Pelaburan: Walau Kecil, Besar Impaknya

Apabila anda melabur, perkara paling penting yang perlu anda lakukan ialah melakukannya secara konsisten dan berterusan untuk satu tempoh yang panjang.
Selain itu, elakkan daripada sering mengeluarkan modal pelaburan dan dividen tahunan yang diterima sekiranya tiada keperluan mendesak.
Dengan menjadikan kedua-dua perkara berkenaan satu amalan dalam pelaburan anda, anda akan dapati modal pelaburan anda berkembang dengan pantas, walaupun ia hanyalah sebanyak RM50 sebulan.
Menerusi perbualan dengan seorang penasihat kewangan bertauliah, beliau berkata, amalan melabur secara konsisten dan melaburkan semula dividen yang diterima merupakan asas kepada konsep pengkompaunan.
Apa itu kuasa faedah kompaun? Kuasa faedah kompaun membolehkan anda memperoleh pulangan daripada modal pelaburan dan juga daripada dividen tahunan yang anda terima, jadi anda memperoleh pulangan atas pulangan.
Suntikan dua kali pulangan ini membolehkan pelaburan anda berkembang dengan lebih pantas. Jumlah tabungan anda juga akan menjadi lebih besar jika anda mempunyai tempoh pelaburan yang panjang.
Sebagai contoh, katakan anda melabur RM150 sebulan selama 20 tahun dalam sebuah institusi pelaburan yang memberi pulangan purata 5 peratus setahun. Anda akan mempunyai tabungan berjumlah kira-kira RM78,000 di akhir tempoh pelaburan anda.
Jika anda melabur sebanyak RM50 sebulan pula, anda akan memperoleh kira-kira RM26,000 diakhir tempoh pelaburan anda.
Pelaburan Seawal Usia
Bayangkan jika anda membuat komitmen sedemikian untuk anak-anak anda sejak mereka berusia 6 bulan? Sudah pasti apabila mereka memulakan pendidikan di universiti kelak, setiap mereka akan mempunyai tabungan yang cukup untuk pengajian masing-masing.
Menarik bukan jika anda lihat bagaimana pelaburan serendah RM50 sebulan boleh membantu anda membina tabungan berjumlah RM26,000. Paling menarik ia mungkin berlaku tanpa anda sedari memandangkan RM50 adalah jumlah yang kecil dan mungkin tidak mengganggu pun perbelanjaan bulanan anda.
Selepas membaca mengenai kuasa faedah kompaun dan kesannya kepada pelaburan anda, anda sudah tertarik untuk melabur secara konsisten, namun sayangnya anda tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank setiap bulan.
Jangan biarkan masalah seperti kekangan masa atau kesibukan menyebabkan anda tidak dapat menikmati manfaat pelaburan yang dijana oleh kuasa pengkompaunan ini sedangkan teknologi hari ini menjadikan banyak perkara berada dihujung jari anda.
Kemudahan seperti potongan gaji bulanan menerusi majikan, pelaburan secara dalam talian (online) atau arahan tetap dengan bank boleh membantu anda membuat pelaburan secara konsisten setiap bulan.
Pelaburan Konsisten Setiap Bulan
Sebagai contoh, anda boleh membuat potongan gaji serendah RM10 sebulan jika anda melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Jangan memandang remeh pelaburan serendah RM10 kerana tanpa anda sedari, dengan kuasa pengkompaunan ia mampu berkembang kepada kira-kira RM5,000 selepas 20 tahun jika dilaburkan dalam pelaburan yang memberi pulangan purata 5 peratus setahun.
Oleh kerana kemudahan potongan gaji ini adalah percuma, anda akan menikmati sepenuhnya pulangan yang diperoleh daripada pelaburan anda.
Justeru gunakanlah kemudahan dan teknologi yang ada supaya anda boleh membuat pelaburan yang konsisten. Dengan cara ini, anda tidak akan terlupa untuk membuat pelaburan.
Tanamkan dalam diri anda bahawa pelaburan adalah seperti satu perbelanjaan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada diri anda. Mana tidaknya, tabungan yang anda bina itu kelak akan membantu anda ketika kecemasan atau apabila anda bersara kelak.