Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

ASB Plus: Diversifikasi Pelaburan Bijak Dengan Risiko Terkawal

asb_plus_articleacademy_KV_bm
ASNB
ASNB Academy

9 minit masa membaca

Ramai antara kita yang selesa dengan pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan ASB2 kerana ia stabil, mudah difahami dan paling penting memberi agihan pendapatan yang konsisten dan berdaya saing setiap tahun.

Namun begitu, tidak dinafikan dalam ketenangan yang kita peroleh daripada pelaburan berisiko rendah ini, ada kalanya kita teringin juga untuk melabur dalam instrumen berisiko sederhana dan tinggi kerana pulangannya yang dikatakan lebih tinggi.

Justeru, sekiranya anda mempunyai keinginan untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan, tapi dalam masa yang sama ingin melindungi modal daripada mengalami penurunan nilai, anda boleh bermula dengan memilih ASB Plus sebagai medan pembelajaran dan latihan awal.

Ini kerana menerusi ASB Plus anda berpeluang melabur dalam instrumen berisiko rendah dan sederhana, secara sekaligus. Menerus pakej ini, 70 peratus modal pelaburan anda akan dilaburkan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang berharga tetap manakala 30 peratus lagi dalam ASN Imbang 2 yang merupakan dana harga berubah.

Apa yang lebih menarik pelabur akan menerima dividen tambahan 1% untuk bahagian pelaburan dalam ASB dan pastinya dividen tambahan ini akan mengurangkan lagi pendedahan terhadap risiko kerugian.

Langkah melabur dalam ASB Plus ini boleh dikatakan satu diversifikasi pelaburan pintar kerana anda dapat menyebarkan risiko pelaburan terus ke dalam dua kelas aset yang berbeza.

Tanpa perlu pening memikirkan kewajaran sumbangan produk untuk pembangunan portfolio yang stabil, ASB Plus menyediakan kestabilan menerusi ASB yang turut disertakan dengan dividen tambahan, manakala ASN Imbang 2 membuka peluang untuk anda menikmati pertumbuhan modal, lebih-lebih lagi ketika sentimen pasaran semakin baik.

ASN Imbang 2 merupakan pelaburan lebih berisiko kerana harga seunitnya yang berubah setiap hari berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB).

Bagaimanapun ASN Imbang 2 berpotensi memberi keuntungan modal sekiranya harga jualan lebih tinggi berbanding harga belian. Oleh itu, pastikan anda tahu harga seunit ketika melabur supaya anda berpeluang meraih keuntungan modal menerusi peningkatan harga sewaktu menjual semula.

Ramai pelabur baru berasa ragu-ragu untuk melabur dalam dana harga berubah kerana bimbang akan turun naik pasaran. Namun begitu, ASN Imbang 2 sebenarnya merupakan instrumen pelaburan yang mampu memberi pulangan lebih kompetitif sekiranya dilaburkan untuk jangka panjang.

ASN Imbang berada dalam kategori dana seimbang, yang mana Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pengurus dana melabur secara seimbang dalam kelas aset berisiko sederhana dan tinggi seperti ekuiti, bon, dan tunai bagi mengimbangi risiko dan pulangan.

Selain itu, ASB Plus juga menetapkan tempoh halangan jualan selama 12 bulan supaya adan dapat anda menikmati pulangan optimal daripada pelaburan dalam pakej ini.

Walaupun anda mungkin berasakan makanisma ini merupakan satu halangan untuk membuat keputusan pelaburan pantas, namun ia sebenarnya dapat membantu anda belajar mengawal emosi.

Kawalan emosi merupakan komponen penting dalam pelaburan berisiko sederhana dan tinggi kerana ramai pernah tersilap langkah dan menanggung kerugian hanya kerana membuat keputusan berdasarkan emosi semata-mata.

Jadi jika anda benar-benar baru bermula, tempoh halangan ini akan mambantu anda berlatih mengawal emosi untuk menjadikan anda pelabur kental yang tidak terburu-buru membuat keputusan.

Menerusi pendedahan kecil dalam ASN Imbang 2, anda berpeluang memahami kesan turun naik harga, berpeluang dividen tahunan dan keuntungan modal, memahami kos sebenar pelaburan dan belajar mengawal emosi, satu pengalaman lengkap untuk mengenali dunia pelaburan berisiko sederhana sebelum beralih ke pelaburan berisiko lebih tinggi.

ASB Plus bukan saja satu produk pelaburan, tetapi ia juga platform pembelajaran yang langkah pertama untuk anda memahami dunia pelaburan sebenar. Dengan gabungan kestabilan ASB dan potensi pertumbuhan ASN Imbang 2, anda boleh memulakan diversifikasi pelaburan dengan lebih yakin —tanpa perlu risau kehilangan keseluruhan modal. Jom kita melabur dengan strategi, bukan emosi.

Rumusan Artikel

i. Diversifikasi Pintar

ASB Plus menggabungkan 70% ASB (kestabilan) dan 30% ASN Imbang 2 (potensi pertumbuhan) untuk menjana pulangan stabil dan mengecilkan pendedahan terhadap risiko kerugian, namun pada masa sama, pelabur boleh mengintai peluang pulangan lebih tinggi daripada dana harga berubah sekiranya sentimen pasaran semakin baik

ii. Bonus Tambahan 1%

Bonus tambahan 1% daripada ASB sebagai penimbal untuk mengurangkan risiko kerugian

iii. Pendedahan Risiko Kerugian yang Kecil

Hanya 30% modal pelaburan terdedah kepada turun naik pasaran saham.

Contoh simulasi pulangan pelaburan dalam ASB Plus untuk tempoh 3 tahun

Berdasarkan prestasi 3-tahun, ASN Imbang 2 telah mencatatkan jumlah pulangan pada kadar #37.40% bersama kombinasi jumlah pulangan ASB *17.25% . dan pulangan tambahan 1% untuk ASB melalui ASB Plus, dijangkakan jumlah pulangan anda selepas 3 tahun dianggarkan pada kadar 24.0%.

Dengan pelaburan RM100,000 dalam pakej ASB Plus, jangkaan jumlah pelaburan anda berkembang ke RM123,995 dalam jangka masa 3-tahun. Lihat ilustrasi berikut untuk melihat bagaimana pelaburan anda berkembang dengan ASB Plus.

*Anggaran 3-tahun jumlah pulangan ASB (dividen & bonus), berdasarkan jumlah pulangan 2024: 5.75%

#ASN Imbang 2 jumlah pulangan 3-tahun (30/9/2022 – 30/9/2025: Lembaran Fakta Dana October 2025)

Jangkaan jumlah pulangan 3-tahun untuk ASB di atas adalah anggaran kasar.

Adakah anda sesuai melabur dalam ASB Plus?