Urus Harta: Lindungi Waris, Elak Sengketa

Apabila bercakap mengenai pengurusan harta pusaka, sebagai orang Islam, kita tahu ia berkait rapat dengan hukum faraid yang telah ditetapkan dalam Al-Quran.
Kaedah pembahagian faraid menetapkan lima waris utama iaitu pasangan, anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa si mati. Kelima-lima mereka ini berhak menerima harta si mati berdasarkan pembahagian yang telah ditetapkan dalam Al-Quran.
Bagaimanapun, waris ini boleh bertambah atau berlapis bergantung kepada sama ada waris yang layak masih hidup atau telahpun meninggal dunia. Sekiranya waris telah meninggal dunia, hak perwarisan akan jatuh kepada warisnya pula dan seterusnya selagi harta yang ditinggalkan belum diagihkan.
Cuma kadang-kadang konsep faraid ini menimbulkan kekeliruan kerana ramai antara kita tidak faham dan mendalami konsep faraid itu sendiri yang didalamnya ada keadilan, ehsan dan kasih sayang, bukan sekadar pembahagian harta semata-mata.
Walaupun wajib mengikut faraid, namun perbincangan boleh dilakukan antara waris untuk mencapai persetujuan bagaimana harta hendak dibahagikan selagi ia tidak menganiaya mana-mana waris yang layak.
Proses mengagihkan harta pusaka mengikut faraid pula perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah ditetapkan di negara ini.
Apabila seseorang meninggal dunia, hartanya akan dibekukan untuk seketika sementara menunggu proses tuntutan dilaksanakan oleh waris yang layak.
Proses membuat tuntutan berbeza bergantung kepada nilai harta yang ditinggalkan, namun langkah permulaan paling penting ialah melantik wasi sebagai pentadbir yang akan menguruskan harta pusaka berkenaan.
Kadangkala proses melantik wasi ini juga mengambil masa yang panjang kerana tiadanya muafakat waris untuk bersetuju melantik wasi selain daripada tiada yang sanggup menjadi wasi memandangkan proses tuntutan ini juga membabitkan masa dan kos untuk dilaksanakan.
Berikutan itu, timbullah masalah dalam pengurusan harta pusaka seperti harta dibekukan atau waris berlapis-lapis hingga menyebabkan banyak harta yang ditinggalkan hilang nilainya kerana tidak dapat digunakan oleh waris.
Keadaan ini menyukarkan waris terutamanya mereka yang sangat memerlukan harta pusaka berkenaan untuk meneruskan kelangsungang hidup.
Jika diteliti, faraid bukanlah masalahnya kerana ia merupakan satu ketetapan yang sangat indah sekiranya dilaksanakan dengan betul, tetapi sikap waris kadangkala menjadi penyebab kepada tertangguhnya proses tuntutan.
Pergaduhan, sikap tamak dan mementingkan diri sendiri menyebabkan proses pembahagian harta sering gagal dilaksanakan dengan cepat dan pantas, selain menyebabkan ada waris tidak menerima bahagian mereka.
Keadaan ini sebenarnya agak menyedihkan kerana mereka yang hidup menggunakan harta pusaka yang tidak diagihkan seperti mana sepatutnya sebenarnya menanggung dosa, lebih-lebih lagi jika membabitkan harta anak yatim.
Sebagai contoh, ada waris enggan keluar dari rumah pusaka dan tidak mahu pula menguruskan harta berkenaan mengikut faraid yang menyebabkan waris lain tidak menerima hak mereka.
Sudahnya pembahagian harta tertangguh dan apabila ada waris layak meninggal dunia, proses menjadi lebih rumit dan berlapis-lapis malahan mungkin menimbulkan sengketa berpanjangan antara waris.
Ada juga anak angkat yang langsung tidak menerima sebarang harta kerana mereka bukannya waris yang layak, sedangkan merekalah yang banyak berjasa kepada pemilik harta berkenaan.
Keluarga tanpa anak lelaki juga sering berdepan masalah kerana campur tangan saudara mara si mati yang menyebabkan harta sukar diuruskan untuk waris lain.
Apa yang lebih menyedihkan ialah ramai yang tidak sedar mereka menganiaya waris lain dan menanggung dosa berterusan kerana menyekat hak waris lain untuk menerima manfaat daripada harta yang ditinggalkan.
Bagaimana Mengurus Harta untuk Elak Perkara Ini Berlaku?
Oleh itu, sebagai pemilik harta kita perlu ingat bahawa harta yang ditinggalkan walau nilainya berjuta sekalipun, mungkin tidak memberi manfaat kepada waris jika tidak diurus dengan baik ketika kita masih hidup.
Oleh itu, pemilik harta amat digalakkan untuk menggunakan beberapa kaedah pengurusan harta yang dibenarkan dalam Islam seperti Wasiat, Hibah, Amanah dan Wakaf.
Menerusi Wasiat, pemilik boleh mewasiatkan 1/3 hartanya kepada bukan waris dan jika ingin mewasiatkan lebih daripada jumlah itu, wasiat berkenaan perlulah dipersetujui oleh waris lain. Menerusi kaedah ini, pemilik boleh mewasiatkan hartanya kepada anak angkat untuk melindungi hak mereka.
Wasiat akan dilaksanakan selepas kematian pemilik dan perlu diagihkan terlebih dahulu sebelum pembahagian mengikut faraid.
Hibah pula ialah hadiah kepada waris atau bukan waris ketika pemilik masih hidup dan harta yang telah dihibahkan tidak termasuk dalam harta pusaka.
Pada masa ini, banyak institusi kewangan/pelaburan menawarkan kemudahan Hibah Bersyarat, antaranya ASNB yang menawarkan Hibah Amanah. Kemudahan ini memberi kemudahan kepada waris kerana mereka boleh membuat tuntutan Hibah terlebih dahulu sementara menunggu harta lain diuruskan mengikut faraid.
Amanah pula apabila pemilik menubuhkan satu tabung atau akaun khas yang menguruskan harta mereka untuk waris. Waris akan menerima hasil masing-masing berdasarkan surat ikatan amanah yang dipersetujui.
Menubuhkan tabung amanah ini sangat sesuai untuk melindungi waris yang masih kecil untuk memastikan mereka menerima bahagian masing-masing dan tidak diambil kesempatan begitu sahaja.
Wakaf pula ialah satu bentuk transaksi harta yang memberi faedah dan manfaat berterusan kepada pewakaf dan penerimanya untuk satu tempoh yang panjang selama mana apa yang diwakafkan itu wujud dan memberi sumbangan.
Kelebihan wakaf ialah pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’ berterusan walau selepas meninggal dunia selagi penerima wakaf dan masyarakat dapat menikmati manfaat daripada harta yang diwakafkan.
Semua kaedah pengurusan harta ini boleh digunakan oleh pemilik untuk mengurus harta ketika mereka masih hidup untuk melindungi dan memudahkan urusan tuntutan oleh waris.
Ini bukanlah bermakna kita menolak faraid, tetapi kita menggunakan pelbagai kaedah lain yang dibenarkan dalam Islam untuk memastikan waris tidak ditinggalkan dalam keadaan meminta-minta.
Bagaimanapun jangan pula bergantung kepada penama kerana penama sebenarnya adalah wasi dan masih perlu meneruskan harta yang dinamakan kepada mereka mengikut hukum faraid. Kesilapan ini telah menyebabkan ramai waris tidak menerima bahagian masing-masing apabila penama enggan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wasi.
Jadi uruslah harta dengan baik ketika masih hidup supaya untuk melindungi waris yang ditinggalkan.