Amanah Saham Bumiputera dan Kelebihannya


Pengenalan
Semenjak penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 22 hari bulan Mei 1979, pelbagai Dana Saham Amanah telah pun diterbitkan untuk memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia. Semenjak penubuhannya sehingga kini, PNB melalui anak syarikatnya iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) setakat 30 hari bulan September 2021 menguruskan Dana Saham Amanah yang mempunyai 273.3 billion unit dalam kitaran (unit in circulation-UIC) daripada 14.7 juta akaun pelabur.
Pada 31 hari bulan Disember 2022 yang lepas, ASNB telahpun menguruskan 17 Dana Saham Amanah bernilai RM341.6 bilion yang dimiliki oleh 15.2 juta akaun dengan 282.9 bilion unit dalam kitaran (UIC).
ASNB menguruskan dua jenis Saham Amanah iaitu jenis Saham Amanah Harga Berubah (HB) dan Saham Amanah Harga Tetap (HT).
Amanah Saham Harga Tetap:
· Amanah Saham Bumiputera (ASB)
· Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2)
· Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik)
· Amanah Saham Malaysia (ASM)
· Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan)
· Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3)
Amanah Saham Harga Berubah:
· Amanah Saham Nasional (ASN)
· ASN Equity 2
· ASN Equity 3
· ASN Equity 5
· ASN Equity Global
· ASN Imbang 1
· ASN Imbang 2
· ASN Imbang 3 Global
· ASN Sara 1
· ASN Sara 2
· ASN Sukuk
Beza Saham Amanah Harga Berubah dan Tetap
Kenapa adanya Saham Amanah Harga Berubah (SAHB) atau Saham Amanah Harga Tetap (SAHT)? Persoalan ini kerap ditanya oleh ramai orang. Sebenarnya kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri di mana dengan adanya SAHB, mereka yang berminat untuk melihat kenaikan harga saham berpeluang melabur dalam Saham Amanah yang diterbitkan oleh Syarikat Pengurus Dana yang dipercayai Masyarakat Malaysia iaitu ASNB.
SAHB juga ditawarkan oleh pelbagai Syarikat Pengurus Saham Amanah yang mendaftarkan sebanyak 40 Syarikat Pengurus Saham Amanah di Malaysia. Pada 2021 sahaja ada sebanyak 332 Dana Saham Amanah yang baru dilancarkan. Ianya memberikan peluang kepada Masyarakat Malaysia untuk memilih pelbagai Dana Amanah yang mereka minati dalam pelbagai sektor perniagaan dan industri.
Daripada 332 Dana Amanah tersebut, 87 (26.2%) memberikan tumpuan kepada pelaburan tempatan manakala 245 (73.8%) mengutamakan pelaburan di luar negara. Ini menunjukkan bahawa terdapat banyak permintaan dari kalangan pelabur untuk melabur di luar negara.
Bagi mereka yang mempunyai banyak pengetahuan atau pendedahan berkenaan industri pelaburan serta pergerakan ekonomi sesebuah negara atau benua. Bagi mereka, peluang lebih terbuka sekiranya mereka boleh melabur di dalam pelbagai Dana Amanah yang melabur di pelbagai negara.
Bagaimana pula dengan mereka yang kurang pengetahuan berkenaan perubahan ekonomi serta pelbagai faktor lagi yang mempengaruhi pasaran pelaburan dalam dan luar negara? Sudah tentulah menjadi masalah untuk memilih Dana Amanah manakah yang bersesuaian dengan keperluan serta matlamat masa depan mereka. Salah membuat pilihan boleh menyebabkan mereka mengalami kerugian dan gagal mencapai matlamat masa depan mereka seperti contohnya matlamat menghantar anak-anak untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau pelbagai matlamat lain.
