ASNB Bijak: Langkah Pertama Bina Tabungan Anak-anak

Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan antara cara terbaik ialah dengan memastikan anak-anak sentiasa mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Namun, impian ini tidak akan tercapai dengan harapan semata-mata kerana pendidikan berkualiti datang bersama kos yang bukan sedikit. Sebagai contoh, kos pengajian untuk jurusan perakaunan di negara ini boleh mencecah hingga lebih RM12,000 di IPTA dan sehingga RM45,000 di IPTS.
*Kos semasa pengajian di IPTA dan IPTS dalam jurusan tertentu
Berdasarkan unjuran inflasi purata tahunan sekitar 4%, kos semasa ini yang dianggar akan terus meningkat dari tahun ke tahun.
Sehubungan itu, anak-anak kita kelak mungkin perlu mengambil pinjaman pelajaran dalam jumlah yang besar, bekerja sambal belajar, atau lebih parah lagi terpaksa berhenti belajar kerana kekangan kewangan.
Sebagai ibubapa, kita perlu membuat persediaan awal supaya anak-anak tidak terlalu terbeban dengan kos pendidikan. Janganlah kita mengharapkan bantuan semata-mata atau dengan sengaja membiarkan anak-anak menanggung beban pinjaman yang terlalu besar, sedangkan kita mempunyai pilihan untuk membantu mereka dengan membina tabung pendidikan.
Jangan bimbang kerana membina tabung pendidikan sebenarnya tidaklah sesukar yang dibayangkan lebih-lebih lagi jika anak masih kecil dan mempunyai tempoh yang panjang sebelum memulakan pengajian selepas SPM.
Sebenarnya pelaburan serendah RM50 dalam ASB setiap bulan sudah cukup untuk membolehkan anak-anak anda melangkah memulakan pengajian selepas SPM dengan senyuman.
Simulasi Pelaburan:
Mari kita lihat contoh mudah.
- Pelaburan pokok: RM1,000.00
- Pelaburan bulanan: RM50.00
- Purata pulangan tahunan: 5%
Melabur awal, manfaatkan kuasa faedah kompaun
Prinsip ini mudah: modal pelaburan akan berkembang kerana kuasa faedah kompaun selagi dividen tidak dikeluarkan dan pelaburan ditambah dari semasa ke semasa.
Oleh itu, lagi awal anda bermula, lebih panjang tempoh untuk pelaburan anda berkembang dan anda dapat membina tabung pendidikan yang lebih besar jumlahnya.
Kadangkala kita tidak perasan bahawa pelaburan serendah RM50 sebulan yang hanya bersamaan dengan harga dua cawan kopi berjenama atau dua hidangan makanan viral, boleh menjadi tiket masa depan untuk anak-anak menyambung pengajian dengan hati yang tenang.
Bayangkan pula jika anda melabur RM100, RM200 atau RM500 setiap bulan untuk seorang anak. Pastinya anak-anak anda akan berterima kasih dengan anda kerana mereka dapat memulakan kehidupan tanpa pinjaman yang membebankan.
Masa terbaik untuk membuka akaun anak ialah sekarang. Lagi awal anda mula, lagi besar kesannya kepada tabungan yang dibina. Walaupun hanya RM50 setiap bulan untuk seorang anak, dengan disiplin dan konsistensi, anda sedang membina benteng kewangan yang mampu menjamin masa depan lebih baik untuk yang tersayang.
Selain anda melabur setiap bulan, jangan lupa laburkan juga duit raya atau sebarang hadiah wang tunai yang diterima anak-anak dalam akaun yang sama. Biasakan diri untuk memberi hadiah kepada anak-anak dalam bentuk tunai dan didik anak-anak menabung. Setiap kali tabungan ini penuh, laburkan supaya wang berkenaan ia terus berkembang.
Libatkan mereka dalam proses membina tabungan ini supaya mereka faham bahawa melabur bukan satu perkara yang sukar, sebaliknya sangat mudah jika dilakukan dengan cara yang betul.
Tabungan ini kelak, pastinya bukan sekadar boleh digunakan untuk pendidikan, tetapi lebih daripada itu. Siapa tahu, kegigihan anda membina tabungan dan mendidik anak-anak supaya melabur sejak kecil, akan menjadi sumber kewangan berterusan untuk mereka kelak. Sama-sama kita jadikan mereka ini generasi melabur yang bijak.
Jadi jangan tunggu lagi, jomlah melabur dengan ASNB Bijak untuk menyediakan kewangan kukuh untuk anak-anak anda. Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk membimbing anak-anak anda menjadi Generasi Labur.
