanyak 3.06%, manakala CAC 40 Perancis dan DAX Jerman masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 4.07% dan 6.73%, selari dengan peningkatan keyakinan pelabur dalam suasana pasaran yang semakin stabil serta kebimbangan geopolitik yang semakin mereda.
Carta 2: Prestasi Pasaran Ekuiti Global untuk April 2026 (%)
Pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur pada April 2026 apabila sentimen pelabur beransur pulih selepas volatiliti tinggi yang dialami pada bulan sebelumnya. Nikkei (NKY) Jepun kembali mencatatkan kenaikan kukuh sebanyak 15.59% dalam nilai MYR, didorong oleh peningkatan selera risiko pelabur serta pemulihan dalam sektor eksport dan teknologi. Hang Seng Index (HSI) Hong Kong turut merekodkan pulangan positif sebanyak 2.14%, mencerminkan sentimen yang semakin baik terhadap pasaran saham China. Di Asia Tenggara, prestasi pasaran turut menunjukkan pergerakan yang bercampur. FBMKLCI Malaysia meningkat sebanyak 1.93%, disokong oleh sentimen pelabur domestik yang semakin bertambah baik serta prestasi kukuh dalam beberapa sektor defensif terpilih. SET Index Thailand pula naik sebanyak 2.48% sejajar dengan keadaan pasaran serantau yang semakin stabil. Sebaliknya, STI Singapura kekal relatif mendatar sepanjang bulan tersebut, mencatatkan kenaikan sederhana sebanyak 0.73%, mencerminkan prestasi yang lebih sederhana dalam sektor-sektor defensif. JCI Indonesia pula merekodkan prestasi yang lebih lemah berbanding pasaran serantau lain apabila susut sebanyak 4.76%, berikutan sentimen pelabur yang masih berhati-hati serta tekanan berterusan terhadap mata wang negara tersebut.
Carta 3: Prestasi Pasaran Asia untuk April 2026 (%)
PASARAN BON MALAYSIA
Pelabur asing terus membeli bon Malaysia pada bulan April, namun pada kadar yang lebih perlahan berbanding Mac. Jumlah aliran masuk bersih asing ke pasaran bon mencatatkan RM3.8 bilion, terutamanya disokong oleh minat yang lebih kukuh terhadap bon korporat. Aliran masuk asing ke dalam bon korporat mencecah RM3.7 bilion pada bulan tersebut, sekali gus mencatatkan aliran masuk bulanan tertinggi sejak tahun 1999 dan meneruskan momentum kukuh yang dilihat pada bulan Mac. Sementara itu, pelaburan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) kekal secara relatif tidak berubah dengan hanya aliran masuk bersih yang kecil direkodkan sepanjang bulan tersebut. Ini menunjukkan bahawa pelabur asing lebih memberi tumpuan kepada bon korporat Malaysia sejak dua bulan kebelakangan ini.
Di Amerika Syarikat, Rizab Persekutuan AS (Federal Reserve) mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada mesyuarat April 2026 berikutan inflasi yang masih tinggi serta pasaran buruh yang kekal kukuh. Ini merupakan mesyuarat ketiga berturut-turut tanpa sebarang perubahan kadar faedah sejak penurunan kadar terakhir pada Disember 2025. Jangkaan pasaran juga terus menunjukkan bahawa kadar faedah dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, dengan pelabur menjangkakan Federal Reserve akan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat Jun dan Julai akan datang.
Susulan itu, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat kepada 4.40% pada akhir April berbanding 4.30% pada akhir Mac. Sebaliknya, hasil MGS 10 tahun Malaysia menurun sedikit kepada 3.61% daripada 3.66%, disokong oleh kecairan domestik yang stabil dan permintaan berterusan daripada pelabur institusi tempatan. Akibatnya, jurang hasil antara bon Perbendaharaan AS dan bon kerajaan Malaysia terus melebar sepanjang bulan tersebut dan berlanjutan ke bulan Mei, mencapai paras tertinggi sejak Julai 2025. Keadaan ini boleh mengurangkan daya tarikan bon kerajaan Malaysia kepada pelabur asing, dengan pegangan asing dalam bon kerajaan tempatan mula menunjukkan sedikit penurunan pada bulan Mei.
Carta 4: Aliran Masuk/Keluar Bersih Pelabur Asing dalam Pasaran Bon Malaysia bagi April 2026
PASARAN KOMODITI
Pasaran komoditi mencatatkan prestasi yang bercampur pada April 2026 apabila keadaan pasaran mula kembali stabil susulan volatiliti tinggi yang berlaku pada bulan sebelumnya. Logam berharga terus mengalami penyusutan kecil, dengan emas dan perak masing-masing turun sebanyak 2.95% dan 3.81% dalam nilai MYR, berikutan permintaan terhadap aset selamat yang semakin berkurangan apabila sentimen pasaran bertambah baik. Dalam sektor tenaga, harga minyak mentah kekal stabil dengan peningkatan sederhana sebanyak 7.54%, disokong oleh kebimbangan berterusan berkaitan bekalan global serta ketidaktentuan geopolitik. Pada masa yang sama, aset digital meneruskan momentum pemulihan apabila Bitcoin melonjak sebanyak 10.57%, didorong oleh peningkatan selera risiko pelabur dan minat yang kembali terhadap aset berisiko tinggi, walaupun volatiliti dalam kelas aset tersebut masih berada pada tahap tinggi.
