Percutian Idaman Bermula dengan RM10 di ASB

Selepas 3 atau 5 tahun bekerja, tentu ada masanya kita mahu menghadiahkan diri sendiri dengan sebuah percutian. Mungkin menikmati matahari terbenam di Kota Kinabalu, meneroka pulau-pulau di Semporna atau terbang lebih jauh untuk merasai sendiri suasana musim luruh di Jepun.
Percutian seperti ini tidak semestinya perlu dibayar menggunakan kad kredit atau konsep “travel now, pay later”. Dengan perancangan lebih awal, kita boleh menikmati percutian tanpa membawa pulang hutang bersama bagasi.
Salah satu caranya adalah dengan membina dana percutian secara konsisten melalui Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Percutian Juga Satu Matlamat Kewangan
Apabila bercakap tentang matlamat kewangan, kita biasanya memikirkan perkara besar seperti membeli rumah, menyediakan dana pendidikan anak atau merancang persaraan.
Namun, percutian juga boleh menjadi satu matlamat kewangan, cuma bezanya, percutian bukan satu keperluan mendesak, namun ia boleh menjadi satu matlamat yang membuatkan kita mula melabur.
Percutian Impian Pertama: Meneroka Sabah
Katakan dalam 3 tahun selepas bekerja, anda merancang untuk bercuti ke Sabah, mungkin untuk ke Kota Kinabalu atau menikmati udara nyaman di Kundasang, melihat Gunung Kinabalu atau meneroka keindahan pulau-pulau di pantai timur Sabah.
Katakanlah selepas membuat pengiraan membabitkan tambang kapal terbang, penginapan, makan dan minum serta aktiviti yang sesuai, anda menetapkan jumlah RM3,500 untuk percutian 3 hari 2 malam di Sabah.
Anggaran ini memberikan sedikit ruang untuk menikmati percutian dengan selesa tanpa terlalu berkira pada setiap perbelanjaan. Namun, jumlah sebenar tetap bergantung pada gaya perjalanan dan aktiviti yang dipilih.
Berapa agaknya yang perlu dilaburkan untuk mengumpul RM3,500 untuk percutian idaman anda itu? Jom kita semak:
Berdasarkan kepada jadual, anda hanya perlu membuat pelaburan bulanan RM100 untuk mengumpul RM3,500 yang diperlukan untuk percutian ke Sabah seperti yang diidamkan.
Jika anda sanggup melabur lebih lagi, anda boleh menambah pelaburan bulanan kepada RM200.
Percutian Impian: Jepun
Katakan anda berangan untuk melancong ke Jepun untuk merasai kemajuan teknologi dan menikmati keindahan negara matahari terbit itu.
Bagi percutian tujuh hari, 6 malam dengan pakej penuh bersama ejen, anggaran kos ialah sekitar RM8,000 seorang untuk melawat lokasi menarik di Tokyo, Fuji, Nagoya, Osaka, Kyoto, Nara, Kobe.
Oleh kerana jumlah yang agak banyak, anda menetapkan untuk ke Jepun selepas 5 tahun bekerja. Berapa agaknya yang perlu anda laburkan setiap bulan untuk menikmati percutian berkenaan? Jom kita semak:
Berdasarkan jadual pelaburan bulanan di atas, anda hanya perlu melabur RM120 setiap bulan untuk mengumpul RM8,000 bagi menikmati percutian idaman.
Hasilnya, selepas lima tahun bekerja, anda bukan sahaja mempunyai pengalaman dan kemajuan dalam kerjaya, tetapi juga dana yang boleh digunakan untuk menikmati percutian yang telah lama diimpikan.
Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana wang yang dilaburkan itu boleh berkembang dengan pantas, jawapannya ialah keajaiban kuasa faedah kompaun.
Selagi modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan, selagi itulah wang pelaburan anda mampu berkembang.
Labur dalam ASB untuk Percutian Idaman
Untuk merealisasikan impian percutian anda itu, anda boleh memilih untuk melabur dalam ASB.
ASB sesuai sebagai tabungan jangka sederhana kerana ia berisiko rendah, berkecairan tinggi dan mempunyai rekod mengeluarkan dividen yang kompetitif kepada pelabur.
Namun, andaian 5.75% hanyalah untuk tujuan membuat simulasi. Pengagihan pendapatan ASB tidak tetap dan tidak dijamin. Jumlah sebenar selepas lima tahun mungkin lebih tinggi atau lebih rendah.
Jadikan Pelaburan Sebahagian daripada Rutin Gaji
Niat untuk melabur boleh mudah dilupakan apabila gaji mula digunakan untuk membayar bil, makanan, pengangkutan dan pelbagai komitmen lain.
Untuk membina disiplin, anda boleh menggunakan kemudahan Auto Labur melalui aplikasi myASNB. Kemudahan ini membolehkan pelaburan bulanan ditetapkan secara automatik berdasarkan jumlah dan tarikh yang dipilih dengan pelaburan serendah RM10 setiap bulan.
Pelaburan dalam jumlah kecil secara konsisten lebih mudah dikekalkan berbanding menetapkan potongan besar setiap bulan, tetapi kemudiannya terpaksa dikeluarkan kerana keperluan lain yang lebih mendesak.
Untuk mempercepatkan lagi tarikh percutian anda, laburkan juga bonus atau tambah pelaburan seiring kenaikan gaji, ini akan mengembangkan pelaburan anda dengan lebih pantas.
Bercuti dengan Kenangan, Bukan Hutang
Percutian sepatutnya menjadi ruang untuk berehat, meneroka tempat baharu dan mencipta kenangan. Ia tidak sepatutnya menjadi punca tekanan apabila penyata kad kredit tiba selepas kita pulang.
Sama ada mahu melihat Gunung Kinabalu di Sabah atau menikmati musim luruh di Jepun, setiap perjalanan boleh dimulakan dengan satu langkah kecil, iaitu menetapkan matlamat dan mula melabur.
RM100 atau RM120 setiap bulan pastinya tidak membebankan berbanding jika anda perlu membayar semula percutian yang dibayar menggunakan kad kredit. Sudah pasti anda tahu yang kad kredit mengenakan caj 18% setahun sekiranya anda tidak membayar semula dalam tempoh bebas faedah.
Jadi, selepas lima tahun bekerja, hadiah untuk diri sendiri mungkin bukan barangan mahal. Sebaliknya, ia boleh menjadi sebuah tiket penerbangan yang dibeli menggunakan dana sendiri, tanpa hutang dan tanpa mengganggu simpanan kecemasan.
Sebagai generasi labur yang bijak urus wang, kita sepatutnya menikmati hidup dan pada masa yang sama sentiasa mempunyai perancangan kewangan mapan untuk masa depan.
Nota: Anggaran kos perjalanan dan pengiraan pelaburan dalam artikel ini adalah untuk tujuan ilustrasi sahaja. Kos sebenar bergantung pada musim perjalanan, tambang penerbangan, penginapan, kadar pertukaran mata wang dan gaya perbelanjaan. Purata pulangan 5.75% setahun bukan jaminan pulangan ASB. Pengagihan pendapatan, jika ada, tertakluk pada prestasi dana dan kelulusan pemegang amanah.
