Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Prestasi Portfolio Ria - Okt 2025

Ria october 2025 portfolio updates BM
ASNB
ASNB Academy

12 minit masa membaca

Pelaburan kami mencatatkan prestasi yang pelbagai dalam bulan Oktober, di mana pasaran global menunjukkan peningkatan manakala ekuiti domestik dengan persekitaran pasaran yang mencabar. ASN Equity Global memberi prestasi terbaik dengan pulangan sebanyak 2.98%, manakala ASN Equity Malaysia hanya naik sebanyak 0.18%. ASN Sukuk pula menyumbang pulangan sebanyak 0.11%, mengekalkan peranannya sebagai penjana pendapatan yang konsisten dan stabil dalam keadaan pasaran yang pelbagai.

Prestasi yang berbeza antara ekuiti global dan domestik memberikan dinamik yang menarik merentasi strategi-strategi portfolio kami, membuktikan nilai pendekatan diversifikasi kami seperti yang digambarkan dalam bulan Oktober. Kesemua strategi portfolio mencatatkan pulangan yang positif untuk bulan tersebut, antara 0.14% bagi Sangat Konservatif sehingga 1.61% bagi Sangat Agresif. Jurang yang besar antara semua strategi mencerminkan prestasi yang lebih kukuh oleh portfolio yang mempunyai peruntukan ekuiti yang lebih banyak, dengan portfolio yang lebih agresif mendapat manfaat daripada kenaikan ekuiti global yang ketara pada bulan Oktober.

Prestasi tahun semasa menunjukkan prestasi kukuh merentasi semua strategi, dengan portfolio lebih agresif kini mendahului. Strategi Agresif Sederhana dan Agresif mencatatkan pulangan 4.91% dan 4.99%, manakala Sangat Agresif naik 5.23%. Portfolio lebih konservatif mengekalkan peningkatan konsisten dengan Sangat Konservatif pada 4.32%, Sederhana Konservatif pada 4.76%, dan Sederhana pada 4.89%, menunjukkan manfaat peruntukan seimbang sepanjang tahun.

Sejak pelancaran Ria, pendekatan diversifikasi kami terus memberikan pertambahan nilai merentasi semua profil risiko. Portfolio Agresif mengetuai pulangan terkumpul pada 14.69%, diikuti oleh Sangat Agresif pada 13.97% dan Sederhana Agresif pada 13.54%. Strategi Sederhana telah mencatatkan 11.65%, manakala strategi lebih defensif kami menunjukkan prestasi kukuh dengan Sederhana Konservatif mencapai 9.80% dan Sangat Konservatif pada 7.69%. Prestasi kesemua portfolio ini menunjukkan keberkesanan pendekatan seimbang kami merentasi pelbagai kitaran pasaran, mengukuhkan falsafah kami bahawa kepelbagaian yang berdisiplin dan pengekalan pelaburan melalui kitaran pasaran memberi ganjaran kepada pelabur yang sabar.

Ulasan Pasaran – Oktober 2025

Oktober 2025 menyaksikan prestasi yang pelbagai bagi pasaran global. Pasaran saham Amerika Syarikat kekal stabil, dengan Indeks S&P 500 meningkat sebanyak 1.87% pada bulan Oktober dan mencatatkan pertumbuhan keseluruhan sebanyak 10.02% bagi tahun semasa. Indeks MSCI World turut merekodkan prestasi positif, naik 1.79% bagi bulan tersebut dan 13.82% setakat tahun ini, disokong oleh keputusan kewangan syarikat yang kukuh serta permintaan tinggi dalam sektor teknologi. Di Eropah, prestasi berbeza mengikut negara: Indeks DAX Jerman merosot sebanyak 2.11% bulan ini namun masih meningkat 25.20% bagi tahun 2025 selepas permulaan yang kukuh. Indeks UKX United Kingdom meningkat 1.10% pada Oktober dan kini naik 20.30% bagi tahun ini, manakala Indeks CAC Perancis menambah 0.50% untuk jumlah kenaikan 18.45% bagi tahun semasa.

Di Asia, pergerakan ketara dicatatkan terutamanya di Jepun. Indeks Nikkei melonjak 11.32% pada Oktober, peningkatan bulanan yang besar yang membawa kenaikan kumulatif setakat tahun ini kepada 28.02%. Prestasi kukuh ini disokong oleh reformasi ekonomi serta penyusutan nilai Yen yang menjadikan eksport Jepun lebih kompetitif. Sebaliknya, Indeks HSI Hong Kong susut 3.80%, namun masih mengekalkan pulangan positif sebanyak 24.82% setakat tahun ini berikutan kebimbangan pelabur terhadap keberkesanan langkah rangsangan ekonomi dan dasar di China. Indeks FBMKLCI Malaysia kekal hampir tidak berubah, meningkat hanya 0.05% pada Oktober bagi pulangan tahunan sederhana sebanyak 1.93%, mencerminkan sikap berhati-hati di kalangan pelabur tempatan.