Manakala SAHT pula adalah sejenis Dana Saham Amanah yang harga jualan dan belian tidak berubah. Ianya sesuai kepada sesetengah individu yang merasakan bahawa membuat kajian berkenaan sektor ekonomi tertentu ataupun kitaran ekonomi adalah satu masalah disebabkan mereka tiada kepakaran serta peralatan untuk melakukannya. Ramai dari kalangan ahli masyarakat tergolong dari golongan ini, oleh itu pelaburan dalam SAHT merupakan satu pilihan yang mudah untuk dilakukan oleh kebanyakan ahli masyarakat..
Kelebihan Amanah Saham Bumiputra
Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah Saham Amanah Harga Tetap (SAHT) yang dilancarkan pada 2 hari bulan Januari 1990 pula mempunyai ciri-ciri yang tersendiri antaranya:
· Tidak perlu melakukan penjualan serta pembelian (sekiranya berlaku kenaikan atau penurunan harga Saham Amanah)
· Boleh melakukan pelaburan secara berkala dengan nilai pelaburan yang sama setiap kali pelaburan dilakukan dengan mendapat jumlah unit yang sama
· Mudah bagi mereka yang kurang pengetahuan berkenaan ekonomi negara dan dunia untuk membuat pelaburan tanpa perlu membuang masa memilih Dana Amanah yang sesuai
· ASB diuruskan oleh ASNB iaitu anak Syarikat PNB (PNB adalah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan), sudah tentu ianya diuruskan dengan cara berhemah
· Dividen yang diagihkan oleh ASB mendapat pengecualian cukai (bermaksud pendapatan dari ASB tidak dikenakan cukai oleh kerajaan)
· Mulai 2023 had simpanan maksima yang dibenarkan untuk setiap pemilik akaun (setiap individu) telahpun dinaikkan dari RM200,000 kepada RM300,000
· Tiada caj bayaran dikenakan untuk membuka akaun ASB (biasanya caj bayaran yang tidak melebihi 5% dikenakan untuk setiap pelaburan Saham Amanah)
· Mudah untuk membuka akaun pelaburan di mana-mana 32 cawangan ASNB dan lebih dari 2,700 cawangan milik ejen-ejen ASNB di seluruh negara
· Pelaburan minima yang rendah iaitu RM10 sahaja membolehkan ramai rakyat Malaysia yang layak untuk melabur
· Bonus Tambahan untuk 30,000 unit pelaburan pertama untuk setiap akaun pelaburan diberikan selain daripada Bonus Tahunan yang diberikan kepada semua unit pelaburan (dengan adanya Bonus Tambahan membolehkan masyarakat yang hanya mempunyai 30,000 unit dan ke bawah mendapat pendapatan tambahan) Contoh pada tahun 2022:
o Pengagihan Pendapatan 3.35 sen seunit
o Bonus 1.35 sen seunit
o Bonus Tambahan 0.50 sen seunit
Nota: Bonus tambahan hanya ada sekiranya diumumkan
· Kecairan tunai yang mudah kerana ianya boleh dijual pada bila-bila masa apabila memerlukan tunai
· Kemudahan pinjaman untuk melabur disediakan oleh kebanyakan ejen-ejen ASNB di seluruh Malaysia
Kesimpulan
Oleh kerana itu boleh dikatakan bahawa pilihan pelaburan yang terbaik kepada kebanyakan rakyat Malaysia adalah ASB. Ini kerana ianya membolehkan hampir semua golongan masyarakat menyertai industri pelaburan Saham Amanah di Malaysia dengan bermodalkan hanya RM10 seseorang pelabur boleh menyertai industri pelaburan yang mempunyai kepelbagaian aset-aset di seluruh dunia.
ASB juga amat mudah untuk melakukan simpanan serta pengeluaran selain memberikan pulangan yang berpatutan serta pelaburan yang selamat. Sekiranya anda mempunyai niat untuk melakukan pelaburan, bermulalah dengan melabur dalam ASB. Elakkan dari melabur dalam skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi tetapi akhirnya semua pelaburan tersebut hangus bersama modal yang didapati dari kerja keras yang dilakukan setiap hari demi mencari rezeki.