Rahsia Membina Tabungan Kukuh

Kuasa Faedah Kompaun, Konsep Pelaburan Paling Hebat
Pernahkah anda dengar mengenai konsep kuasa faedah kompaun?
Tahukah anda, saintis terkenal Albert Einstein pernah menyatakan bahawa kuasa faedah kompaun merupakan keajaiban dunia yang ke-8?
Selepas berkenalan dengan konsep kuasa faedah kompaun ini dan mengetahui apa yang boleh dilakukannya terhadap wang anda, pastinya anda tidak akan teragak-agak lagi untuk melabur, dan berasa berat setiap kali ingin berbelanja.
Mana tidaknya apabila anda memahami apa itu konsep kuasa faedah kompaun dan kesannya terhadap wang yang anda laburkan, anda akan dapat lihat bagaimana wang yang dilaburkan boleh menjadi mesin menjana pendapatan yang sangat berkuasa, manakala anda pula, apabila tiba masanya hanya perlu meraih nikmatnya tanpa perlu bekerja keras. Yang penting anda melabur.
Kita lihat dulu apakah maksud kuasa faedah kompaun. Menurut Investopedia, kuasa faedah kompaun atau power of compounding interest ialah keupayaan dividen atau pulangan tahunan (yang diterima pelabur) untuk menjana pendapatan apabila ia tidak dikeluarkan dari tahun ke tahun atau konsep interest on interest.
Macam keliru saja apabila membacanya, tetapi sebenarnya konsep kuasa faedah kompaun ini mudah sahaja. Untuk menikmati keajaibannya, ada 2 perkara yang perlu dipatuhi, iaitu modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan kecuali ada keperluan mendesak atau sehingga matlamat yang diiginkan menjadi realiti.
Sebagai contoh, katakan Ahmad melabur RM5,000.00 dan menerima pulangan purata 6 peratus setahun. Selepas 20 tahun, sekiranya Ahmad tidak mengeluarkan pelaburan dan dividen yang diterima, modal pelaburan Ahmad boleh berkembang kepada kira-kira RM13 ribu yang mana RM8,563 daripada jumlah itu merupakan dividen terkumpul daripada pelaburan berkenaan.
Jumlah berkenaan akan menjadi lebih besar jika Ahmad turut melabur setiap bulan secara konsisten.
Katakan Ahmad melabur RM100.00 setiap bulan sepanjang tempoh berkenaan, jumlah pelaburan Ahmad berkeupayaan untuk berkembang kepada kira-kira RM54 ribu, yang mana kira-kira RM25 ribu merupakan dividen terkumpul daripada pelaburan berkenaan.
Kesimpulannya ialah apabila modal pelaburan dan dividen tahunan tidak dikeluarkan untuk satu tempoh yang panjang, kuasa faedah kompaun akan menukar kedua-duanya kepada sebuah mesin yang mampu menjana pendapatan secara berterusan.
Sekiranya pelabur menambah pula pelaburan secara konsisten setiap bulan, kuasa faedah kompaun akan menjadi sebuah mesin menjana kekayaan yang lebih berkuasa untuk membantu anda membina kewangan kukuh.
Tip Bina Tabungan Kukuh
Tip 1
Melabur secara konsisten, berdisiplin dan tidak mengeluarkan dividen yang diterima sehinggalah ia cukup untuk merealisasikan matlamat yang ditetapkan atau apabila benar-benar memerlukan .
Tip 2
Melabur untuk jangka panjang kerana dalam tempoh yang pendek, kuasa faedah kompaun tidak memberi kesan yang besar kepada wang yang dilaburkan.
Berdasarkan konsep Rule of 72, anda boleh membuat anggaran tempoh yang anda perlukan untuk wang berganda berdasarkan dividen tahunan yang diterima.
Contohnya, anda menerima pulangan purata tahunan 7% daripada pelaburan, wang pelaburan anda akan berganda selepas 10 tahun (72/7 =10).
Tip 3
Jangan bertangguh untuk mula melabur, lebih cepat lebih baik kerana lebih besarlah jumlah wang yang boleh anda kumpulkan. Ini kerana tempoh masa yang panjang memberi lebih ruang kepada wang anda untuk berkembang.
Tip 4
Asingkan akaun pelaburan dan simpanan. Contohnya melabur dalam ASB untuk pelaburan jangka panjang manakala wang dalam akaun simpanan Maybank, CIMB adalah untuk kegunaan harian dan bulanan. Jangan biarkan wang terlalu banyak dalam akaun simpanan kerana ia memberi pulangan yang sangat kecil.
Tip 5
Amalkan konsep labur dahulu baru belanja, jika anda menunggu ada lebih baru nak melabur, memang sampai bila-bilapun anda tidak akan melabur, apatah lagi mempunyai ribuan ringgit dalam ASB.
Tip 6
Paling penting kalau nak mempunyai tabungan puluhan ribu ringgit, anda kenalah memilih tempat pelaburan yang berisiko rendah yang mana anda tidak berdepan risiko kehilangan modal, tetapi masih mampu memberi pulangan yang kompetitif berbanding pesaing seperti ASB.
Memulakan pelaburan kini lebih mudah di myASNB. Untuk maklumat lanjut layari https://www.myasnb.com.my/.