Beralih kepada komoditi, emas terus menjadi pilihan utama sebagai aset perlindungan, meningkat sebanyak 3.25% bagi bulan ini dan 42.80% setakat tahun ini. Kenaikan ini didorong oleh kebimbangan berterusan terhadap kestabilan mata wang dan ketidaktentuan geopolitik, khususnya selepas tarif baharu efektif antara Amerika Syarikat dan China. Harga minyak pula menurun 1.91%, dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.80%, dipengaruhi oleh peningkatan bekalan minyak sedunia serta permintaan yang tidak sekata. Harga Bitcoin juga merosot 4.38% pada Oktober, namun masih meningkat 8.72% bagi tahun ini, menunjukkan bahawa dalam keadaan mencabar, pelabur masih cenderung memilih aset selamat yang tradisional seperti emas.

Kenaikan pasaran saham Jepun terus menyerlah, mencerminkan perubahan pandangan pelabur terhadap nilai dan kestabilan di rantau Asia. Dasar baharu serta amalan korporat yang lebih kukuh memberikan kelebihan kepada Jepun berbanding negara jiran. Melihat ke hadapan, beberapa isu utama dijangka mempengaruhi pasaran pada November. Gencatan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China telah memberikan sedikit kelegaan, namun ketidaktentuan masih wujud memandangkan perjanjian tersebut bersifat sementara dan tertakluk kepada semakan tahunan. Rizab Persekutuan AS meneruskan langkah penurunan kadar faedah secara berperingkat, dengan julat sasaran semasa di sekitar 3.75–4.00%, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Pasaran menjangkakan penurunan lanjut sehingga 2027, dengan kadar dijangka mencecah paras sekitar 3.0% sebelum stabil, selaras dengan usaha untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan tekanan inflasi. Jika data pekerjaan kekal lemah, satu lagi penurunan kadar dijangka akan diumumkan pada Disember.

Dalam masa yang sama, syarikat teknologi gergasi dan firma kecerdasan buatan (AI) terus memacu sentimen positif. Dengan OpenAI merancang tawaran awam utama (IPO) serta permintaan terhadap cip AI yang semakin meningkat, generasi baharu pusat data AI kini dibangunkan dengan keupayaan untuk mengendalikan sehingga 100,000 unit GPU, peningkatan yang besar berbanding standard sebelumnya antara 10,000 hingga 20,000 unit. Perkembangan pesat ini mendorong gelombang inovasi aplikasi AI baharu yang sedang mengubah pelbagai industri dan cara perniagaan beroperasi. Bagi mereka yang meyakini potensi pertumbuhan AI masih di peringkat awal, strategi pelaburan berterusan khususnya melalui dana berorientasikan global seperti ASN Equity Global kami boleh menjadi pendekatan yang bijak. Kekal melabur dalam era transformasi ini mungkin membolehkan pelabur menikmati pertumbuhan berasaskan kemajuan teknologi pada masa hadapan.

Secara keseluruhan, seperti bulan-bulan sebelumnya, strategi pelaburan berfokus dan diversifikasi terus memberikan hasil yang positif. Pelabur yang mengekalkan pegangan dalam saham Jepun serta aset lindung nilai seperti emas merupakan antara penerima manfaat utama. Sejarah menunjukkan bahawa disiplin dan kesabaran jangka panjang kekal sebagai pendekatan paling selamat dalam membina kekayaan, walaupun dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu. Mereka yang terus konsisten dan berdisiplin sepanjang tahun dijangka menikmati hasil pelaburan yang baik menjelang akhir 2025.

Nasihat Ria – Biarkan Pelaburan Anda Terus Bekerja, Walaupun Pasaran Tidak Menentu

Bulan Oktober sekali lagi membuktikan bahawa ketidaktentuan pasaran adalah sebahagian daripada perjalanan pelaburan, tetapi kesabaran dalam pelaburan akan membuahkan hasil. Walaupun banyak tajuk berita dalam bulan ini dengan fokus kepada rundingan perdagangan, turun naik mata wang dan drama pasaran, pelabur yang kekal melabur akan terus menikmati manfaatnya. Pasaran global menunjukkan prestasi bercampur; Jepun mendahului dengan kenaikan yang memberangsangkan, emas menjadi aset paling unggul, manakala beberapa sektor lain mengambil masa untuk kembali pulih. Namun, mereka yang menumpukan pada matlamat jangka panjang tetap akan memperoleh ganjaran akhirnya.

Bulan ini menunjukkan bagaimana strategi kepelbagaian boleh memberi kelebihan kepada pelabur. Ada indeks yang menurun, ada juga yang melonjak. Emas mengatasi prestasi saham dan mata wang kripto, membuktikan nilainya sebagai aset pelindung sewaktu pasaran tidak menentu. Peluang selalunya muncul ketika orang lain tidak menjangkakannya; ketika ada yang hanya memerhati dari tepi, duit anda terus ‘bekerja’ dan meraih pertumbuhan dengan senyap.

Anda tidak perlu mengikuti setiap perubahan tajuk berita atau menukar strategi setiap kali pasaran bergerak. Biarkan pelaburan anda bekerja untuk anda, dan jadikan masa sebagai rakan terbaik anda. Masa depan kewangan yang kukuh bukan dibina atas reaksi spontan, tetapi atas komitmen berterusan walaupun suasana bising dan penuh drama.

Log masuk ke Ria dan lihat sendiri bagaimana strategi kekal melabur dan elak panik dapat membina kebebasan kewangan yang sebenar, sedikit demi sedikit setiap bulan.