Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Tentang Ekonomi, Anak dan Makna

Hariri Jabatan Ekonomi PNB - BM
Hariri PNB Economy dept
Hariri Hamid

7 minit masa membaca

Bila Dua Garis Itu Muncul

Penulisan ini sangat dekat di hati saya kerana pada saat artikel ini ditulis, saya sendiri sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertama. Masih jelas dalam ingatan saya apabila isteri menunjukkan alat ujian kehamilan. Kami saling berpandangan tanpa banyak bicara. Dua garis merah yang muncul pada alat kecil itu sudah cukup untuk mengubah cara kami melihat masa depan.

Perasaan yang hadir pada waktu itu sukar diterjemahkan. Ada kegembiraan, kesyukuran dan sedikit kebimbangan. Sebagai seorang yang menghabiskan sebahagian besar kerjaya memerhati ekonomi dan angka, fikiran saya mula bertanya soalan yang mungkin bermain dalam fikiran ramai bakal ibu bapa: berapakah kos membesarkan seorang anak?

Namun semakin saya memikirkan soalan itu, semakin saya sedar bahawa membesarkan anak bukan sekadar persoalan kos. Ia adalah persoalan nilai. Dan seperti banyak perkara penting dalam kehidupan, nilai sebenar sering kali jauh lebih sukar diukur berbanding kosnya.

Apabila Ekonomi Masuk ke Dalam Rumah

Dalam ekonomi, terdapat satu konsep yang dikenali sebagai modal insan atau human capital. Ahli ekonomi Gary Becker berhujah bahawa perbelanjaan terhadap pendidikan, kesihatan dan pembangunan seseorang individu bukanlah semata-mata perbelanjaan, tetapi satu bentuk pelaburan untuk masa hadapan.

Sebagai ibu bapa, konsep ini membawa makna yang lebih mendalam. Setiap buku yang dibaca sebelum tidur, setiap lawatan ke klinik dan setiap perbualan yang mengajar mereka tentang nilai kehidupan sebenarnya adalah sebahagian daripada proses membina seorang manusia. Pulangannya mungkin tidak muncul dalam bentuk wang, tetapi dalam bentuk ilmu, karakter dan kemampuan mereka menyumbang kepada masyarakat.

Namun membesarkan anak bukan sekadar melibatkan wang yang dibelanjakan. Ia juga melibatkan apa yang ahli ekonomi panggil sebagai kos melepas atau opportunity cost. Setiap pilihan yang dibuat bermakna kita melepaskan pilihan yang lain. Ada peluang kerjaya yang mungkin ditangguhkan, ada masa lapang yang semakin berkurangan dan ada rancangan yang terpaksa diubah.

Tetapi kos peluang juga mengajar satu perkara yang penting. Kita biasanya terlalu memberi perhatian kepada apa yang hilang, tetapi jarang memikirkan apa yang diperoleh. Dalam banyak keadaan, pengorbanan itu sendiri menjadi bukti bahawa sesuatu pilihan benar-benar bermakna.

Paradoks Harga dan Makna

Ada satu paradoks yang menarik tentang keibubapaan. Sebelum mempunyai anak, kita banyak mengira. Kita mengira kos susu, kos taska, kos pendidikan dan jumlah simpanan yang perlu ada. Tetapi selepas anak itu lahir, kita mula menyedari bahawa perkara yang paling bernilai dalam hidup mereka sebenarnya tidak boleh dikira.

Tiada formula ekonomi yang mampu mengukur nilai senyuman pertama seorang bayi. Tiada model kewangan yang boleh menganggarkan harga sebuah pelukan. Dan tiada spreadsheet yang mampu menilai perasaan apabila seseorang memanggil kita "ayah" atau "ibu" buat kali pertama.

Di sinilah ekonomi bertemu falsafah. Ekonomi mengajar bahawa setiap pilihan mempunyai kos. Falsafah pula mengingatkan bahawa tidak semua yang bernilai mempunyai harga. Aristotle pernah berhujah bahawa kebahagiaan sebenar bukan sekadar tentang keselesaan, tetapi tentang menjalani kehidupan yang mempunyai tujuan dan makna.

