Maqasid Syariah & Aplikasi Dalam Unit Amanah ASNB


Maqasid Syariah sering menjadi topik bualan hingga terdapat banyak wacana membincangkan mengenai maqasid dari pelbagai aspek dan sudut. Ia tidak dapat diasingkan dari perbincangan mengenai tujuan-tujuan pensyariatan amalan dan ibadah sama ada khusus atau umum.
Bidang muamalat terutamanya yang melibatkan unsur harta, kewangan, transaksi, jual beli, sewaan, pelaburan dan sebagainya terbuka kepada ruang yang sangat luas bagi perbincangan Maqasid Syariah melihatkan kepada perkembangannya yang sangat pantas dan meluas hingga wujud inovasi-inovasi yang tidak pernah dibincangkan pun oleh para ulama dan fuqaha terdahulu.
Di sisi fuqaha, Maqasid Syariah terbahagi kepada lima (5) menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Mustasfa Min ‘ilmil Usul dan ia didefinisikan juga sebagai maslahah:
“Terdapat lima tujuan syarak bagi makhluk, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Setiap perkara yang bermaksud untuk menjaga kelima-lima asas ini, merupakan maslahah, dan setiap perkara yang mampu memusnahkannya, adalah mafsadah, dan menghindari terjadinya mafsadah pula, juga merupakan maslahah”.
Dapat difahami di sini bahawa Maqasid Syariah merupakan tujuan-tujuan yang hendak dicapai syarak yang mana ia bermatlamat untuk mencapai kemaslahatan dan dalam masa yang sama menghindari kemudaratan.
Unit Amanah ASNB dan Maqasid Syariah
Unit amanah merupakan salah satu dari instrumen kewangan dan pelaburan yang bertujuan untuk mengembangkan harta kekayaan seseorang. Antara produk unit amanah ASNB (anak syarikat PNB) yang terkenal adalah unit amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera) di mana ASB dan dana unit amanah seumpamanya telah difatwakan Harus oleh seluruh Jawatankuasa Fatwa bagi 14 negeri pada 2017 dan difatwakan Harus oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI (dahulu dikenali dengan nama Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) yang ke-80 pada tahun 2008.
Menerusi mandat diberikan kerajaan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang ditubuhkan pada tahun 1978 adalah sebagai sebahagian daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia di samping menangani jurang sosio-ekonomi antara pelbagai kumpulan etnik di Malaysia.
Klik untuk tonton Bicara Maqasid Syariah episod 1
Berasaskan mandat ini, pelaburan PNB sehingga kini berusaha untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera di mana ia dianggap sebagai maslahah rajihah (utama) yang perlu diambil kira dalam perkiraan Maqasid Syariah dalam aspek ekonomi di Malaysia. Ini adalah kerana pemilikan ekuiti korporat Bumiputera juga ditafsirkan sebagai penguasaan umat Islam terhadap sektor ekonomi selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia bahawa orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu. Orang Melayu adalah sebahagian daripada penafsiran Bumiputera di Malaysia bahkan merupakan golongan majoriti dalam Bumiputera.
