Keperluan Vs Kehendak: Kesannya kepada Kewangan

Era media sosial menyaksikan pelbagai tren baru muncul termasuklah YOLO dan FOMO yang rata-ratanya menyebabkan ramai terjebak dalam kehidupan luar kemampuan.
Keinginan menjadi seperti ‘influencer’ yang diminati atau ketaksuban menayang kemewahan menyebabkan mereka lupa bahawa asas kepada pengurusan kewangan ialah berbelanja berdasarkan kemampuan, atau lebih baik lagi, dibawah kemampuan.
Sayangnya, tidak ramai yang sedar hingga akhirnya mereka terbeban dengan hutang dan terpaksa hidup ‘kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.
Sebenarnya tidak salah untuk berbelanja, namun dalam berbelanja, ada ilmu, panduan dan syarat yang perlu diikuti supaya kita tidak dijerat hutang.
Apakah ilmu dan panduan utama yang perlu diikuti apabila berbelanja?Pastinya ia berkait rapat dengan keupayaan membezakan antara keperluan dan kehendak.
Sekiranya mampu menangani kehendak dengan bijak, tidak mustahil matlamat kewangan jangka panjang seperti membina tabungan dan membeli rumah akan tercapai.
Apa itu keperluan?
Keperluan ialah perbelanjaan penting yang diperlukan untuk kelangsungan dan keselesaan hidup. Antaranya termasuklah:
1. Perbelanjaan asas untuk hidup seperti tempat kediaman, utiliti dan barangan asas
2. Pengangkutan : Kos yang diperlukan untuk pergi kerja, sekolah dan tempat lain yang perlu
3. Kesihatan : Perbelanjaan perubatan, insurans, rawatan
Kebiasaannya perkara yang membabitkan keperluan tidak boleh diketepikan kerana kegagalan memenuhinya mungkin menyebabkan anda hidup dalam sengsara.

Apa itu Kehendak?
Kehendak ialah perbelanjaan untuk menambah baik mutu kehidupan tetapi tidak penting untuk kelangsungan hidup. Antaranya termasuklah:
1. Hiburan : Menonton wayang, makan di restoran mewah dan percutian
2. Barangan yang ditambah baik : Pakaian berjenama, kereta mewah, gajet terkini
3. Kemudahan : Langganan kemudahan streaming, keahlian gim dan aplikasi premium
4. Pembelian impulsif : Barangan tidak penting yang dibeli kerana teringin
Kehendak memberikan kegembiaraan tetapi tidak penting untuk kelangsungan hidup. Menguruskan kehendak dengan bijak sangat penting supaya kita tidak berbelanja diluar kemampuan.
Kesan Gagal Mengurus Kehendak
i. Terbeban Hutang : Kegagalan mengurus kehendak telah menyebabkan ramai yang menanggung hutang berlebihan dan akhirnya terperangkap dalam kitaran hutang yang sukar untuk ditamatkan. Mana tidaknya, mereka membeli kereta diluar kemampuan, menggunakan kad kredit tanpa fikir panjang dan berbelanja tanpa penilaian
ii. Tiada pelaburan, tabungan dan aset jangka panjang : Mereka gagal melabur untuk membina tabungan dan tidak mampu membeli aset kerana wang gaji habis digunakan untuk berbelanja dan mambayar hutang.
iii. Pelaburan tidak berkembang : Ada yang melabur, tetapi pelaburan tidak berkembang-kembang kerana setiap tahun, dividen dikeluarkan untuk memuaskan kehendak.
Cara Mudah Menyeimbangkan Keperluan dan Kehendak
1. Memantau perbelanjaan : Buat bajet dengan mengenalpasti semua perbelanjaan supaya anda dapat melihat ke mana wang anda dibelanjakan. Sekiranya wang banyak dihabiskan untuk kehendak, anda perlu menilai semula gaya hidup dan menyusun semula keutamaan anda
2. Penilaian sebelum berbelanja : Sentiasa menilai dengan teliti sekiranya barangan atau kemudahan yang ingin dibeli lebih berbentuk kehendak. Memberi masa 2-3 hari kepada diri untuk memproses keinginan dan menilai kedudukan kewangan akan membantu anda membuat keputusan pembelian yang tepat dan bukan berdasarkan impuls semata-mata.

3. Labur dahulu baru belanja : Sebagai contoh, ketepikan 10% daripada gaji untuk pelaburan dalam ASB, 60% untuk keperluan 30% untuk kehendak. Berbelanjalah dengan wang yang ada di tangan sahaja dan jangan sesekali mengeluarkan wang yang dilaburkan. Dengan cara mudah ini, anda pastinya dapat hidup dengan selesa dan pada masa yang sama membina tabungan.
Untuk memastikan masa depan yang lebih stabil dan terjamin, adalah penting untuk anda mengutamakan keperluan terlebih dahulu untuk membina asas kewangan yang kukuh.
Apabila keperluan sudah dipenuhi, keseimbangan antara pelaburan dan kehendak akan membolehkan anda menikmati hidup selesa tanpa mengorbankan kewangan yang sihat.
Sorotan
i. Sekiranya anda bijak menguruskan kehendak, kedudukan kewangan anda akan menjadi lebih baik kerana anda mempunyai lebihan untuk melabur dan membina tabungan.
ii. Dengan adanya tabungan, anda akan sentiasa mempunyai sumber kewangan apabila memerlukan, anda mampu membeli aset dan membina kekayaan dan paling penting, anda dapat hidup dengan tenang tanpa hutang yang membebankan.
iii. Ingatlah, waktu berhibur dan berlibur, memamg ramai yang ingin menumpang, tetapi ketika waktu susah, hanya tabungan yang akan menjadi penyelesai masalah.
iv. Oleh itu, berbelanja berhemah, mulalah melabur dan jangan sesekali mengeluarkan dividen untuk membiayai kehendak supaya pelaburan anda terus berkembang