Kos Melepas: Apa Kesannya pada Kewangan Anda

Istilah kos melepas mungkin agak jarang didengari, namun sebenarnya setiap kali kita perlu membuat pilihan , setiap kali itulah kita berdepan dengan kos melepas. Apakah itu kos melepas atau opportunity cost dan apa kaitannya dengan kehidupan harian serta kedudukan kewangan kita? Jom fahami apa yang dimaksudkan dengan kos melepas dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda.
Apa Itu Kos Melepas?

Kos melepas boleh dianggap sebagai label harga yang tersembunyi pada setiap pilihan yang kita lakukan. Katakan anda mempunyai RM1,000 dan sedang memikirkan sama ada anda perlu membeli telefon bimbit baru atau melaburkan wang berkenaan dalam ASB. Jika anda memiliki membeli telefon bimbit baharu, kos melepas ialah anda melepaskan peluang untuk melabur dalam ASB dan menikmati dividen yang mungkin diperoleh daripadanya.
Oleh kerana itu, kos melepas boleh didefinisikan sebagai pilihan yang terpaksa dilepaskan kerana kita memilih pilihan yang dirasakan lebih baik pada masa itu.
Apabila membuat keputusan, kita cenderung untuk membuat perimbangan antara manfaat dan kekurangan setiap pilihan. Kos melepas menambah satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat.
Sebagai contoh, antara telefon bimbit dan melabur dalam ASB, kita memilih telefon bimbit kerana berasakan ia lebih trendy kerana memandangkan ia model terkini dengan lebih banyak ciri menarik walaupun telefon bimbit sedia ada tidak kurang hebatnya.
Namun begitu, sebaiknya membuat keputusan, kita turut mempertimbangkan kos melepaskan pelaburan dalam ASB seperti dividen tahunan dan mempunyai tabungan kecemasan. Dengan adanya pertimbangan tambahan ini, ada kemungkinan kita akan membuat keputusan lebih bermanfaat untuk kewangan kita.
Ia akan “memaksa” kita untuk memikirkan lebih daripada sekadar manfaat segera yang diperoleh daripada membuat keputusan. Hasilnya, kita akan mula mempertimbangkan apa yang kita terlepas sekiranya tidak membuat pilihan berkenaan. Memahami konsep kos melepas boleh membantu anda untuk melakukan keputusan dengan lebih bijak bukan hanya dalam hal berkaitan kewangan, tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan.
Contoh Kos Melepas
1. Nilai Masa
Masa adalah sumber yang berharga, dan kos melepas memainkan peranan penting untuk menentukan bagaimana kita sepatutnya menggunakan masa. Apabila kita memilih untuk melakukan sesuatu, kita secara automatik mengorbankan peluang untuk melakukan perkara yang lain.
Contohnya, sekiranya kita memilih untuk menghabiskan petang dengan menonton filem, ini bermakna kita melepaskan peluang untuk beriadah.
Memandangkan masa adalah terhad, adalah penting untuk membuat pertimbangan sebaiknya bagaimana untuk menggunakan masa sebaiknya untuk mencapai matlamat yang diinginkan.
2. Nilai Wang
Kos melepas sebenarnya memainkan peranan penting dalam setiap keputusan kewangan yang kita lakukan. Contohnya, setiap pembelian yang kita lakukan akan membabitkan pilihan, sama ada membeli barangan A atau B.
Apabila kita membeli sesuatu, kita sebenarnya bukan hanya membelanjakan wang, tetapi juga mengorbankan peluang untuk menggunakan wang berkenaan untuk perkara lain.
Jadi sebelum membuat sebarang keputusan kewangan, terutamanya yang membabitkan kehendak berbanding keperluan. Garisan antara kedua perkara ini sebenarnya amat nipis dan kita sering terlepas pandang kepentingan mengutamakan keperluan berbanding kehendak kerana kehendak biasanya untuk memenuhi keinginan kita yang tidak pernah habis.
Sebagai contoh, perbandingan antara membeli telefon bimbit baharu atau membina tabung kecemasan adalah perbandingan kos melepas antara kehendak dan keperluan.
Walaupun kepuasan segera daripada membeli telefon bimbit baharu akan membuat anda gembira namun dalam jangka panjang, graf kebahagiaan kita akan perlahan-lahan berkurang apabila model baharu keluar atau telefon berkenaan mula berkurang prestasinya.
Namun sekiranya kita memilih untuk melaburkan dalam ASB, kita akan dapati tahap kepuasan akan meningkat setiap kali menerima pulangan daripada pelaburan tersebut. Kita akan menjadi lebih gembira jika tabungan yang kita bina tiu, boleh membantu kita memiliki aset berharga seperti rumah atau kereta.
Dalam senario ini, kos melepas termasuk potensi pulangan dan mancapai matlamat lebih besar menerusi pelaburan . Oleh itu, ingatlah bahawa amat penting untuk menilai kesan jangka panjang dalam setiap pilihan dengan meneliti sedalamnya kos melepaskan pilihan kedua berbanding pilihan pertama.

Mengimbangi Kos Melepas dan Membuat Pilihan yang Terbaik
Memahami konsep kos melepas ini akan membantu kita untuk menjadi lebih berhati-hati apabila membuat keputusan dan pilihan.
Ini kerana ia membantu kita mengenalpasti nilai sebenar setiap keputusan dan apa pula yang perlu anda korbankan dalam membuat pilihan. Sebab itulah kita digalakkan mengambil masa 3 hari sebelum membuat sebarang keputusan pembelian, terutamanya pembelian berskala besar.
Tempoh 3 hari ini akan memberi peluang kepada kita untuk lebih berhati-hati dan tidak membuat pembelian mengikut nafsu semata-mata.
Jadi, semasa anda mengemudi pelbagai pilihan yang perlu dilakukan dalam kehidupan ini, ingatlah untuk menimbang antara kos dan manfaat, dan lakukan pilihan yang akan membawa anda lebih dekat kepada matlamat kewangan serta impian hidup anda.
Walaupun keperluan untuk memikirkan mengenai kos melepas setiap kali kita ingin membeli barang atau bercuti mungkin kelihatan seperti keterlaluan, tetapi ia sebenarnya satu langkah yang perlu dilakukan apabila kita membuat keputusan kewangan, tidak kiralah keputusan kecil ataupun yang besar.