Want to calculate the savings if you reduce one cup of coffee a week?

Menabung vs Melancong: Kenangan atau Komitmen?

Azim Nazeri Jabatan-Ekonomi-PNB
Azim Nazeri PNB Economics department
Azim Nazeri

5 min read

Sebagai seorang Gen-Z, saya yakin ramai rakan sebaya saya terlibat secara aktif di media sosial, sama ada di Instagram, X, mahupun TikTok. Media sosial sebegini kerap memaparkan tempat-tempat percutian yang tular, sama ada di dalam ataupun di luar negara. Misalnya, awal tahun ini, begitu banyak konten rakyat Malaysia melancong di Yunnan, China kerap terpapar di garis masa media-media sosial. Pakej percutian yang ditawarkan serendah RM 1 ribu ringgit membuatkan tempat tersebut lebih popular dan menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk pergi, termasuklah saya sendiri.

Namun, satu persoalan kerap bermain di minda saya setiap kali terdapat tempat-tempat yang tular di media sosial yang dikunjungi oleh ramai rakyat Malaysia; adakah mereka yang pergi ke tempat-tempat sebegini kerana memang ingin menikmati keindahan di situ, ataupun hanya ingin mengikut trend untuk ditayangkan kepada pengikut di media sosial? Bukanlah satu kesalahan untuk mengunjungi tempat-tempat yang tular sebegini, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum melancong. Bukan sekadar memikirkan perihal tarikh, aktiviti dan logistik semata-mata, perancangan keawangan yang sewajarnya harus turut dirangkakan. Fenomena ‘biar papa asal bergaya´ yang boleh kita lihat semakin berleluasa sekarang ini adalah berbahaya kerana seseorang itu mungkin lalai untuk merancang kewangan mereka dengan sewajarnya.

Lebih-lebih lagi, semakin banyak syarikat penerbangan yang menawarkan pakej ‘Beli Dulu, Bayar Kemudian’ (BNPL), yang membolehkan pembeli untuk menjadualkan pembayaran kepada tempoh 3 bulan secara bebas faedah. Saya akui, kemudahan begini jika digunakan sebaiknya boleh membantu aliran tunai, terutamanya jika membuat pembelian yang besar. Namun, apa yang saya lihat sekarang ini, mereka yang mahu pergi bercuti tetapi tiada tabungan yang cukup, lebih rela untuk menjadi hamba hutang, asalkan mereka boleh bersiar-siar di tempat-tempat yang tular untuk ditunjukkan di media sosial mereka. Lebih-lebih lagi fasiliti BNPL sebegini selalunya tidak seketat permohonan kad kredit, membuatkannya lebih popular di kalangan Gen-Z.

Maka tidak hairanlah, pada tahun 2024, jumlah transaksi BNPL mencecah 149 juta, dengan jumlah nilai RM12 billion, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Menurut kajian yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna, dari segi umur, majoriti demografik pengguna BNPL ialah dari kalangan mereka yang berumur antara 21 hingga 45 tahun,. Lebih mengejutkan, 12% daripada pengguna BNPL mengakui bahawa mereka membayar komitmen BNPL mereka lewat daripada jadual kerana kekangan kewangan.

Jadi, adakah salah untuk melancong? Sudah tentu tidak, malah saya sendiri suka untuk bersiar-siar, melihat keindahan alam di negara orang. Namun, pepatah Melayu ada menyebut, ‘ukurlah baju di badan sendiri’. Janganlah hanya kerana ingin mengikut trend, kita sanggup untuk terjerumus dalam lembah hutang. Malah, ada sesetengah Gen-Z yang mempunyai mentaliti ‘you only live once’ (YOLO), membuatkan mereka mengambil risiko dan komitmen yang tidak perlu untuk hanya sekadar ditayangkan pada pengikut mereka di media sosial.

Namun, ingin saya nasihatkan kepada mereka yang ingin melancong, untuk membuat perancangan yang sewajarnya, dari segi jadual perjalanan dan aktiviti yang ingin dilakukan supaya saya dapat membuat belanjawan yang sesuai berdasarkan kemampuan masing-masing. Dengan cara ini, kita mampu membuat perkiraan seberapa banyak wang yang diperlukan untuk perjalanan kita, dan boleh memulakan tabungan berdasarkan matlamat yang kita tetapkan. Sebagai contoh, jika saya ingin bercuti ke Eropah, dan berdasarkan perkiraan yang saya lakukan menunjukkan saya akan memerlukan sekitar RM10 ribu ringgit, saya akan menyimpan mungkin sekitar 10% daripada pendapatan bulanan saya sehingga saya mencapai matlamat yang ditetapkan.

Hasilnya, saya tidak perlu berhutang, dan saya masih mampu menikmati secawan kopi dan sebiji croissant dengan aman di Paris misalnya, tanpa perlu memikirkan beban hutang di minda.

Secara konklusinya, tidak salah untuk melancong, malah melancong mampu membawa banyak kebaikan kepada diri kita apabila kita dapat meluaskan horizon pemikiran apabila berjalan di negara orang. Namun, haruslah kita berwaspada agak tidak terjerumus dalam kancah hutang semata-mata untuk bersiar-siar. Apabila kita menabung untuk melancong, kita akan mendapat ketenangan ketika melancong, dan selepas melancong. Ketenangan yang dikecapi semasa dan selepas melancong adalah lebih bermakna, berbanding percutian atas pinjaman.