Kompilasi Pemilikan Ekuiti Korporat di Malaysia
Ketika DEB dilancarkan, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera di Malaysia hanya sekitar 2% sahaja berbanding pemilikan oleh warganegara asing dan bukan Bumiputera. Walaupun sasaran pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang dilancarkan DEB adalah sepatutnya mencapai 30% pada tahun 1990, namun sehingga kini pemilikan Bumiputera masih lagi tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Menurut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil.4/2017 yang bersidang pada 15-16 Ogos 2017 telah membincangkan "Pelaburan Dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) Serta Dividen atau Bonus Yang Diterima.", berikut adalah keputusan mesyuarat yang berkaitan dengan Maqasid Syariah:
(i) Saiz pelaburan PNB sangat besar sehingga industri kewangan dan pasaran modal Islam masih tidak mencukupi untuk menampungnya. Justeru, PNB terpaksa mewujudkan saringan Maqasid Syariah, melakukan beberapa inisiatif penambahbaikan dan menstrukturkan pelaburannya bagi mencapai matlamat dan memastikan ia patuh Syariah;
(ii) Objektif keseluruhan PNB boleh dikaitkan kepada Maqasid Syariah untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Bumiputera yang majoritinya beragama Islam. Hasil daripada pelaburan-pelaburan saham yang dibuat secara keseluruhan adalah memelihara salah satu daripada lima maslahah utama syarak yang dikenali sebagai daruriyyat yang lima iaitu melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta;
(iii) Maslahah yang dibawa oleh PNB kepada umat Islam dan Bumiputera adalah untuk menjaga kepentingan negara seperti kestabilan politik dan ekonomi, keperluan kepakaran dalam industri-industri yang kritikal dan menjaga aset-aset strategik negara. Di samping itu, kepentingan hasil daripada pelaburan-pelaburan saham iaitu jumlah pendapatan daripada pelaburan tersebut juga merupakan kepentingan yang perlu dijaga. Ini kerana jumlah pendapatan pelaburan tersebut disalurkan semula kepada umat Islam dan Bumiputera sebagai dividen;
(iv) Dalam konteks PNB, pelaburan dalam syarikat-syarikat yang terlibat bukan sahaja dapat melindungi salah satu daripada lima asas utama ini, bahkan ia dapat melindungi beberapa elemen yang berkepentingan untuk menyokong lima asas tersebut;
(v) PNB telah hampir memaksimakan pelaburan dalam sekuriti pelaburan dan sekuriti pendapatan tetap patuh Syariah dengan jumlah pelaburan PNB iaitu RM33 bilion yang hampir menyamai jumlah modal berbayar bank-bank patuh Syariah. Manakala dua pertiga iaitu 66 peratus pelaburan ekuiti PNB adalah patuh Syariah mengikut Suruhanjaya Sekuriti.
Kaunter Patuh Syariah yang Terhad di Pasaran Modal
Perlu diamati bahawa sememangnya kaunter atau saham patuh Syariah yang terdapat di Bursa Malaysia agak terhad jika dibandingkan dengan permintaan (demand) dari pelabur sama ada dari pelabur institusi mahupun pelabur runcit. Mengikut data statistik dari sumber Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) setakat Disember 2024, bilangan sekuriti patuh Syariah sebanyak 822 syarikat yang merangkumi 79% daripada keseluruhan sekuriti di Bursa Malaysia. Adapun permodalan pasaran patuh Syariah hanya sekitar 63% sahaja yang bernilai RM1.3 trilion berbanding keseluruhan permodalan pasaran di Bursa Malaysia.
Itu dari sudut penawaran (supply), belum lagi melibatkan saringan pelaburan PNB berdasarkan kriteria pelaburan seperti saiz modal pasaran, tadbir urus korporat, jumlah transaksi jual beli di pasaran, dan dividen yang stabil. Perkiraan saringan ini penting bagi pelaburan PNB terutamanya melibatkan unsur-unsur kelestarian yang mampu menjana pendapatan yang mampan kepada pelabur.
Dari sudut permintaan (demand), institusi-institusi perbankan Islam, pelabur institusi GLIC (Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) seperti KWSP, Tabung Haji dan PNB amat menitikberatkan kepatuhan Syariah dalam pelaburan mereka menggambarkan permintaan yang tinggi terhadap pelaburan patuh Syariah di Bursa Malaysia. Seperti contoh, KWSP sendiri setakat 2023 mempunyai aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM1.14 trilion, PNB berjumlah RM337 bilion, Tabung Haji berjumlah RM93.6 bilion, dan pelbagai lagi pelabur institusi bahkan pelabur runcit yang turut berminat melabur dalam kaunter atau saham patuh Syariah yang terhad.
