Hidup Selesa, Bagaimana Caranya?
-1.png)
Apakah yang dimaksudkan dengan hidup berdasarkan kemampuan?
Secara mudahnya, hidup berdasarkan kemampuan bermakna anda ketika ini sedang menikmati hidup yang selesa kerana mempunyai wang yang cukup untuk membiayai semua perbelanjaan serta ada wang lebihan untuk dilaburkan.
Hidup selesa tidak semestinya kaya raya, sebaliknya cukup jika anda berasa tenang dan tidak terbeban dengan hutang yang keterlaluan.
Bagaimana untuk tahu sama ada ketika ini anda hidup berdasarkan kemampuan?
Antara kaedah mudah yang boleh digunakan ialah dengan membuat analisa kedudukan kewangan semasa yang mana semua perbelanjaan dan komitmen bulanan dicatat dan dibandingkan dengan pendapatan.
Jika pada akhir bulan, anda mempunyai lebihan, ini bermakna anda hidup di bawah kemampuan.

Namun, jika pada setiap hujung bulan, jika anda perlu mengikat perut dan mula meminjam daripada orang lain atau bergantung kepada kad kredit untuk meneruskan kehidupan, ini bermakna anda hidup diluar kemampuan.

Tip Hidup Berdasarkan Kemampuan
1. Pantau Perbelanjaan Setiap Bulan
Catitkan setiap pembelian dalam jurnal bajet supaya anda tahu kemana setiap sen wang anda dibelanjakan. Apabila anda mula membuat catatan, anda mungkin akan terkejut melihat bagaimana perbelanjaan kecil yang dikumpulkan seperti perbelanjaan untuk snek, gula-gula, manisan,makanan segera, dan aiskrim sebenarnya adalah punca anda hidup diluar kemampuan.
Memantau perbelanjaan dengan rapat akan memudahkan anda untuk sentiasa tahu kedudukan kewangan semasa dan boleh segera menyemak dan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu untuk kekal hidup berdasarkan kemampuan.
Gunakan Excel untuk catitan mudah dan pengiraan lebih tepat.
2. Buat Bajet
Buat bajet setiap awal tahun berdasarkan pendapatan dan anggaran komitmen sedia ada dan perbelanjaan bulanan untuk sara hidup.
Pastikan bajet ini dipatuhi kerana ia akan membantu anda untuk kekal berada di landasan kewangan yang betul dan sihat.
Ada banyak aplikasi bajet yang boleh dimuat turun untuk membantu anda.
3. Labur Dahulu Baru Belanja
Dalam bajet, pastikan anda mengenepikan antara 5 hingga 10 peratus daripada gaji bersih untuk pelaburan setiap bulan.
Untuk memastikan anda dapat melakukannya secara konsisten, pilihlah kaedah pelaburan secara automatik seperti Auto Labur yang ditawarkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) atau kemudahan potongan gaji. Dengan cara ini, anda dapat mendisiplinkan diri untuk menjalani kehidupan berdasarkan kemampuan kerana wang tunai di tangan sudah berkurang.
Amalkan kaedah labur dahulu baru belanja, bukan belanja dulu, ada lebih baru melabur. Tetapkan matlamat untuk membina tabung kecemasan mewakili 6 bulan gaji semasa supaya anda mempunyai sumber kewangan sekiranya berlaku perkara luar dugaan.
Selepas itu, fokus pula untuk membina tabung impian contohnya membeli rumah dan tabung persaraan. Mungkin sukar pada awalnya, tetapi anda perlu paksa diri anda untuk melabur.
4. Kurangkan Hutang
Sekiranya pada masa ini anda mempunyai baki kad kredit yang banyak kerana anda hanya membayar minimum setiap bulan, pastikan anda segera melangsaikan hutang berkenaan dan jika boleh batalkan langganan kad kredit untuk sementara waktu untuk memastikan jumlah hutang tidak bertambah.
Membatalkan kad kredit akan membantu anda mengawal perbelanjaan kerana banyak perbelanjaan luar kemampuan sebenarnya dibayar menggunakan kad kredit.
Tahukah anda, kad kredit mengenakan caj faedah sebanyak 18 peratus setahun? Sekiranya anda hanya membayar minimum pula, kuasa faedah kompaun akan terus menambah jumlah hutang sedia ada.
Ingat, jangan membeli barangan yang kita tidak perlu dan tidak mampu hanya kerana mengikut trend semasa atau untuk bersaing dengan orang lain.
5. Bayar dengan Tunai atau Kad Debit
Tinggalkan kad kredit di rumah. Hanya beli barangan mampu milik dan bayar menggunakan tunai atau kad debit. Begitu juga jika anda membeli secara online, buat bayaran terus menggunakan FPX.
Jika anda tidak mempunyai sumber kewangan untuk membayar apa yang anda inginkan, keinginan ini perlu segera diketepikan.
Ambil masa untuk berfikir sekurang-kurangnya 3 hari sekiranya anda menginginkan barangan yang anda tidak mampu. Dengan cara ini, anda mendidik diri untuk tidak berbelanja sesuka hati.
6. Rancang Pembelian Besar
Simpan dan laburkan duit untuk pembelian besar seperti komputer riba, peti ais, percutian atau barangan berjenama akan membantu anda mengawal keinginan untuk berbelanja mengikut nafsu.

