Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Kesilapan Urus Wang Yang Kita Perlu Elak

Money-mistake
ASNB
ASNB Academy

7 minit masa membaca

Kita perlu mengurus wang setiap hari, mana tidaknya, ada-ada sahaja hutang yang perlu dilunaskan, komitmen yang perlu dijelaskan dan barangan yang perlu kita dapatkan.

Ada masa pula, kita berbelanja untuk menghilangkan bosan dan stress walaupun kita tahu kita tidak mampu berbuat demikian.

Mengurus wang ini sebenarnya ada seninya, bagi yang tidak memahami, mereka akan menganggap mengurus wang adalah satu perkara yang membebankan dan akan sering melakukan kesilapan.

Apakah antara kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai antara kita dalam mengurus kewangan.

Kami kongsikan beberapa contoh kesilapan untuk anda elak supaya anda dapat mengurus kewangan dengan lebih baik.

1. Berbelanja Melebihi Kemampuan / Pendapatan

Ini merupakan antara sebab utama mengapa ramai antara kita terpaksa hidup ‘cukup-cukup makan’ dan terperangkap dalam hutang berpanjangan.

Untuk mengelak berbelanja melebihi kemampuan, kita perlu tahu berapa jumlah pendapatan bulanan sebelum berbelanja dan membuat hutang.

Perkara paling penting untuk dipantau ialah jumlah hutang yang kita ambil. Antara punca utama kita membina hutang tanpa disedari ialah apabila berbelanja menggunakan kad kredit untuk membeli barangan yang tidak mampu kita miliki.

Jadi berhati-hati dalam berbelanja, buat bajet untuk memantau perbelanjaan dan pastikan had perbelanjaan yang ditetapkan dipatuhi. Kegagalan memantau perbelanjaan akan memberi kesan negatif yang berpanjangan kepada kedudukan kewangan.

Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa anda tidak mampu untuk berbelanja melebihi pendapatan dan biasakan diri unutk melabur dahulu sebelum berbelanja.

2. Wang Dibiarkan dalam Akaun Simpanan Bank

Kebanyakan daripada kita menerima gaji dalam Akaun Simpanan. Dapat sahaja gaji, kita pun terus bayar hutang dan komitmen lain seperti insurans, bil-bil utiliti dan membeli barangan keperluan diri dan keluarga. Apakah yang kita lakukan dengan wang selebihnya ?

Ramai daripada kita membiarkan sahaja wang berkenaan dalam Akaun Simpanan. Alasannya supaya mudah digunakan apabila perlu. Dalam tempoh yang panjang, sedar tidak sedar, jumlah wang dalam Akaun Simpanan Bank semakin banyak dan kita semakin rancak berbelanja.

Tahukah anda, ini sebenarnya amat merugikan? Wang yang dibiarkan dalam Akaun Simpanan sebenarnya sedang tidur kerana tidak memberi pulangan yang sepatutnya. Jadi adalah lebih baik wang lebihan ini dilaburkan contohnya dalam ASB atau deposit tetap. Malah anda juga cenderung untuk membelanjakannya.

Akaun Simpanan secara umumnya hanya memberi pulangan yang kecil, iaitu kurang 1 peratus dan kadang-kadang kita langsung tidak menerima apa-apa kerana wangnya sering keluar dan masuk.

Jika wang ini dilaburkan, contohnya dalam ASB, kita mungkin menerima pulangan sekitar 4-5 peratus setahun bergantung kepada prestasi tabung berkenaan.

Ini lebih baik untuk melindungi nilai wang daripada inflasi dan memberinya peluang untuk terus berkembang menerusi pulangan yang diterima. Ciri unik ASB juga membenarkan pelabur mengeluarkan wang pada bila-bila masa.

Nilai wang boleh mengecil kerana inflasi, contohnya harga secawan kopi hari ini mungkin RM2.00 sedangkan 10 tahun lalu, ia berharga RM1.00.

Jika wang dibiarkan tanpa menjana pulangan yang lebih baik berbanding inflasi, wang yang anda simpan itu tidak mampu lagi membeli kopi pada harga hari ini.

Jadi apa anda perlu lakukan ialah melaburkan sebarang lebihan pendapatan yang ada untuk melindungi nilainya dan juga sebagai cara untuk mendisiplinkan diri daripada berbelanja melebihi kemampuan. Cara lebih baik lagi ialah labur dahulu baru belanja.

3. Wang yang Dilaburkan Sering Dikeluarkan

Apabila melabur, ia sepatutnya untuk jangka panjang dan tidak dikeluarkan selagi belum mencapai matlamat ditetapkan atau kerana terpaksa.

Sebab itulah apabila melabur, terutamanya pelaburan automatik setiap bulan, kita perlu menetapkan jumlah yang mampu dan selesa.

Jika wang pelaburan sering dikeluarkan, pelaburan itu tidak akan memberi pulangan yang dijanji atau diumumkan. Deposit tetap contohnya, menetapkan pelaburan selama setahun untuk pulangan sekitar 3-4 peratus.

Jika wang dikeluarkan sebelum tempoh berkenaan, pulangan yang diterima adalah lebih rendah, malahan ada bank yang mengenakan penalti.

