Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Bagaimana Bersedia Untuk Perkara Luar Dugaan?

Insurans
ASNB
ASNB Academy

5 minit masa membaca

Apa itu perlindungan risiko dan apa pula peranannya dalam perancangan kewangan?

Tanpa perlindungan risiko yang betul, kita mungkin terpaksa menggunakan wang pelaburan yang kita simpan khusus untuk persaraan dan pelbagai impian lain, untuk membiayai perkara luar dugaan.

Perlindungan risiko yang betul akan membantu kita untuk kembali kepada kedudukan asal sebelum berlakunya perkara luar dugaan, bukan untuk menjadikan kita kaya berbanding sebelumnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perlindungan risiko, jom kita baca penjelasan berikut:

Soalan 1

Tidak seperti pelaburan, perlindungan risiko bukanlah satu terma yang biasa digunakan dalam kalangan masyarakat, tetapi kalau kita sebut Insurans atau Takaful, mungkin anda pernah mendengar mengenainya. Maklumlah bagi yang ada kereta, tiap-tiap tahun kena perbaharui insurans untuk memperbaharui cukai jalan.

Apakah sebenarnya fungsi perlindungan risiko ini?

Jawapan

Fungsi utama perlindungan ialah untuk melindungi kedudukan kewangan seseorang daripada menanggung kerugian yang besar jika berlaku perkara luar dugaan.

Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan pemegang polisi atau ahli keluarga apabila berlakunya kematian, kemalangan, sakit, kehilangan upaya dan kemusnahan harta benda.

Untuk mengaktifkan perlindungan risiko, kita perlu mengambil produk Insurans atau Takaful.

Insurans bersifat konvensional manakala Takaful pula merupakan perlindungan risiko patuh syariah.

Insurans dan Takaful terbahagi kepada 2 iaitu jenis iaitu hayat dan am.

Insurans/Takaful hayat melindungi pemegang polisi dan penama sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada pemegang polisi.

Antara produk Insurans/Takaful hayat ialah perlindungan untuk keluarga, pendidikan, perubatan dan kesihatan.

Insurans/Takaful am pula melindungi pemegang polisi daripada sebarang kerugian atau kerosakan. Antara produk Insurans/Takaful am yang ditawarkan termasuklah perlindungan untuk kenderaan, hartanah, rumah, barangan berharga dan sebagainya yang tidak dilindungi insurans hayat.

Sebagai contoh, insurans rumah akan melindungi pemegang polisi daripada kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, atau kerosakan rumah akibat banjir.

Kebiasaannya mengambil Insurans/Takaful adalah satu pilihan namun ada juga yang dimestikan seperti MRTA  yang perlu diambil sekiranya anda membuat pinjaman membeli rumah dan insurans kereta.

Insurans/Takaful seperti kad perubatan pula adalah pilihan - ia menawarkan perlindungan komprehensif  termasuklah rawatan perubatan tanpa tunai; kos perubatan untuk 36 penyakit kronik dan pampasan sekiranya pemegang polisi hilang upaya atau bayaran kepada waris sekiranya pemegang polisi meninggal dunia.

Apabila membeli insurans atau takaful, pelan perlindungan berkenaan akan melindungi diri anda sebagai pemegang polisi, tanggungan dan juga aset anda.

Sebenarnya insurans dan takaful adalah sama dan menawarkan perlindungan yang sama, jadi untuk memudahkan perkongsian ilmu kita dalam artikel ini, saya akan menggunakan terma Takaful untuk merujuk kepada perlindungan risiko.

 Soalan 2

Bagaimana caraya untuk memilih produk perlindungan risiko yang sesuai dengan keperluan individu dan pada masa yang sama tidak membebankan?

 Jawapan

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah menganalisa keperluan diri dan keluarga dan memahami jenis takaful yang boleh diambil untuk melindungi keperluan berkenaan.

Untuk melindungi aset seperti rumah dan kereta, kita hanya memerlukan satu polisi sahaja kerana kita hanya boleh membuat satu tuntutan sahaja walau kita membeli pelbagai jenis takaful untuk aset yang sama.

Justeru tidak perlulah membeli dua polisi Takaful untuk kereta atau rumah kerana ia hanya merugikan wang anda.

Untuk Insurans hayat pula, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi, namun perlindungan yang diambil tidak perlu berlebihan kerana lebih besar perlindungan yang diinginkan, lebih besarlah bayaran premium setiap bulan.

Selain Takaful hayat biasa, sekarang ada juga produk takaful berbentuk investment linked yang mana komponen pelaburan dan perlindungan digabungkan dalam satu polisi.

Jangan malu atau segan untuk bertanya semua perkara yang anda rasakan penting kepada ejen Takaful supaya anda memahami sepenuhnya apakah yang dilindungi dan pampasan yang boleh dituntut jika berlakunya perkara yang dinyatakan dalam polisi.

Tidak dinafikan ada banyak terma dan syarat yang tersembunyi yang kadangkala memerangkap pemegang polisi, jadi berurusanlah dengan ejen yang telus dan sedia memberi penjelasan yang anda inginkan.

Apa paling penting ialah memastikan anda mengambil polisi berdasarkan kemampuan kerana premium insurans merupakan satu komitmen bulanan jangka panjang. Perlindungan yang diberikan polisi boleh luput begitu sahaja jika anda gagal membuat bayaran premium untuk satu tempoh tertentu.

Jika ada kemampuan, jangan menangguh untuk mula mengambil Takaful/Insurans kerana lebih awal anda memulakannya, lebih kecil premium bulanan yang perlu dibayar.

 Soalan 3

Apakah ciri-ciri perlindungan risiko yang perlu kita tahu sebelum membuat keputusan?

Jawapan  Wang premium mesti dibayar setiap bulan, kalau terlupa atau kesempitan dan tidak dapat membayar premium untuk satu-satu tempoh tertentu, insurans berkenaan akan terbatal.  Kita mungkin tidak menerima apa-apa pun daripada semua premium yang pernah kita bayar sebelum ini.

Tuntutan insurans hanya untuk pemegang polisi. Jika kita memerlukan wang segera untuk anak, pasangan atau mungkin juga ibu bapa, kita tidak dapat membuat tuntutan, jadi kenalah cari sumber kewangan lain kecuali jika kita membeli insurans untuk mereka juga.

Pulangan daripada pelaburan bagi pelan berkaitan pelaburan adalah tidak dijamin kerana bergantung kepada unit amanah yang dipilih pemegang polisi atau syarikat insurans.