Carta 5: Prestasi Komoditi April 2026 (%)
RUMUSAN
April 2026 menunjukkan peningkatan dalam sentimen pasaran keseluruhan selepas volatiliti tinggi yang dialami pada bulan sebelumnya. Pemulihan selera risiko telah menyokong kenaikan dalam kebanyakan pasaran ekuiti global utama, terutamanya di Amerika Syarikat dan sebahagian pasaran Asia, walaupun kekuatan pemulihan berbeza mengikut rantau apabila pelabur terus menilai perkembangan geopolitik dan keadaan ekonomi global. Dalam kalangan pasaran Asia, prestasi pasaran turut berbeza antara negara, mencerminkan keadaan pasaran domestik, sentimen pelabur dan pendedahan sektor yang berbeza.
Sementara itu, pasaran bon Malaysia terus mencatatkan penyertaan positif daripada pelabur asing sepanjang bulan tersebut, terutamanya disokong oleh permintaan yang lebih kukuh terhadap bon korporat walaupun persekitaran kadar faedah global kekal berhati-hati. Hasil bon domestik juga kekal relatif stabil, disokong oleh permintaan berterusan daripada pelabur institusi tempatan serta keadaan kecairan domestik yang stabil.
Pasaran komoditi pula menunjukkan prestasi yang bercampur-campur sepanjang bulan tersebut, dengan harga minyak terus meningkat secara sederhana manakala logam berharga mencatatkan penyusutan apabila permintaan terhadap aset selamat mula berkurangan. Aset digital juga meneruskan pemulihan, dengan Bitcoin merekodkan kenaikan yang kukuh susulan peningkatan selera risiko, walaupun volatiliti dalam kelas aset tersebut masih kekal tinggi. Secara keseluruhannya, keadaan pasaran pada bulan April terus menekankan kepentingan pendekatan pelaburan yang pelbagai merentasi kelas aset dan rantau bagi menghadapi perubahan keadaan pasaran global serta perbezaan prestasi pasaran.
Peringatan RIA – Kekal Melabur Dalam Keadaan Pasaran Yang Semakin Pulih
April 2026 menyaksikan sentimen pasaran secara keseluruhan kembali bertambah baik selepas volatiliti tinggi yang berlaku pada bulan sebelumnya. Pasaran saham global kembali pulih, disokong oleh peningkatan keyakinan pelabur serta selera risiko yang semakin kukuh, walaupun prestasi merentasi rantau dan kelas aset masih menunjukkan pergerakan yang bercampur. Pemulihan dalam pasaran utama global dan Asia turut memperlihatkan bagaimana keadaan pasaran boleh berubah dengan pantas, sekali gus mengukuhkan kepentingan untuk terus kekal melabur melalui pendekatan pelaburan yang pelbagai.
Portfolio Ria terus meraih manfaat daripada pendekatan pelaburan yang pelbagai merentasi kelas aset dan rantau yang berbeza. Apabila pasaran saham kembali pulih sepanjang bulan tersebut, portfolio dengan pendedahan saham yang lebih tinggi mencatatkan prestasi pemulihan yang lebih ketara, manakala portfolio konservatif terus memberikan pulangan yang lebih stabil melalui strategi peruntukan aset yang seimbang. Pendekatan pelaburan yang terpelbagai ini membantu portfolio kekal kukuh dalam menghadapi pelbagai keadaan pasaran sambil memastikan pelabur terus memberi tumpuan kepada matlamat kewangan jangka panjang.
Salah satu cara mudah untuk memastikan pelaburan kekal konsisten adalah melalui Auto Labur. Setelah diaktifkan, pelaburan akan diteruskan secara automatik tanpa mengira keadaan pasaran, sama ada ketika pasaran mengalami volatiliti mahupun ketika pasaran sedang pulih. Pendekatan ini membantu pelabur membina disiplin pelaburan secara berterusan tanpa perlu terlalu memikirkan pergerakan pasaran jangka pendek atau menentukan masa terbaik untuk melabur.
Luangkan sedikit masa untuk log masuk ke Ria bagi menyemak prestasi portfolio anda sepanjang April. Ini juga merupakan peluang yang baik untuk menilai semula jumlah Auto Labur anda agar kekal selaras dengan matlamat kewangan serta tahap toleransi risiko anda. Amalan melabur secara konsisten dalam jangka panjang terus menjadi antara langkah penting dalam membina pertumbuhan kekayaan yang mampan.