Oleh itu, PNB sebagai institusi pengurusan dana terbesar di Malaysia mengambil inisiatif pemilikan ekuiti korporat strategik untuk menguasai kaunter saham dalam sektor kewangan yang dianggap sebagai antara keperluan dan maslahah yang penting bagi sektor ekonomi di Malaysia.
Setakat Disember 2024, terdapat lima (5) saham patuh Syariah di dalam sektor kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia; BIMB Holdings Berhad, Bursa Malaysia Berhad, Malaysia Building Society Berhad (MBSB Bank), RCE Capital Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang bernilai sebanyak RM24.5 bilion sahaja dan ini merupakan 5.2% daripada keseluruhan permodalan pasaran yang berjumlah RM470.9 bilion di dalam sektor kewangan. Penawaran ini tentunya telah mengehadkan peluang pelaburan patuh Syariah terutamanya bagi institusi-institusi besar seperti PNB, KWSP dan Tabung Haji.
Pelaburan PNB di Syarikat Kumpulan Maybank
Antara syarikat terbesar dalam sektor kewangan yang terdapat di pasaran modal adalah syarikat Kumpulan Maybank yang merupakan antara syarikat korporat strategik memegang sebahagian besar kepentingan ekonomi rakyat di Malaysia. Namun, kaunter saham syarikat Kumpulan Maybank di Bursa Malaysia dikategorikan sebagai tidak patuh Syariah mengikut tanda aras pematuhan Syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana secara umumnya syarikat tersebut menjalankan aktiviti tidak patuh Syariah iaitu bank konvensional walaupun di sana terdapat anak syarikatnya iaitu Maybank Islamic yang menjalankan perniagaan patuh Syariah.
Kita perlu menelusuri sejarah bagaimana pelaburan PNB dalam syarikat Kumpulan Maybank pada awalnya adalah ketika di zaman kekurangan penawaran pada perbankan Islam. Untuk makluman pembaca, penubuhan PNB dan dana unit amanah ASNB telah ditubuhkan lebih awal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (ditubuhkan pada Mac 1993) yang meletakkan tanda aras kepatuhan Syariah bagi kaunter-kaunter dan saham-saham di Bursa Malaysia.
Dari sudut kepatuhan Syariah, pelaburan PNB termasuk pelaburannya dalam Maybank secara umumnya adalah Harus menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa di 14 buah negeri di seluruh Malaysia termasuk Jawatankuasa Muzakarah MKI. Di sana tidak terdapat pertentangan antara tanda aras kepatuhan Syariah yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Jawatankuasa Muzakarah MKI kerana masing-masing menjalankan fungsi-fungsi yang berbeza.
Menurut FAQ Hukum Pelaburan ASN & ASB yang disediakan JAKIM (2016), pendekatan yang diambil oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI dalam memutuskan hukum harus dalam isu pelaburan ASB dan ASN adalah dengan melihat kekukuhan ekonomi umat merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah selaku Ulil Amri, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi masa kini, yang menampakkan umat Islam tertinggal jauh di belakang.
Bagi mengekalkan kepentingan strategik Bumiputera dalam ekonomi negara, PNB perlu mempunyai pegangan dalam sektor perbankan negara. Pegangan signifikan PNB dalam Maybank akan dapat memastikan kepentingan dan keperluan masyarakat Bumiputera terhadap keperluan perbankan di negara ini dijaga dan dilindungi.
Ini sekali gus menyumbang kepada kestabilan keseluruhan dan pertumbuhan ekonomi negara. Penguasaan PNB di dalam Maybank juga membolehkan majoriti komposisi tenaga kerjanya dikuasai oleh Bumiputera. Penguasaan ini bukan sahaja menyokong pemerkasaan ekonomi masyarakat Bumiputera tetapi juga sejajar dengan misi PNB yang lebih luas iaitu untuk meningkatkan perwakilan dan penyertaan mereka dalam ekonomi negara.
Klik untuk tonton Bicara Maqasid Syariah episod 2, episod 3 dan episod 4.