Jika anda tidak pasti sama ada anda mampu untuk mengikuti percutian yang diidamkan, cuba untuk mengetepikan wang setiap bulan, laburkan dalam ASB dan tunggu sehingga jumlah yang sepatutnya dapat dikumpul untuk anda menikmati percutian idaman.
Jangan sesekali membayar impian atau kehendak dengan berhutang kerana anda perlu membayar harga yang mungkin dua kali ganda dari harga sebenarnya.
Mengapa ini berlaku? Ini kerana hutang seperti kad kredit dan pinjaman peribadi mengenakan caj faedah yang tinggi dan jumlah hutang boleh bertambah-tambah setiap kali anda hanya melunaskan bayaran minimum atau gagal membayar ansuran bulanan.
7. Tunggu Jualan Murah
Untuk mendapatkan diskaun terutamanya untuk barangan mahal yang memang menjadi keperluan, tunggu sehingga ada jualan murah.
Dalam zaman penuh informasi ini, maklumat mengenai tawaran jualan murah boleh diperoleh di hujung jari, antaranya seperti jualan mudah yang ditawarkan oleh Lazada atau Shopee.
Malahan, kalau menjadi ahli untuk gedung besar dan jenama terkenal, anda akan menerima makluman jika ada jualan murah.
Gunakan tempoh ini untuk menggunakan wang anda simpan untuk membeli barangan yang anda perlukan. Untuk barangan tidak mudah rosak, tidak salah jika anda membeli dalam kuantiti yang banyak kerana ia tahan lama. Cuma pastikan, anda mampu membayar tanpa perlu berhutang.
8. Jangan Segan Minta Diskaun
Jangan malu untuk meminta diskaun sekiranya di kedai yang sesuai. Sebagai contoh, sekiranya anda merupakan pelanggan setia, penjual kadangkala tidak keberatan untuk memberi diskaun sekiranya anda bertanya. Kadangkala anda hanya perlu bertanya untuk mendapat sedikit penjimatan.
9. Peruntukan sebagai 'Hadiah untuk Diri Sendiri'
Jangan lupa memperuntukkan sedikit wang untuk aktiviti kegemaran dalam bajet anda. Sebagai contoh, anda boleh berbelanja sebulan sekali di restoran kegemaran berdasarkan bajet yang telah ditetapkan.
Sekiranya anda ingin melakukan aktiviti atau membeli barangan melebihi bajet ditetapkan, anda perlu mengurangkan perbelanjaan untuk aktiviti lain.
Sebagai contoh, bulan ini anda ingin makan di restoran viral yang baru dibuka, anda boleh melakukannya dengan syarat mengurangkan perbelanjaan untuk kopi setiap pagi atau makan tengah hari.
Hidup berdasarkan kemampuan bukanlah bermakna anda tidak boleh bergembira. Sedikit warna dalam kehidupan pastinya memberi keselesaan dan mengurangkan tekanan.
10. Pendapatan Tambahan
Sekiranya anda sudah memotong perbelanjaan sehingga ke tahap maksimum dan wang masih tidak cukup, mungkin sudah tiba masanya untuk anda melihat semula pendapatan yang anda terima.
Anda mungkin perlu membuat dua kerja, contohnya freelance atau part-time untuk menambah pendapatan bagi membiayai komitmen sedia ada untuk hidup lebih selesa.
Keadaan pastinya akan menjadi lebih baik pada masa depan jika kita berusaha. Apabila tiba masanya, anda mungkin tidak perlu lagi membuat dua kerja dan boleh menikmati hidup lebih berkualiti bersama keluarga.
Kami sudah kongsikan 10 panduan untuk membantu anda hidup berdasarkan atau dibawah kemampuan, justeru pastikan anda segera mengambil langkah segera untuk menambah baik kedudukan kewangan anda. Tiada masa lebih baik untuk berubah, selain daripada sekarang.
SOROTAN
1. Anda boleh hidup selesa jika hidup berdasarkan kemampuan
2. Elak hutang tidak perlu kerana ia menentukan sama ada anda boleh hidup selesa atau tidak
3. Ia bukan mengenai pendapatan yang diterima, tetapi bagaimana anda menguruskan kewangan dengan bijak