Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Bankrap: Apa Yang Anda Perlu Tahu?

muflis muda
ASNB
ASNB Academy

8 minit masa membaca

Masalah kewangan merupakan antara beban paling berat yang perlu ditanggung, lebih-lebih lagi kerana kita berdepan kemungkinan diisytiharkan bankrap atau muflis sekiranya gagal melunaskan hutang seperti yang ditetapkan.

Memahami Kebankrapan

Seseorang individu boleh diisytihar bankrap sekiranya mereka mempunyai hutang melebihi RM100,000. Kebankrapan boleh berlaku melalui dua kaedah utama iaitu: 

i. Petisyen Pemiutang: Pemiutang seperti pihak bank, memulakan tindakan undang-undang terhadap individu untuk hutang yang melebihi RM100,000, ambang kebankrapan minimum.  

ii. Petisyen Penghutang: Individu secara sukarela mengisytiharkan kebankrapan untuk melindungi diri mereka daripada hutang yang semakin tertunggak.

Dalam laporan Jabatan Insolvensi, antara faktor utama yang menyebabkan individu diisytiharkan muflis adalah pinjaman peribadi.

Ini kerana rakyat Malaysia cenderung menyelesaikan masalah kewangan dengan mengambil pinjaman peribadi untuk mendapatkan akses segera kepada wang tunai. Pinjaman lain yang menyebabkan kebankrapan ialah pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, dan pinjaman perniagaan.

Beberapa kriteria mesti dipenuhi untuk mengisytiharkan seseorang sebagai bankrap: 

· Nilai Ambang Hutang: Hutang mesti melebihi RM100,000;

· Hutang Yang Jelas: Jumlah hutang mesti boleh dikenal pasti;

· Tempoh Kelewatan: Individu gagal membayar hutang tertunggak sekurang-kurangnya enam bulan; dan

· Kediaman: Individu mesti menetap di Malaysia sekurang-kurangnya satu tahun.

Pada tahun 2020, Akta Kebankrapan 1967 telah dipinda, dimana nilai hutang tertunggak yang boleh menyebabkan pengisytiharan bankrap telah ditingkatkan dari RM50,000 kepada RM100,000.

Ia merupakan peningkatan kedua dalam beberapa tahun, berikutan pindaan dari RM30,000 kepada RM50,000 pada tahun 2017.

Apakah yang berlaku jika anda diisytiharkan bankrap?

Individu yang dikenakan perintah bankrap akan berdepan beberapa sekatan seperti berikut :

1.  Dibawah Pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI)

Individu yang diisytiharkan bankrap akan diletakkan dibawah pemantauan Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI). Ia merupakan satu jawatan statutori yang telah diwujudkan di bawah Akta Kebankrapan (Pindaan) 2003 untuk mentadbir kes-kes kebankrapan di seluruh Malaysia.

KPI akan mengawasi pengurusan semua aset individu yang telah diisytiharkan sebagai bankrap untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak.

2.  Sekatan Perjalanan

Individu yang bankrap mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada KPI atau permit perjalanan yang dikeluarkan oleh mahkamah sekiranya ingin ke luar negara. 

3.  Akses Kredit Terhad

Akaun bank individu yang bankrap akan dibekukan, justeru tiada sebarang pengeluaran dibenarkan. Walaupun begitu, mereka boleh membuka akaun baru atau menggunakan akaun sedia ada dengan kebenaran KPI. Penggunaan kad kredit juga dihadkan pada RM1,000.

4.  Aset Dikelola oleh Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia (KPI)

Semua aset individu yang diisytiharkan muflis akan diambil alih oleh KPI termasuk rumah dan kereta yang mungkin dilelong untuk melunaskan hutang tertunggak.

5.  Pekerjaan Terhad

Individu bankrap tidak dibenarkan bekerja dalam beberapa profesion akibat sekatan oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa lesen, contohnya sebagai akauntan, peguam, doktor, atau jurutera kuantiti.

Selain itu, setelah diisytiharkan muflis, seseorang tidak dibenarkan memiliki perniagaan atau terlibat dalam pemilikan perniagaan dan juga tidak boleh bertindak sebagai pengarah syarikat.

Muflis Tanpa Pengetahuan?

Tahukah anda bahawa seseorang itu boleh diisytiharkan muflis tanpa pengetahuan mereka? Mengikut undang-undang, pihak pemiutang mesti menyampaikan semua dokumen undang-undang secara peribadi kepada orang yang berhutang. Biasanya, mereka akan merujuk kepada alamat dalam rekod untuk tujuan ini.

Walau bagaimanapun, adalah tanggungjawab orang yang berhutang untuk menyemak dan mengemaskini maklumat termasuk alamat terkini mereka.

Jika pihak pemiutang, seperti bank tidak dapat menyampaikan dokumen undang-undang secara peribadi, mahkamah boleh memberikan perkhidmatan ganti, antaranya menerusi pengumuman di dalam akhbar.

Oleh itu, seseorang boleh diisytiharkan muflis tanpa pengetahuan sekiranya mereka gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes muflis mereka dibicarakan atas sebab seperti: 

  1. dokumen undang-undang dihantar ke alamat lama; atau
  2. individu berkenaan enggan menerima; atau
  3. enggan membuka sebarang dokumen undang-undang yang dihantar ke alamat mereka; atau
  4. tidak membaca akhbar tempatan jika perkhidmatan dibuat melalui perkhidmatan ganti.

Tip Jika Anda Sedang Menanggung Hutang Membebankan

Sama ada anda sedang mengalami kesulitan kewangan, berikut ialah beberapa cadangan yang boleh membantu mengurus semula kewangan anda:

 1.  Dapatkan Bantuan Percuma dari Profesional

Jika anda memerlukan bantuan dalam menguruskan hutang anda dan membayar balik pinjaman, anda boleh pertimbangkan untuk menghubungi organisasi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia, AKPK menawarkan perkhidmatan kaunseling kewangan percuma, program pengurusan hutang, dan sumber pendidikan kepada individu yang memerlukan. AKPK boleh membantu anda untuk mengadakan sesi rundingan bersama pemiutang untuk menyusun semula hutang anda berdasarkan kemampuan sedia ada.

2. Usah Menangguh, Segera Selesaikan

Sekiranya anda berasakan bahawa anda sedang menanggung hutang yang membebankan sehingga menjejaskan kualiti hidup anda dan keluarga, usah sesekali menangguh atau menggali lubang untuk mencipta hutang baharu.

Kaedah ‘gali lubang, tutup lubang’ ini telah terbukti gagal dan menyebabkan anda terjerumus lebih dalam ke lembah hutang sehinggakan anda mungkin tidak dapat melihat jalan untuk keluar daripadanya.

 3. Bincang dengan Keluarga

Selain mendapatkan bantuan daripada pakar seperti AKPK, anda perlu berbincang dengan keluarga supaya mereka memahami masalah kewangan yang sedang anda hadapi supaya langkah bersama dapat diputuskan untuk sama-sama menyelesaikan masalah berkenaan.

Nilai semula komitmen dan perbelanjaan bulanan dan bagaimana anda boleh mengurangkannya supaya mempunai lebihan untuk membayar hutang.

Segeralah bertindak untuk menyelesaikan masa hutang kerana jika dibiarkan, ia tidak akan selesai dengan sendiri, malahan akan terus bertambah, lebih-lebih lagi hutang yang terikat dengan kuasa faedah kompaun.