Begitu juga ASB, yang menetapkan bayaran dividen berdasarkan baki minimum bulanan. Ini bermakna sebarang pergerakan keluar atau masuk wang setiap bulan akan memberi kesan kepada jumlah pulangan yang anda terima.

Jadi apabila melabur, anda perlu menetapkan komitmen jangka panjang, bukannya mengeluarkannya wang pelaburan sesuka hati untuk memenuhi keperluan perbelanjaan anda.

Sebenarnya lebih baik anda melabur RM100 sebulan, berbanding RM300 sebulan tetapi mengeluarkannya semula pada penghujung bulan.

4. Menggunakan Kad Kredit Secara Berlebihan untuk Berbelanja

Kad kredit ialah kemudahan pinjaman dan ia sangat mudah untuk dimiliki, justeru ramai yang menggunakan kemudahan kad kredit secara berlebihan tanpa memahami terma dan syarat penggunaannya.

Sebahagian besar pengguna hanya membayar minimum untuk memastikan kad terus aktif dan ini menyebabkan hutang sedia ada terus bertambah setiap bulan kerana caj faedah yang dikenakan. Hutang ini terus bertambah setiap kali kad digunakan dan kita berterusan hanya membayar jumlah minimum yang ditetapkan.

Sedar tidak sedar, hutang kad kredit sudah menggunung hingga puluhan ribu ringgit dan kita tiada kemampuan untuk membayarnya.

Apabila hutang menggunung, sebahagian besar pendapatan kita terikat untuk melunasknnya. Jika kita culas, ia pasti menjejaskan rekod CRIS dan CTOS dan menyukarkan kita untuk membuat pinjaman baik contohnya membeli rumah.

Kad kredit, jika digunakan dengan betul, akan memberi penilaian positif kepada kedudukan kewangan anda, tetapi jika sebaliknya, anda mungkin perlu melangsaikan hutang berkenaan, sebelum memperoleh kelulusan untuk hutang lain.

Tip menggunakan kad kredit ialah gunakannya hanya apabila kita mempunyai tunai tersedia untuk membiayai pembelian dalam tempoh dua minggu dari tarikh pembelian untuk mengelak membayar caj faedah dan juga penalti sekiranya melebihi tempoh dibenarkan.

Ingat, hutang yang tertunggak akan terus dikenakan caj faedah apabila bayaran balik ditangguhkan. Bayangkan sahaja, beg tangan yang dibeli pada harga RM1,000 mungkin boleh menjadi RM3,000 kerana kita menangguh membayar balik pembiayaannya.

5. Membeli Kereta Melangkaui Kemampuan

Pinjaman kenderaan merupakan antara pinjaman yang menyebabkan ramai anak muda muflis. Ini kerana ramai yang membeli kereta melebihi kemampuan membayar ansuran bulanan.

Mungkin anda layak untuk membeli, tetapi anda tidak mampu untuk memilikinya kerana kewangan di atas kertas sebenarnya jauh berbeza berbanding realiti kehidupan sebenar,

Mungkin berdasarkan kiraan atas kertas, anda mampu membeli kereta berharga RM150,000, tetapi kemampuan itu tidak mengambil kira komitmen seperti insurans, minyak, servis dan sebagainya yang mungkin timbul daripada penggunaan kereta berkenaan.

Mungkin tahun pertama, kita tidak berasa bebannya, namun dari tahun ke tahun, apabila komitmen bertambah, hutang kereta pula 9 tahun lamanya, ketika itu, mulalah kita rasa bebanannya.

Cara terbaik ialah mula membeli kenderaan yang hanya mengambil kira-kira 30 peratus daripada gaji kita, itupun jika benar-benar memerlukan kenderaan berkenaan.

Jika tiada keperluan dan masih belum berkeluarga, mungkin lebih baik, gunakan pengangkutan awam atau naik motor sahaja terlebih dahulu dan mula melabur untuk membina tabungan.

6. Tidak Memahami Kuasa Faedah Kompaun

Dalam pengurusan wang, sama ada berhutang atau melabur, kita perlu memahami mengenai kuasa faedah kompaun.

Saintis terkenal Albert Einstein pernah dipetik berkata bahawa, sekiranya kita memahami bagaimana kuasa faedah kompaun berfungsi, kita akan menikmati manfaatnya, tetapi jika sebaliknya, kita akan sentiasa berada dalam kerugian.

Ini kerana dalam pelaburan, konsep kuasa faedah kompaun akan memgembangkan modal pelaburan dalam jangka panjang sekiranya modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan.

Tetapi dalam berhutang, apabila hutang asal dan caj faedah tidak dilunaskan, ia menyebabkan hutang terus bertambah dari tahun ke tahun.

Jadi fahami konsep ini untuk mengurus kewangan supaya kita semua dapat menikmati faedah daripada konsep kuasa faedah kompaun ini.

Dalam pelaburan, melaburlah secara konsisten dan kekalkan dividen dalam jangka panjang untuk membina tabungan manakala dalam mengurus hutang, bayarlah hutang dengan segera untuk mengelaknya terus bertambah.