Bayar Zakat ASB guna kaedah al-Mustaghallat

Kita kini berada hampir di penghujung tahun, dan antara perkara wajib yang perlu dilaksanakan ialah membayar zakat untuk mereka yang layak.
Selain tuntutan agama, membayar zakat amat penting dalam pengurusan kewangan individu kerana kita boleh membuat tuntutan rebat apabila membuat taksiran cukai pendapatan dalam jumlah yang sama dengan zakat yang dibayar.
Bagi memudahkan kiraan zakat untuk pelabur Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), pengurus tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) itu memperkenalkan kaedah pengiraan zakat baharu menggunapakai kaedah al-Mustaghallat bermula tahun ini.
Pengiraan zakat menggunakan kaedah baharu ini terpakai untuk semua unit amanah harga tetap di bawah pengurusan ASNB.
Menerusi kaedah al-Mustaghallat ini, kiraan zakat dibuat berdasarkan pendapatan yang diperoleh daripada harta sewa, pelaburan, atau aset produktif yang lain.
Dalam konteks ASNB, pengenalan kaedah al-Mustaghallat ini bermakna kiraan zakat untuk unit amanah harga tetap hanya dikenakan terhadap dividen (agihan pendapatan), bonus dan bonus khas (jika ada) yang diterima pada kadar 2.57%, berbanding sebelum ini yang mana pengiraan dibuat berdasarkan baki akhir pelaburan.
Pengenalan kaedah baharu ini yang akan digunapakai bermula tahun ini adalah sebahagian usaha ASNB menyelaras kaedah bayaran zakat supaya selari dengan piawaian industri bagi memudahkan pemegang unit melaksanakan tanggungjawab membayar zakat.
Ia merupakan antara satu langkah penting dan berterusan yang dilaksanakan ASNB untuk menambahbaik perkhidmatan kepada pelabur untuk memudahkan mereka mengurus kewangan dan pelaburan.
Penggunaan kaedah ini adalah berdasarkan pandangan hukum Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 4 September 2025 serta keputusan fatwa daripada.
• Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (22 September 2025)
• Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang (13 Oktober 2025)
• Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang (28 Oktober 2025)
• Jamaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
• Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah (30 Oktober 2025)
Penilaian zakat bagi pelaburan unit amanah harga tetap ASNB ditetapkan melalui kaedah al-Mustaghallat secara kolektif (khultah).
Pengesahan berkenaan memberi jaminan bahawa kaedah yang diperkenalkan ini adalah sah dari sudut syarak dan boleh diamalkan oleh umat Islam.
ASNB juga disasarkan memperkenalkan kaedah zakat al-Mustaghallat secara khultah bermula pertengahan tahun 2026, yang mana ASNB akan membuat bayaran zakat bagi pihak pelabur beragama islam yang memilih.
Khultah merujuk kepada penilaian dan pembayaran zakat secara kolektif yang mana jumlah zakat ditentukan berdasarkan gabungan pengagihan pendapatan kumpulan pemegang unit yang memilih kaedah ini.
Apabila diperkenalkan kelak, pemegang unit beragama Islam boleh memilih sama ada mahu membuat bayaran zakat sendiri atau melantik ASNB membayarkan zakat bagi pihak mereka dan menerima dividen bersih selepas ditolak zakat.
Sementara menunggu pelaksanaan rasmi, pemegang unit boleh menggunakan kaedah al-Mustaghallat secara individu pada kadar zakat 2.57%. Untuk menentukan jumlah zakat perlu dibayar, pelabur boleh merujuk kepada kadar nisab yang ditetapkan oleh Pusat Zakat Negeri masing-masing.
Pengiraan zakat al-Mustaghallat menggunakan kadar peratusan 2.57% berdasarkan penggunaan kalendar masihi sebagai asas haul pengiraan setelah mengambil kira perbezaan hari di antara kalendar masihi dan kalendar hijri.
Pendekatan ini disarankan Panel Penasihat Syariah PNB yang mana kadar itu turut digunakan oleh Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI) dalam Financial Accounting Standard (Perenggan Kedua) untuk zakat (FAS 9).
Pengenalan kaedah zakat al-Mustaghallat ini dibuat berdasarkan pandangan dan persetujuan daripada Panel Penasihat Syariah PNB (PPS PNB), yang menilai bahawa kaedah zakat al-Mustaghallat sebagai pendekatan yang lebih sesuai dan menepati ciri pelaburan jangka masa panjang yang mana pelabur melabur dengan niat mendapatkan agihan pendapatan, bukannya keuntungan modal.
Kaedah al-Mustaghallat ini juga diperkenalkan untuk memastikan zakat tidak mengurangkan nilai modal pelaburan, selaras dengan objektif utama pelaburan iaitu untuk memperoleh pendapatan daripada wang yang dilaburkan.
Sehubungan itu, kaedah ini dilihat sebagai lebih sesuai untuk kiraan zakat unit amanah ASNB yang mana pelabur dinasihatkan supaya melabur untuk jangka sederhana dan panjang bagi membina tabungan untuk masa depan.
Bagaimanapun, untuk unit amanah harga berubah, kiraan masih sama sepertisebelum ini iaitu berdasarkan kaedah baki akhir bagi tahun kalendar masing-masing, juga pada kadar 2.57%.
Pengenalan kaedah al-Mustaghallat secara kolektif (khultah) ini merupakan satu langkah penting kerana ia bukan sahaja memudahkan pelabur melaksanakan tanggungjawab membayar zakat, tetapi juga membantu mereka memperoleh keberkatan dalam pengurusan kewangan.