Jika dilihat melalui lensa keselesaan semata-mata, keputusan untuk mempunyai anak mungkin kelihatan tidak begitu rasional. Ia membawa lebih banyak tanggungjawab, kebimbangan dan pengorbanan. Namun jika dilihat melalui lensa makna, gambarnya berubah sama sekali. Membesarkan anak mungkin mengurangkan sebahagian keselesaan hidup, tetapi ia memberikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu tujuan.

Daripada Harapan kepada Tindakan

Walaupun banyak aspek keibubapaan tidak boleh diukur dengan wang, kewangan tetap memainkan peranan penting. Ini bukan kerana kita meletakkan nilai seorang anak kepada angka, tetapi kerana kewangan sering menentukan peluang yang tersedia untuk mereka pada masa hadapan.

Ini mengingatkan saya tentang ahli ekonomi Amartya Sen yang juga pemenang Hadiah Nobel, beliau memperkenalkan konsep Capability Approach yang melihat pembangunan bukan sekadar peningkatan pendapatan, tetapi perluasan keupayaan dan pilihan yang dimiliki seseorang individu. Dalam erti kata lain, kesejahteraan tidak diukur semata-mata melalui apa yang dimiliki seseorang, tetapi melalui akses kepada peluang yang membolehkan mereka berkembang, membuat pilihan dan mencapai potensi terbaik mereka.

Perspektif ini amat relevan dalam konteks keibubapaan dimana tanggungjawab kita bukanlah menentukan jalan hidup anak-anak, tetapi memastikan mereka mempunyai pilihan yang mencukupi untuk membina jalan hidup mereka sendiri. Semua ini perlu persediaan kewangan yang rapi.

Di sinilah pentingnya amalan menyimpan. Simpanan bukan sekadar tentang mengumpul wang, tetapi menyediakan pilihan apabila peluang muncul. Lebih awal seseorang mula menyimpan, lebih banyak masa yang diberikan untuk simpanan berkembang melalui kuasa pulangan terkompaun. Dalam jangka panjang, disiplin dan konsistensi selalunya lebih penting daripada jumlah permulaan.

Terdapat pelbagai medium simpanan yang boleh dipertimbangkan mengikut matlamat, tahap toleransi risiko dan keperluan masing-masing. Bagi ramai keluarga di Malaysia, ASNB menjadi antara pilihan untuk membina simpanan jangka panjang anak-anak secara berperingkat. Apa yang penting bukanlah bermula dengan jumlah yang besar, tetapi membina tabiat menyimpan secara konsisten.

Pada akhirnya, menyimpan untuk anak-anak bukan sekadar usaha mengumpul wang. Ia adalah usaha untuk memperluaskan peluang dan pilihan yang tersedia kepada mereka pada masa hadapan. Wang bukanlah matlamat akhirnya, tetapi alat yang membantu membuka ruang kepada perkara-perkara yang paling bernilai dalam hidup.

Antara Angka dan Makna

Pada mulanya, saya menyangka persoalan terbesar tentang mempunyai anak ialah berapakah kos untuk membesarkan mereka. Namun semakin saya melalui perjalanan ini, semakin saya sedar bahawa soalan tersebut sebenarnya tidak lengkap. Soalan yang lebih penting ialah apakah kehidupan yang ingin kita bina untuk mereka.

Ekonomi memberi kita alat untuk merancang. Agama mengingatkan kita tentang amanah. Kehidupan pula mengajar bahawa tidak semua perkara yang penting boleh diukur dan tidak semua yang bernilai mempunyai harga.

Membesarkan anak bukanlah projek untuk menjadikan hidup kita lebih mudah. Mereka adalah amanah yang menjadikan hidup kita lebih bermakna. Dan mungkin itulah pelajaran terbesar yang ekonomi dan keibubapaan cuba ajarkan kepada kita: kehidupan yang terbaik bukanlah kehidupan yang memaksimumkan keuntungan, tetapi kehidupan yang memaksimumkan makna.