Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Pelaburan dalam Perubahan Geopolitik Dunia

Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor - PNB Econs dept BM.
Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor
Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor

5 minit masa membaca

Pasaran-pasaran saham antarabangsa secara umumnya mendapat pelbagai manfaat di bawah kuasa unipolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal dasawarsa 1990-an. Di bawah tantanan global seumpama ini, perang antara negara berkurangan dan berskala kecil/sederhana, ditunjangi oleh kuasa dominan AS, sekaligus membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi seantero dunia berjalan dengan baik dan terus berkembang dari semasa ke semasa – situasi di mana dunia mengecapi “dividen keamanan”.

Berbanding menakhluki dunia melalui kuasa geopolitik seperti penjajah Eropah pada kurun ke-19 dan sebelumnya, kawalan AS di dalam dunia global secara umumnya dilakukan dengan strategi geoekonomi di mana syarikat-syarikat multinasional (MNCs) menjadi antara aktor-aktor utama dalam mengekploitasi mahsul di negara-negara membangun dengan kelebihan modal yang besar, teknologi terkehadapan dan kepakaran teknikal dengan sempadan yang poros – turut dikenali sebagai proses globalisasi.

Walaupun begitu, hal ini membawa kesan hubungan sebab-akibat positif dan negatif di antara negara teras (maju) dan negara satelit (membangun). Pemindahan aktiviti pembuatan dan pengilangan dari AS/Eropah ke China, umpamanya, banyak menguntungkan MNCs dan pasaran-pasaran saham AS dan Barat, menambahkan kekayaan negara-negara itu dan membolehkan rakyatnya memenuhi keperluan kehidupan dengan harga yang relatifnya lebih murah.

Namun begitu, ia turut mengakibatkan kehilangan kerja dan persaingan kerja yang semakin kompetitif dalam kalangan pekerja di Barat (turut dikenali sebagai “kemusnahan kreatif” (creative destruction)) dan ketidakseimbangan pendapatan di antara penduduk Barat dan Timur. Akibatnya, sentimen nasionalisme membuak di Barat, khasnya sejak pertengahan 2010-an, ditandai dengan kebangkitan populisme di Barat, kemunculan Donald J. Trump di AS dan Brexit di United Kingdom (UK).

Meskipun populisme sering dikritik sebagai ideologi yang nipis dan sempit, kemahiran ampuh oratornya seperti Trump di AS membangkitkan demagog yang menangkap emosi dan ketakutan dalam kalangan massa yang berang dari masalah pengangguran dan inflasi, membolehkan Trump dipilih semua sebagai Presiden AS ke-47 pada penghujung 2024. Dalam menunaikan janjinya dalam mengembalikan zaman keagungan Amerika (Make America Great Again) beberapa langkah penting sedang dilakukan untuk menterbalikkan globalisasi dalam mengindustrikan semula ekonomi AS.

Jalan pendek dan dramatik telah diambil oleh pentadbiran Trump sejak lewat Januari 2025, bermula dengan pengenalan tarif antarabangsa terhadap import ke AS dan pelbagai sekatan perdagangan, serentak dengan kawalan imigrasi yang lebih ketat selain pemotongan bajet untuk inisiatif kemanusiaan, keselamatan dan alam sekitar di peringkat global secara besar-besaran. Ini selarasnya dengan retoriknya untuk memberi fokus kepada kepentingan domestik dan AS khasnya dalam membuka pasaran kerja baharu untuk rakyatnya dan meningkatkan aktiviti pengindustrian di negara itu, di samping menyekat ekonomi serta pengaruh China (pesaing utama AS) di peringkat global.

Akibatnya, Perang Dagang AS-China 2018-2020, kini merebak ke seluruh dunia, khasnya dengan rakan-rakan dagang penting AS, meskipun kurang tegang (setakat ini), kerana kebanyakan rakan-rakan dagang itu secara umumnya mengambil langkah-langkah akomodatif terhadap politisasi ekonomi AS termasuk Jepun, Korea Selatan dan negara-negara ASEAN.

Hal ini memerlukan kebijakan, ketekunan dan kecaknaan baharu di dalam dunia pelaburan yang berubah-ubah, tidak jelas, rumit dan kabur, atau VUCA (Volatile, Uncertain, Complex and Ambigous) kini. Ia menuntut kita bekerja dan berfikir di luar kelaziman - dalam lebih terhadapn dengan kepelbagaian senario, strategi dan persediaan, ibarat ‘menyediakan payung sebelum hujan’, untuk mendepani sebarang kemungkinan, termasuk peristiwa yang tidak dijangka (black swan), atau peristiwa yang dianggap bakal berlaku (grey rhino). Inilah antara asas usaha organisasi kami, dalam menghadapi dan mendepani perubahan geopolitik dunia kini, agar senantiasa berada di kedudukan terbaik di dalam keluk perubahan ekonomi dan kitaran perniagaan.

Di peringkat negara pula, kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim cukup pragmatik, berani dan terkehadapan. Dalam mengimbangi kuasa Barat dan mengambil peluang kepada perubahan geopolitik dunia, dasar luar Malaysia yang secara neutralnya pasif, kini semakin aktif – khasnya dengan penyertaan Malaysia sebagai rakan rasmi BRICS+. Kepengerusian ASEAN juga digunapakai dalam meningkatkan status Malaysia dan ASEAN sebagai wilayah penghubung kuasa-kuasa besar, di mana titik temu dan persetujuan boleh dicapai, baik di dalam politik mahupun ekonomi serantau dan global. Kehadiran pemimpin kuasa-kuasa besar dunia ke Persidangan ASEAN pada Oktober 2025, dan perjanjian gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja pada Ogos 2025, menjadi antara bukti ketokohan Anwar.  Kestabilan politik juga, berjaya dikembalikan Anwar, program reformasi dilakukan secara beransur-ansur, termasuklah dasar fiskal negara yang semakin mengukuh kini.