Want to calculate the savings if you reduce one cup of coffee a week?

Ibadah Puasa: Sederhana Itu Indah

Dr. Ahmad Basri Ibrahim
Dr Ahmad Basri
Dr. Ahmad Basri Ibrahim

5 min read

Ramadan bulan yang penuh dengan berkah dan rahmat kembali menyapa kita umat Islam untuk memperdalam hubungan rohani dengan Pencipta.

Hadirnya Ramadan memberi peluang kepada umat Islam untuk menebus kembali kesilapan mereka dan menggandakan lagi pahala dan ganjaran untuk dijadikan bekalan di akhirat nanti.

Allah SWT menegaskan pentingnya ibadah puasa dalam Al-Quran surah Al-Baqarah yang menggariskan tujuan utama ibadah puasa:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al Baqarah:183)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menghuraikan ayat di atas bahawa ibadah puasa bertujuan untuk menyucikan diri dan menyempitkan jalan-jalan syaitan yang membawa kepada kejahatan.

Jelas di sini bahawa ibadah puasa tidak hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum bahkan melatih dan mendidik manusia untuk mencapai ketakwaan dengan cara menyucikan diri dengan amalan kebaikan dan menjauhkan diri dari melakukan kejahatan.

Antara jalan-jalan syaitan atau amalan buruk yang disebut di dalam Al-Quran adalah amalan membazir. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’:

وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦)  إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا (٢٧)

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. (Al-Isra’:26)

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Al-Isra’:27)

Ayat ini memberikan peringatan agar tidak menjerumuskan diri ke dalam perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembaziran terutamanya sewaktu di bulan Ramadan.

Umat Islam perlu menyedari batas-batas yang tidak sepatutnya diamalkan sekali pun mereka mampu berbelanja lebih.

Allah tidak menyukai mereka yang melampau dalam sesuatu perkara sepertimana disebutkan dalam firmanNya di surah Al A’raf:

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ (٣١)

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-A’raf:31)

Melalui ibadah puasa di bulan Ramadan, kesederhanaan menjadi aspek yang penting dalam menjalankan ibadah ini dimana Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kepada umatnya untuk menjaga keseimbangan dalam beribadah dan hidup dengan sederhana.

Antara teladan praktikal kesederhanaan Rasulullah SAW dalam perbelanjaan semasa Ramadan dapat kita lihat melalui pemilihan makanan dan minuman yang baginda ambil.

Baginda tidak pernah melampaui batas dalam urusan makan dan minum, bahkan sentiasa memilih hidangan yang sederhana dan mencukupi untuk berbuka dan sahur.

Para ulama juga memberikan huraian yang mendalam mengenai konsep kesederhanaan dalam Islam.

Imam Ghazali misalnya menekankan pentingnya untuk menjauhi amalan melampaui batas dan mengamalkan kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan.

Beliau memandang kesederhanaan sebagai kunci untuk mencapai kedamaian dan kebahagiaan.

Sesungguhnya kesederhanaan itu indah bilamana ia dapat membantu diri kita untuk fokus pada ibadah di bulan Ramadan, menjauhkan diri daripada perkara tidak bermanfaat di samping merealisasikan tujuan dan makna takwa di dalam ibadah puasa itu sendiri.

Kesederhanaan Dalam Perbelanjaan

Antara cabaran terbesar di bulan Ramadan adalah urusan perbelanjaan terutamanya pada makanan dan minuman bilamana perbelanjaan seringkali melebihi keperluan yang akhirnya menyebabkan pembaziran.

Ironinya di negara kita ini isu pembaziran sering menjadi bualan terutamanya di bulan Ramadan padahal dalam masa yang sama saudara seIslam kita di negara miskin dan tertindas di luar sana tidak cukup keperluan hidup terutamanya makanan dan minuman bagi meneruskan kehidupan.

Justeru, amalan pembaziran hendaklah dihentikan segera dengan mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan. Terdapat beberapa langkah praktikal yang dapat kita ambil untuk melatih kesederhanaan dalam perbelanjaan di bulan Ramadan.

Pertamanya adalah dengan membuat anggaran perbelanjaan tertentu untuk pembelian makanan berbuka dan sahur.

Hanya membawa sejumlah wang yang dibajetkan sahaja ketika berbelanja di bazar Ramadan. Ini dapat melatih disiplin diri dalam menguruskan kewangan dengan lebih bijak agar dapat digunakan pada hal-hal keperluan yang lain.

Kemudian perbelanjaan tersebut hendaklah hanya mengikut keperluan diri dan keluarga dan menahan diri dari tertarik dengan promosi jualan yang tidak memenuhi keperluan.

Ini bagi mengelakkan diri dari kebocoran wang apabila perbelanjaan terarah kepada barang bukan keperluan.

Apabila kita dapat bersederhana dalam perbelanjaan, hasilnya kita dapat melebihkan pada amalan bersedekah juga dalam masa yang sama dapat menambah simpanan untuk masa depan melalui instrumen pelaburan.

Amalan bersederhana di bulan Ramadan bukan sahaja dapat membantu kita menambah simpanan dan meningkatkan amalan bersedekah bahkan mendisiplinkan diri kita dalam pengurusan kewangan.

Oleh itu, di dalam bulan Ramadan yang penuh berkah ini marilah kita menjalani ibadah puasa dengan penuh kesederhanaan dan mengikuti teladan Rasulullah SAW.

Dengan demikian, kita tidak hanya akan meraih keberkatan ibadah puasa kita, bahkan mendekatkan diri kepada Allah SWT menuju ketakwaan yang menjadi tujuan pensyariatan puasa.

Mudah-mudahan, Ramadan kali ini akan membawa kita semua kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang makna sebenar kesederhanaan dan ketakwaan, serta memberikan kita inspirasi untuk menjadi hamba yang lebih baik di sisi-Nya.